Misteri Lubang Buaya

Lubang Buaya yang terletak di Pondok Gede, Jakarta pernah menjadi tempat pembuangan mangsa Gerakan 30 September 1965. Telaga Lubang Buaya terletak di Kelurahan Lubang Buaya di Kecamatan Cipayung, Jakarta Timur atau kira-kira 20 kilometer dari Jakarta Pusat.

Lubang Buaya merupakan pusat latihan Parti Komunis Indonesia (PKI), ia kini dijadikan Lapangan Peringatan Lubang Buaya dan Tugu Pancasila. Di kawasan berkenaan juga terdapat diorama yang menceritakan peristiwa tersebut.

Mengikut cerita rakyat, kawasan berkenaan mendapat nama berikutan satu peristiwa yang melibatkan Datuk Banjir.

Sebenarnya Lubang Buaya bukan sahaja kaya dengan cerita rakyat yang penuh misteri. Kejadian di lokasi itu telah merubah dan mewarnai politik Indonesia sehingga ke hari ini. Pembunuhan itu telah menyebabkan kemarahan seluruh rakyat Indonesia dan menyaksikan mereka bangkit menentang ideologi komunis yang sebelum itu mendapat sokongan daripada golongan bawahan.

Mengimbau kembali permulaan peristiwa itu ia bermula apabila PKI menubuhkan angkatan tenteranya pada 23 Mei 1965. Ketika mengadakan sambutan ulang tahunnya, pemimpin komunis Indonesia, D. N. Aidit menyeru para pengikutnya meningkatkan gerakan.

Berikutan itu diadakan perarakan dengan membawa poster-poster berslogan pro PKI termasuk propaganda pembentukan Angkatan V iaitu masyarakat buruh dan petani yang diberi latihan ketenteraan. Gerakan itu semakin agresif dan mereka mula masuk ke kampung-kampung membawa slogan Desa Mengepung Kota. Anggota PKI menunjukkan kebencian mereka terhadap pemimpin setempat dengan membunuh tuan tanah, lintah darat, samseng kampung, birokrat kampung dan amil zakat yang dianggap sebagai syaitan.

Pimpinan PKI di Jakarta, yang bergabung dalam Politbiro, iaitu lembaga tertinggi parti itu, kemudiannya membentuk pasukan tentera pada Julai 1965. Lubang Buaya dijadikan markas mereka. Anggota tentera dilatih oleh jurulatih dari Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) dengan dipimpin oleh Mejar Udara Sujono, Komandan Pasukan Pertahanan Pangkalan Halim. Tidak hanya kaum lelaki, para pemimpin PKI wanita turut serta yang terdiri daripada anggota Gerwani atau Gerakan Wanita Indonesia.

Di akhir latihan, mereka membincangkan cara menangani sejumlah jeneral yang dikatakan korupsi hingga menyebabkan Indonesia dilanda inflasi dan menyebabkan barangan keperluan tidak mencukupi serta banyak rakyat kelaparan. Leftenan Kolonel Untung, komandan Cakrabirawa iaitu pasukan pengawal presiden, memerintahkan Leftenan Satu Dul Arief menculik jeneral-jeneral yang telah disenaraikan.

Disoal siasat

Brigadier Jeneral Soetodjo Siswomihardjo, Brigadier Jeneral Donald Izaac Pandjaitan, Major Jeneral S. Parman, Major Jeneral MT Hardjono, Leftenan Jeneral Ahmad Yani, Major Jeneral R. Soeprapto dan Leftenan Satu Piere Andries Tendean, dibawa ke Lubang Buaya untuk disoal siasat. Anggota PKI yang sedang meluap-luap kemarahannya telah memukul enam jeneral serta seorang leftenan itu dan mayat mereka dicampak ke dalam perigi.

Kejadian mengerikan itu mulai tersebar dan Suharto yang merupakan salah seorang jeneral yang terselamat, telah melancarkan kempen mengeji tindakan PKI melalui dua akhbar milik tentera iaitu Angkatan Bersenjata dan Berita Yudha.

Dalam laporan itu disebut sebelum dibunuh para pegawai tentera itu diseksa dan dijadikan bahan pesta seks oleh anggota Gerwani. Mangsa bukan sahaja disiat-siat kemaluan mereka, bahkan mata mereka turut dicungkil. Sebelum dibunuh, mereka dikelilingi para pemimpin Gerwani sambil menari dan menyanyikan lagu-lagu rakyat yang popular masa itu, Ganyang Kabir atau Ganyang Tiga Setan Kota ciptaan komposer aliran komunis, Soebroto K Atmodjo. Mereka menari sambil menikam tubuh mangsa.

Biadab

"Jelaslah bagi kita," kata Suharto, "betapa kejamnya yang telah dilakukan oleh mereka yang biadab yang dinamakan Gerakan 30 September."

Suharto yang mendapat sokongan masyarakat akhirnya memimpin tentera Indonesia. Beliau mengetuai upacara mengangkat jenazah dari dalam perigi tersebut. Semua dipertontonkan kepada masyarakat dengan fakta forensik mengerikan. Pendedahan itu meningkatkan kemarahan masyarakat kepada PKI yang cepat merebak ke seluruh Indonesia dan berlakulah pemburuan besar-besaran anggota PKI. Sudomo, bekas Menteri Koordinator Politik dan Keamanan Indonesia, mengatakan, ada sejuta pengikut PKI yang dibunuh. Angka itu jauh lebih kecil daripada perkiraan penyelidik peristiwa itu yang menganggarkan sekitar dua hingga tiga juta orang dibunuh.

Suharto sendiri, melalui sekeping kertas bernama Super Semar iaitu kependekan daripada Surat Perintah Sebelas Maret 1966, yang ditandatangani oleh Presiden Sukarno mengetuai pasukan komando. Sukarno kemudiannya dikenakan perintah tahanan di kediaman di Istana Bogor dengan alasan keselamatan.

Suharto kemudian menandatangani surat keputusan No.1/3/1966 untuk membubarkan PKI. Surat keputusan ini diperkuat lagi dengan Ketetapan Majlis Permesyuaratan Rakyat Sementara (Tap MPRS) Nomor 25/1966. Perubahan politik berjalan yang begitu pantas, Suharto tiba-tiba menjadi cukup popular dan diangkat sebagai penyelamat negara dan pada tahun 1967 dilantik menjadi Presiden dan bermula era Orde Baru.

Setelah memasuki zaman Kabinet Bersatu pimpinan Susilo Bambang Yudhoyono timbul pula khabar angin bahawa pembunuhan tujuh pegawai tinggi tentera itu didalangi oleh Suharto sendiri untuk menjatuhkan Sukarno yang difitnah menyokong komunis. Sejauh manakah kebenarannya ia terus menjadi misteri Lubang Buaya.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url