Kejayaan siri sulung SPP

Oleh ROHANI IBRAHIM

Sesi sulung Syarahan Perdana Putrajaya (SPP) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 Mei baru-baru ini berjaya mencapai objektifnya.

Lebih 1,000 jemputan terdiri daripada pemimpin sektor awam dan korporat, pemimpin masyarakat, wakil dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perwakilan asing dan ahli akademik hadir untuk mendengar syarahan berkenaan.

SPP merupakan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggalakkan budaya perbincangan intelektual di kalangan masyarakat sekali gus membangunkan masyarakat intelek yang berupaya menjadikan Malaysia sebuah negara berpaksikan ilmu pengetahuan.

Siri syarahan yang ditaja oleh Yayasan Albukhary dengan Media Prima Berhad selaku sekretariat bakal dijadikan acara tahunan dan menyaksikan ramai sarjana terkemuka dunia dan tokoh Islam terkenal menyampaikan syarahan sebagai jemputan Perdana Menteri.

Tokoh pertama yang menjadi tetamu Perdana Menteri untuk menyampaikan syarahan pada sesi SPP ialah Presiden Persatuan Saintis Sosial Muslim di Washington DC, Amerika Syarikat (AS), Dr. Ali Al'Amin Mazrui.

Pada tahun 2005, jurnal AS dan Britain menyenaraikan beliau sebagai antara 100 intelektual yang terkemuka di dunia.

Dalam syarahan bertajuk Satu Abad Islam: Mitos Atau Realiti?, Ali sempat menyatakan sokongan kepada gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri. Jelasnya, gagasan itu menjadikan Malaysia lebih demokrasi berbanding dengan dunia Islam yang lain.

Beliau menyifatkan gagasan 1Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang etnik sebagai demokrasi dan selari dengan prinsip Islam. Ketika menyentuh mengenai gagasan 1Malaysia dalam syarahannya, Ali turut memetik ayat al-Quran:

''Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu." - Alhujurat, ayat 13.

Perdana Menteri ketika diminta mengulas mengenai sokongan yang dinyatakan Ali mengenai gagasan 1Malaysia dilaporkan berkata, pembentangan oleh intelektual Islam mengenai prinsip-prinsip Islam ternyata selari dengan gagasan 1Malaysia.

"Saya amat tertarik dengan syarahan Dr. Ali Al'Amin Mazrui. Beliau turut memetik sepotong ayat Al-Quran (maksudnya) Allah menjadikan manusia dalam kelompok, kabilah dan negara supaya kita mengenali antara satu sama lain, bezanya cuma dari segi ketakwaan kepada Allah," katanya.

Najib menambah, petikan ayat al-Quran tersebut menuntut supaya manusia menghargai setiap yang dijadikan Allah iaitu kepelbagaian budaya dan kaum.

Sebagai seorang intelektual Islam yang diiktiraf dunia Barat, sokongan Ali mengenai konsep 1Malaysia mampu meningkatkan imej Malaysia dan Perdana Menteri dalam kalangan dunia Islam dan masyarakat antarabangsa.

Biarpun pertama kali dianjurkan, SPP berjaya mewujudkan perbincangan intelektual apabila Ali diajukan banyak soalan dari para hadirin.

Antara soalan yang dikemukakan adalah pandangan mengenai masa depan umat Islam menjelang tahun 2050 iaitu apabila abad Islam berdasarkan teori beliau berakhir, perbezaan pandangan mengenai penggunaan kalimah Allah di Malaysia dan hubungan umat Islam dengan negara China.

Jumlah soalan yang banyak dikemukakan menyebabkan Ali terpaksa melayan beberapa lagi soalan pada sesi jamuan ringan selepas sesi soal jawab dan syarahan berakhir. Sejarah Islam membuktikan saintis dan pemikir Islam menyumbang kepada pembangunan ilmu pada kurun kelapan sehingga ke-14.

Pada satu ketika, kehebatan intelektual para saintis dan ulama berjaya merubah dunia melalui idea dan inovasi mereka khususnya dalam bidang sains, astronomi, perubatan, pembedahan, kejuruteraan dan falsafah.

Malaysia menyedari keperluan untuk mengembalikan semula era kegemilangan intelektual Islam. Oleh itu tumpuan diberikan untuk menjadi negara berasaskan ekonomi dan ilmu. Negara ingin melahirkan cendikiawan Malaysia dalam pelbagai disiplin pada masa akan datang.

SPP yang dicetuskan oleh Perdana Menteri merupakan satu inisiatif untuk mencapai matlamat tersebut. Siri syarahan berkenaan mampu meletakkan Putrajaya bukan sekadar sebuah pusat pentadbiran tetapi pusat pemikiran dan ilmu pengetahuan.

Melalui SPP, Putrajaya akan menerima pelbagai tokoh ilmu dan pemikir dari seluruh dunia untuk berkongsi fikiran bersama masyarakat Malaysia.

Kejayaan siri sulung SPP baru-baru ini akan menjadi pemangkin kepada penganjuran siri syarahan yang seterusnya. Ia merupakan satu perangsang kepada masyarakat Malaysia untuk menimba ilmu pengetahuan dan mencontohi tokoh-tokoh jemputan SPP untuk cemerlang dalam pelbagai cabang ilmu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url