RMKe-10: PDRM perlu tambahan 60,000 pegawai, anggota

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan tambahan 60,000 pegawai dan anggota sepanjang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) untuk terus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata PDRM sudah mengemukakan permohonan itu kepada kerajaan dan menunggu jawapan.

“Kita sedang membina balai polis di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, termasuk di taman perumahan menerusi pelaksanaan kepolisan komuniti.

“PDRM sentiasa komited untuk menurunkan kadar jenayah indeks dan jenayah jalanan di seluruh negara melalui pelbagai usaha dan strategi berterusan walaupun hasil awal sudah mula dilihat pada suku pertama tahun ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan RMKe-10 di Dewan Rakyat semalam, berkata keselamatan dan ketenteraman awam akan dipertingkatkan kerana hasilnya memberi manfaat yang begitu berharga kepada rakyat.

Perdana Menteri mengumumkan rondaan polis akan ditingkatkan, terutama di 50 kawasan panas yang dikenal pasti untuk membendung aktiviti jenayah dengan dibantu RELA, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan sukarelawan awam yang lain.

Kerajaan juga sedang dalam proses memasang 496 CCTV di seluruh negara bagi meningkatkan pemantauan, selain Program Bandar Selamat dengan menggembleng tenaga pelbagai agensi kerajaan.
Musa berkata, penambahan balai polis di kawasan besar yang jumlah penduduknya padat penting bagi memastikan tahap keselamatan orang ramai sentiasa diberikan perhatian di samping memudahkan mereka membuat laporan jika berlaku jenayah.

“Program kepolisan komuniti akan dimantapkan dengan membina balai polis di taman perumahan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalannya, Tan Sri Ismail Omar berikrar PDRM akan bekerja lebih keras bagi mencapai matlamat menurunkan kadar jenayah lima peratus setahun, keseluruhan 25 peratus menjelang tempoh akhir RMKe-10 pada 2015.

"Hasrat itu tidak mustahil untuk dicapai sekiranya kita melipatgandakan usaha dan menangani kes jenayah secara agresif, lebih lagi apabila inisiatif yang dijalankan memberi impak positif dengan kes jenayah dilihat semakin berkurangan.

"Saya boleh katakan kita berada di landasan yang baik dan kita percaya matlamat menurunkan kadar jenayah dalam masa yang disasarkan itu akan dapat dicapai," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Selasa, 27 Julai 2010 pada 11:14:00 PG SGT

    bile ada jawatan kosong konstbel lelaki????sy sdang menunggu...plz call or mcg me klu ada jwtan tersebut di keluarkan....

Add Comment
comment url