Khamis, Mei 27, 2010

KL-Singapura temui jalan penyelesaian

Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Keppel Road dekat Tanjong Pagar, Singapura beroperasi pada 1932. Tanah itu membabitkan tapak stesen dan landasan seluas 217 hektar serta laluan sehingga 30 kilometer. Tanah itu dipajak kepada KTMB untuk tempoh 999 tahun, demikian sedikit maklumat sejarah stesen itu.

Namun stesen KTMB itu perlu dikosongkan pada 1 Julai 2011 seperti dipersetujui Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong, Isnin lalu, walaupun pajakannya masih berbaki 920 tahun.

Jalan tengah menamatkan pertikaian dalam Persetujuan Capai Persetujuan (POA) 1990 berhubung pemindahan stesen KTMB di Tanjong Pagar, Kranji, Bukit Timah (lot 76-2Mk 16, lot 249 Mk 4 dan lot 32-10 Mk 16) serta Woodlands ialah menubuhkan syarikat usaha sama - MS Pte Ltd diwakili sayap pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Temasek Holdings Limited (Temasek), disifatkan bijak serta menguntungkan kedua-dua negara.

Jika tanah itu tidak mahu dimajukan, Kerajaan Singapura setuju menukarnya dengan empat lot tanah di Marina South dan satu bidang di Ophir-Rochor yang mempunyai nilai setimpal dengan tanah KTMB terbabit.

Dengan 60 peratus ekuiti dipegang Khazanah dan Temasek menguasai baki 40 peratus, langkah memajukan tanah itu lebih banyak memberi manfaat berbanding membiarkannya terus menjadi isu dan ‘duri dalam daging’ hubungan Malaysia-Singapura. Isu POA 1990 dalam tempoh 19 tahun ini menyebabkan hubungan dua negara tidak menentu dan merugikan kedua-dua pihak. Kerjasama pelbagai bidang sedia ada dan potensi baru pula tidak dapat dilaksanakan. Malah, kerana isu remeh dan kecil tertentu, hubungan kedua-dua negara mudah boleh renggang kerana tidak banyak komitmen bersama perlu dipertahan atau dilindungi.

Cuma dalam isu POA 1990 yang kandungannya akan dipertingkatkan, aspek yang masih kritikal dan perlu dirungkai dengan bijak dan berhemah ialah soal nilai hartanah itu; kaedah serta struktur pengurusan mahupun operasi M-S Pte Ltd; pertukaran tanah di lokasi lain yang setimpal nilainya; serta penyertaan Singapura secara kontra dalam pembangunan kemudahan sistem transit laju (RTS) dari Woodlands ke Tanjung Puteri, Johor menjelang 2018.
Turut menarik diketahui ialah menjelang kehadiran Lee menemui Najib di Putrajaya, bulan depan untuk mengemukakan kertas cadangan yang menjunjung ‘situasi menang menang’ berhubung pembangunan bersama tanah stesen KTMB itu.

Proses penilaian hartanah itu dilakukan berasingan oleh kedua-dua pihak, tetapi apakah penilaiannya membabitkan harga hartanah semasa atau mengikut anggaran harga pasaran hadapan (tahun 2930)?

“Saya tidak ada angka terkini nilai tanah terbabit tetapi harga tanah dan hartanah (di Singapura) meningkat dalam tempoh setahun ini. Itu sebabnya kami belum dapat selesaikan soal pertukaran tanah itu. Saya perlukan penilaian yang terkini dan akan dicadangkan kepada Najib supaya Malaysia mendapat penilaian yang mutakhir.

“Berdasarkan nilai terkini itu, kami akan mengemukakan tawaran kepada mereka (Malaysia) dan terpulang kepada mereka. Tetapi (yang pasti) nilainya sangat besar.

“Ia adalah kertas cadangan situasi menang-menang untuk kedua-dua negara. Kalau ini (POA 1990) tidak boleh selesai bagaimana anda mahu bercakap mengenai perkara yang baru?,” kata Lee merujuk kepada soalan wartawan mengenai harga tanah KTMB di keempat-empat lokasi itu dan kesan penyelesaian POA 1990.

Di sebalik persetujuan Malaysia dan Singapura membangunkan tanah itu melalui M-S Pte Lte, jelas kerajaan kedua-dua negara mahu ‘mengecilkan saiz pembabitan’ mereka dalam isu POA yang kini peranan seterusnya dilakukan Khazanah dan Temasek. Namun, kita tidak perlu berahsia atau berselindung lagi bahawa kerajaan perlu memantau segenap tindakan, perkembangan dan hasil peranan M-S Pte Ltd kerana ia masih membabitkan kepentingan negara.

Berdasarkan pemikiran Najib, yang penting sekarang ialah hubungan dua hala mesti dipacu ke hadapan dan bagi merealisasikan hasrat itu, kedua-dua negara mesti menyelesaikan beberapa isu legasi termasuk POA 1990.

“Ini (isu POA 1990) adalah isu legasi yang sangat besar dan sudah tiba masa untuk penyelesaian selepas 19 tahun. Ia dilihat menghalang kita untuk kemajuan dan mara dalam hubungan dua hala,” katanya. Hubungan ini turut membabitkan penyertaan pelabur Singapura dalam Iskandar Malaysia.

Mengenai jambatan ketiga, Perdana Menteri menyifatkan ia projek jangka panjang dan tidak dikongkong oleh tempoh masa tertentu untuk melaksanakannya. “Yang penting sekarang ialah kita mahu mengoptimumkan penggunaan Linkedua,” katanya.

Mungkin, perlu dikaji peranan Jawatankuasa Bersama Antara Kementerian Bagi Iskandar Malaysia (JCM) yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek ikonik perbandaran di koridor ekonomi selatan Semenanjung itu, supaya turut dilebarkan kepada soal meningkatkan kemudahan pengangkutan awam melalui Linkedua.

Kepentingan operator pengangkutan sebelah Malaysia juga mesti diambil kira dan dilindungi dalam perkembangan ini. Mungkin wajar ditubuhkan konsortium pengusaha bas kedua-dua negara untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan. Untuk teksi, sebahagian pengusaha di stesen Kota Raya, Johor Bahru mungkin boleh dipindahkan ke stesen baru di Iskandar Malaysia supaya tempoh menunggu yang begitu lama seperti sekarang, dapat dikurangkan, sekali gus pendapatan mereka bertambah.

INFO

Ringkasan persetujuan hasil pertemuan Najib dan Lee serta perbincangan delegasi kedua-dua negara pada Ahad dan Isnin lalu ialah:

# Stesen KTMB di Tanjong Pagar dipindahkan ke WTCP menjelang 1 Julai 2011.

# Tiga bidang tanah di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga lagi di Bukit Timah dibangunkan bersama.


# Syarikat M-S Pte Ltd dibentuk bagi membangunkan tanah terbabit.

# Penyerahan tanah itu kepada M-S Pte Ltd berkuat kuasa apabila KTMB mengosongkan Stesen Tanjong Pagar.

# Sistem kereta api gerak cepat antara Tanjung Puteri (JB) dengan Singapura akan dibangunkan.

# Bangunan Stesen KTMB Tanjong Pagar akan dikekal dan dipulihara.

# Syarikat usaha sama Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings Limited dibentuk bagi menjalankan projek pembangunan ikonik di Iskandar Malaysia.

# Loji air di Johor diserahkan kepada Johor selepas perjanjian air 1961 tamat tempohnya pada 2011.

# Bayaran tol di laluan Linkedua akan dikurangkan.

# Khidmat bas rentas sempadan dipertingkat manakala peraturan khidmat teksi dilonggarkan.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts