Pelakon Anne dan Wafi sah bercerai talak tiga
KUALA LUMPUR: Pelakon, Anne Ngasri sah bercerai talak tiga dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan, demikian diputuskan Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan tiga lafaz cerai diucapkan Abdul Wafi, 29, di tempat dan masa berlainan terhadap Anne atau nama sebenarnya, Anne Ngasri, 26, sebagai sah dengan talak satu bagi setiap lafaz.
Shaiful berkata, plaintif (Anne) mendakwa diceraikan defendan (Abdul Wafi) di rumah mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, pada jam 11.20 pagi, 25 Mac lalu, dan ketika lafaz dibuat beliau mengandung dua bulan.
Katanya, kedua-dua pihak bersetuju tiada saksi lain mendengar lafaz itu dan mengakui pernah bercerai dua kali sebelum itu tetapi tidak pernah merujuknya ke mahkamah.
“Lafaz kali pertama adalah taklik dibuat pada awal Julai 2009 di Pesiaran Jawi, Pulau Pinang, dengan lafaz: ‘kalau kau keluar dari rumah jatuh talak’, plaintif bagaimanapun keluar dari rumah selepas itu.
“Lafaz kedua pada pertengahan Julai 2009 dalam perjalanan ke Pulau Pinang, manakala lafaz ketiga 25 Mac lalu (yang terbaru) dan defendan dalam keterangannya mengakui berniat menceraikan plaintif talak satu bagi setiap lafaz,” katanya.
Shaiful berkata, kedua-dua pihak mengakui berlaku rujuk bagi lafaz pertama dan kedua pada awal dan pertengahan Julai apabila defendan melafazkan: ‘Saya kembali kepada awak’ dan dipersetujui plaintif.
“Sebelum mahkamah membacakan keputusan, ingin saya nasihatkan kedua pihak walaupun kemelut berlaku dalam rumah tangga kamu janganlah pula keburukan menutup segala kebaikan, kekalkan keharmonian dalam hubungan demi kepentingan anak.
“Mahkamah sabitkan berlaku perceraian tanpa pengetahuan di luar mahkamah untuk kali pertama dengan talak satu dan lafaz kedua pula jatuh talak satu berjumlah dua talak, manakala lafaz ketiga berlaku talak satu yang berjumlah tiga talak,” katanya.
Mahkamah memerintahkan plaintif untuk beredah sehingga beliau melahirkan anak dikandungnya.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Anne yang kelihatan tenang berkata: “Saya sudah bersedia. Saya sudah tahu apa yang terjadi dan saya percaya masih ada hikmahnya.”
Abdul Wafi yang diwakili peguam Mohd Hamidullah Che Hassan pula berlalu meninggalkan pekarangan mahkamah tanpa sebarang komen.
Terdahulu sebelum prosiding bermula, Anne yang hampir pitam ketika berada dalam tandas sempat menghubungi telefon bimbit Abdul Wafi dan beliau kemudian menghantar sebotol air kepadanya.
Ketika disoal, Anne yang ditemani ibunya, Habibah Jaafar, 55, berkata beliau hampir pitam mungkin kerana sedang mengandung dan kurang selera makan.
Anne yang tidak diwakili peguam memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu pada 14 April lalu, dan usia kandungannya kini masuk lima bulan.
Pasangan yang pernah menyertai program Sehati Berdansa musim pertama itu bernikah pada 26 Mei 2006 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak, Abdul Warits, 4, dan Abdul Wafri, 2.
- BERITA HARIAN