Tawaduk hikmah kehidupan
Pensyarah
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini mempunyai kelebihan dan kelemahan tertentu. Tetapi manusia diciptakan bakat tertentu yang memungkinkannya menguasai ilmu-ilmu berkaitan dengan bakatnya.
Berdasarkan kepada pemahaman begini setiap individu perlu memahami bakat dan ilmu yang dimiliki olehnya bersesuaian dengan peranan dan tanggungjawabnya. Jika bakat dan ilmu tidak menepati sesuatu tugas dan pekerjaan maka tidak mungkin individu tersebut dapat melaksanakan tugas dengan sempurna.
Sikap terlalu membanggakan diri sehingga memandang rendah terhadap keperibadian orang lain bukan sahaja boleh menimbulkan kebencian malah boleh menggugat keimanan seseorang individu.
Islam menyarankan umatnya supaya tawaduk dalam kehidupan. Tawaduk merupakan sifat para Nabi, Rasul dan orang yang beriman. Orang yang memiliki ilmu wahyu merupakan orang yang paling tawaduk dan sabar dalam kehidupan kerana mereka merupakan lampu atau penyuluh ke jalan Allah. Kesabaran dan tawaduk merupakan hikmah dalam kehidupan. Kejahilan tidak dapat diatasi secara maki hamun dan keluhan tetapi melalui kegiatan dan tindakan yang disarankan oleh Allah dan Rasul.
Tawaduk mempunyai dua pengertian. Pertama, menerima sebarang kebenaran daripada orang yang boleh menjadikan kamu orang yang sedar terhadap kebenaran sama ada seseorang itu miskin, kaya, berkuasa, jahil, kuat, lemah atau musuh. Kedua ialah cara berhubungan dengan orang secara lemah lembut dan berhemah tanpa mengira siapa mereka sama ada pekerja atau majikan, raja atau fakir, golongan tertindas atau bangsawan.
Perkara yang berlawanan dengan sifat tawaduk ialah angkuh dan bongkak. Rasulullah SAW menghuraikan keangkuhan sebagai 'penyingkiran atau penindasan terhadap kebenaran dan memandang rendah terhadap orang lain. Baginda bersabda dengan maksudnya, "Sesiapa yang merendahkan diri kerana keredaan Allah satu darjah maka kemudiannya Allah akan meninggikan darjahnya sehingga kedudukan paling tertinggi, dan siapa yang angkuh terhadap Allah maka kemudiannya Allah akan merendahkan darjahnya sehingga ia mencapai kedudukan yang paling rendah".
Perselisihan dan pergelutan dalam arena politik jika tidak didasarkan kepada tatasusila Islam boleh menyebabkan ahli-ahli politik menjadi tidak matang atau tersasar daripada objektif dan prinsip perjuangan politik. Politik merupakan salah satu kegiatan dalam Islam dan amat penting dalam pembentukan sistem pemerintahan negara Islam.
Dalam konteks dunia Islam yang serba lemah dan kekurangan para ahli politik yang beragama Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada pembinaan umat terutamanya berkaitan dengan penyediaan keperluan asas kepada rakyat dan pembasmian kemiskinan tegar, bukan sibuk membicarakan status atau tahap keimanan para ahli politik yang lain kerana perbincangan begini boleh mengheret umat Islam kepada perpecahan dan kemusnahan.
Keimanan dan ketakwaan seseorang individu itu hanya dapat dinilai oleh Allah kerana Ia mengetahui isi hati manusia dan perkara-perkara yang tersembunyi. Manusia tidak ada hak untuk mengukur keimanan orang lain. Oleh itu, merendahkan diri dan tawaduk perlu dijadikan sebagai prinsip hidup.
- UTUSAN