Kahwin Lari, Kahwin Seberang

Oleh YUSOF HARUN

Setiap kali suami mahu bertugas di luar daerah melebihi seminggu atau dua, para isteri tentu berserabut dengan pelbagai pertanyaan: “Mana dia hendak pergi sebenarnya?”, “Apa dia buat lama-lama di sana?”

Dan sebenarnya apa yang sedang berputar dalam kotak fikiran mereka ialah sama ada sang suami sudah pun beristeri lain.

Jarang atau barangkali tidak mungkin seorang isteri secantik Erra Fazira misalnya ditinggalkan suami sendirian berminggu lamanya tanpa sebab yang masuk akal.

Justeru jika wanita atau isteri beranggapan si suami sudah ada “cewek” di luar sana, maka prejudis ini harus saja ada rasionalnya - bimbang mereka dimadukan.

Bukankah pepatah menyebut, “Kalau tidak ada apa-apa, masakan tempua bersarang rendah.”

Jika si suami adalah dari jenis lelaki yang tidak takut dilambung ombak maka tentulah dia tidak akan membina rumah di tepi pantai.

Wanita Melayu di negara ini sangat takut jika suami mereka berpoligami.

Yang dah berkahwin dua pula sentiasa didatangi jiran sebelah rumah mengingatkan si isteri sentiasa hati-hati kalau-kalau dia menyelinap diam-diam kahwin nombor tiga pula. Sepatutnya wanita lslam tidak harus berfikiran negatif sebaliknya mereka harus berfikiran lapang.

Ini kerana agama telah menetapkan bahawa seseorang lelaki Islam dibenarkan beristeri dalam jumlah bermula dengan angka satu dan maksimanya adalah empat.

Tafsiran mudah ialah seseorang lelaki dibenarkan mempunyai empat orang isteri sekaligus dan jika dia mahu mengahwini seorang lagi wanita, dia harus menceraikan mana-mana isteri yang dinikahi pada sesuatu ketika itu.

Suatu masa dulu sebuah akhbar mendedahkan kisah seorang lelaki memiliki 18 orang isteri sekaligus.

Ada juga cerita bagaimana seorang lelaki pernah beristeri lebih dari 30 kali.

Sama ada seseorang lelaki muslim mahu mengahwini 18 orang wanita ataupun 30 orang wanita, ia tidak boleh melakukannya sekaligus.

Sudah tentulah pertimbangan di sini ialah soal pertanggungjawaban bukan soal berapa ramai dia boleh kahwin.

Suami mesti memikul tanggungjawab menjaga dan memelihara rumah tangganya sebaik mungkin apabila berpoligami.

Keupayaan dari segi seks atau keberkesanan ubat-ubatan “pembantu” bukanlah kriteria seseorang suami dibenarkan menikahi lebih dari angka satu. Apa pun cerita tentang bagaimana lelaki dari Daerah Lombok berjaya membawa lari begitu ramai gadis remaja Malaysia ke negara seberang adalah satu cerita lain pula.

Mujurlah pendedahan media berhubung kes-kes ini sedikit sebanyak menyedarkan begitu ramai ibu-bapa tentang bahayanya pria Lombok sehingga mampu menyakini anak gadis mereka bahawa kehidupan di Lombok lebih sempurna dan bahagia daripada di sini.

Entah apa jampi panahan cinta yang mereka gunakan ke atas anak-anak gadis kita, kita pun tidak tahu tetapi itulah hakikatnya.

Tetapi bila tiba di Lombok dan terpaksa hidup dalam penuh kesengsaraan jauh berbeza dengan hidup dengan emak bapak barulah anak-anak perempuan kita ini sedar yang mereka telah melakukan satu kesilapan besar dalam hidup mereka.

Ada yang berjaya balik, ada yang dibawa balik secara paksa tetapi ada yang gagal dibawa balik sama sekali.

Dan kesedaran ini juga menggagalkan ramai anak gadis kita yang terkinja-kinja terkena panahan cinta pria Lombok untuk tidak meneruskan hajat mereka.

Orang tidak marah jika perkahwinan itu dilangsungkan ikut adat istiadat dan budaya kita tetapi yang orang marah ialah apabila anak-anak gadis ini dibawa lari menggunakan cara yang salah.

Sedang isu ini diperdebat dan dikupas, diulas dan dicanai oleh media massa tempatan, timbul pula berita dari Medan khabarnya, secara purata setiap hari seorang lelaki Malaysia akan bertandang ke Ibu Negeri Sumatera Utara ini untuk bernikah dengan wanita Medan dan Sumatera - kebanyakannya sebagai calon isteri kedua.

Yang lebih menarik perhatian ialah, ia melibatkan bukan sahaja lelaki Melayu tetapi juga lelaki Cina Malaysia.

Sejak isu ramai lelaki Malaysia secara senyap-senyap berkahwin di seberang, isteri pertama yang berada di tanah air semacam diserang angin kebimbangan.

Kebimbangan ini berasas kerana sebahagian besar daripada isteri-isteri di Malaysia menonton sinetron dalam siaran Astro.

Tentu saja perkara ini dapat difahami jika mereka memikirkan wanita seberang yang dinikahi suami mereka adalah sepertimana yang mereka tonton dalam sinetron setiap petang dan berbeza dari pembantu-pembantu rumah yang biasa kita lihat di negara ini.

Maka jika cewek-cewek setara aktres-aktres ini menjadi calon isteri, tentu saja berduyun-duyun lelaki Malaysia berbaris untuk ke seberang - mungkin menyeberangi Selat Melaka sambil diiringi paluan kompang.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada permasalahan wanita, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil ada sebab untuk menjadi gusar.

Menteri berkenaan tidak menentang poligami. Begitulah, jika kita faham reaksinya. Kebimbangan beliau diulasnya sebegini: “Jadi saya persoalkan perkahwinan itu adakah ia mengikut lunas perundangan yang ada di negara ini. Jika kahwin cara seludup, saya tidak etuju. . .Tanggungjawab keluarga pertama tidak boleh diabaikan. Saya sedih kerana akhirnya keluarga kedua-dua wanita terbabit akan menanggung sengsara.”

Saya tidak mahu dilihat sebagai pro atau anti poligami tetapi hukum yang diturunkan tuhan sudah tentulah bersebab. Dan dalam bab yang dihujahkan oleh Shahrizat itu saya setuju sangat - kalau nak sengsarakan para isteri lebih baik jangan. Tapi itulah masalahnya, ia bermula dengan nafsu tetapi semua cerita nafsu berakhir dengan kesengsaraan...

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url