Lesen runcit ayam, besi, simen mansuh 15 Julai
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berikutan itu, ketiga-tiga barangan itu bukan lagi di bawah kawalan harga, sebaliknya harga ditentukan oleh pasaran.
Beliau berkata, antara tujuan langkah itu diambil ialah supaya tidak berlaku ketirisan ke sempadan memandangkan jurang perbezaan harga dengan negara Asean bagi simen dan keluli tidak ketara dan bekalan ayam yang semakin stabil sejak kawalan harga dikeluarkan.
Selain itu, ia untuk membolehkan kementerian memberi fokus kepada tiga barangan keperluan asas iaitu gula, tepung gandum dan minyak masak yang masih dikawal bagi harga dan bekalan oleh kerajaan, katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur hari ini.
"Pada tahun 2008, kementerian mengambil langkah proaktif dengan memansuhkan kawalan harga terhadap ayam, besi dan simen. Bagaimananpun, kawalan bekalan masih diteruskan dan selain itu, melalui perlesenan, bekalan ayam dalam negara juga semakin stabil,” katanya.
Beliau berkata jumlah lesen runcit ayam yang dikeluarkan dari Januari hingga hari ini (22 Jun) ialah 2,676 dan 3,000 untuk simen serta 2,356 untuk besi.
Ismail Sabri juga berkata, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 dijangka dibentang pada sesi Parlimen kali ini bagi menggantikan Akta Kawalan Harga 1946.
"Kabinet dah luluskan. Saya berharap ia dapat di baca untuk bacaan kali pertama di Parlimen pada minggu hadapan,” katanya.
Beliau berkata akta ini jika diluluskan, lesen di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan akan dimansuh.
"Ini bermakna lesen di bawah skim itu tidak akan dikenakan terhadap peruncit pada musim perayaan akan datang,” tambahnya.
- Bernama