Perjuangan Aceh oleh Hasan Tiro
Hasan Tiro, pengasas Gerak Aceh Merdeka (GAM) meninggal dunia pada usia 84 tahun, ketika dirawat di hospital di Banda Aceh hanya sehari selepas dia memperolehi kembali kewarganegaraan Indonesia. Teungku Hasan Muhammad di Tiro lahir di Pidie, Aceh, 25 September 1925, di Tanjong Bungong, Lameulo, sekitar 20 kilometer dari Sigli.
Dalam tubuhnya mengalir darah keturunan bangsawan para pejuang Aceh. Beliau adalah keturunan ketiga Tengku Chik Muhammad Saman di Tiro. Beliau merupakan anak kedua pasangan Tengku Pocut Fatimah, cucu perempuan Tengku Chik Muhammad Saman di Tiro, Pahlawan Nasional Indonesia.
Beliau adalah orang yang mengisytiharkan kemerdekaan Aceh pada 4 Disember 1976 dan kemudian keluar-masuk hutan bersama pasukannya pada 1976 untuk memisahkan diri dari Indonesia. Perjuangannya itu hanya berlangsung selama tiga tahun. Kemudian beliau terpaksa melarikan diri ke berbagai negara, sebelum akhirnya menetap di Stockholm, ibu kota Sweden.
Dari luar negara beliau meneruskan perjuangan secara politik, dan sempat mengirim surat tentang GAM kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan pada 25 Januari 1999. Setelah jatuhnya pemerintahan Soeharto, isu "Aceh merdeka" kembali menjadi sorotan dunia. Organisasinya (Gerakan Aceh Merdeka) pun muncul kembali ke pentas antarabangsa.
Namun tidak diketahui dengan khusus punca kepada perjuangan yang digalang oleh beliau. Ada yang menyatakan ia berpunca daripada kegagalannya untuk mendapatkan kontrak pemasangan paip minyak untuk Mobil Oil di Aceh dan ada juga mengatakan setelah kematian adiknya kerana kecuaian doktor berketurunan Jawa. Satu teori bahawa beliau menganggap kerajaan pusat Indonesia meminggirkan pembangunan Aceh adalah yang paling logik dan boleh diterima pakai.
Hasan Tiro dengan gagasannya sejak Januari 1965 untuk membentuk negara Aceh, menilai Presiden Soeharto meminggirkan Aceh daripada pembangunan industri. Hasan Tiro bersama para ulama Aceh menilai kekayaan alam Aceh diambil melalui pembangunan industri yang dikuasai orang asing melalui restu pemerintah pusat. Tetapi rakyat Aceh tetap miskin, berpendidikan rendah dan keadaan ekonomi sangat menyedihkan.
Akhirnya GAM ditubuhkan di kaki Gunung Halimun, Pidie. Walaupun Hasan Tiro yang tidak hadir dalam penubuhan GAM beliau dilantik sebagai wali negara. GAM terdiri atas 15 menteri, empat pegawai bertaraf menteri dan enam gabenor.
Namun sebagai seorang yang sangat tinggi rasa kemanusiaannya apabila menyaksikan bencana yang menimpa Aceh dalam bencana gempa dan tsunami pada 2004, akhirnya beliau bersetuju untuk menandatangani perjanjian perdamaian dengan kerajaan Indonesia iaitu setahun selepas bencana itu dan selepas 30 tahun hidup dalam buangan.
Meminggirkan
Penganalisis konflik berkenaan berpendapat selain faktor sedih melihat nasib buruk menimpa rakyat yang diperjuangnya, Hasan Tiro juga menaruh keyakinan kepada Jusuf Kalla yang ketika itu merupakan Naib Presiden Indonesia. Jika sebelum ini kerajaan Indonesia meminggirkan peranan yang dimainkan oleh Hasan Tiro dalam GAM, sebaliknya hanya mengadakan rundingan dengan para panglima GAM, tetapi Jusuf Kalla mengambil pendekatan yang berbeza dengan mendekati Hasan Tiro. Jusuf Kalla juga dilihat ikhlas kerana sebelum ini berjaya menyelesaikan konflik di Ambon dan Poso yang mirip dengan konflik di Aceh. Selepas perdamaian pada 2005, Aceh sebenarnya telah ketinggalan jauh daripada segi pembangunan serta sedang mengalami krisis ekonomi dan sosial.
Hubungan Aceh dengan wilayah lain di Indonesia serta kerajaan pusat sebenarnya masih lagi memerlukan masa untuk berada pada landasan yang normal. Ini adalah kerana asas perjuangan yang diterap Hasan Tiro adalah kebencian kepada kerajaan pusat dan kebencian kepada kaum lain selain Aceh khususnya kaum Jawa.
Untuk memulihkan kembali imej Aceh sebagai wilayah yang aman juga mengambil masa yang lama dan ini dapat dilihat walaupun terdapat pelbagai perjanjian persefahaman ditandatangani di dalam bidang ekonomi, tetapi tidak banyak yang berhasil. Bank-bank juga masih berpandangan adalah berisiko tinggi untuk memberi pinjaman kepada syarikat yang mahu melabur di Aceh.
Seperkara yang dibuktikan oleh Aceh baru-baru ini bahawa mereka tidak mudah termakan provokasi dan muslihat orang asing. Ketika terdapat usaha sekumpulan militan yang mahu bertapak di Aceh mereka tidak mendapat sokongan penduduk setempat khususnya bekas anggota GAM dan akhirnya ramai yang ditembak serta ditangkap pihak berkuasa.
Walaupun ada yang menganggap perjuangan GAM dan Hasan Tiro tidak berkesudahan, namun bagi penduduk Aceh Hasan Tiro tetap dianggap sebagai pejuang sejati. Di akhir hayatnya, Hasan Tiro memilih kembali ke pangkuan tanah airnya. Tokoh perdamaian Helsinki itu menghembuskan nafas terakhir sehari setelah menjadi warganegara Indonesia.
Pemergian Hasan Tiro diharap menjadi titik permulaan episod baru di dalam sejarah Aceh yang lebih damai, kerana hanya dengan perdamaian sahaja masa hadapan yang lebih cemerlang dapat dicapai.
- MINGGUAN MALAYSIA