RMKe-10: Peningkatan taraf hidup rakyat diutama
Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam (kanan), berkata strategi yang dirancang dalam RMKe-10 amat menggalakkan dan disusun menggunakan pendekatan berbeza, sekali gus mencerminkan dasar yang betul di pihak kerajaan.
Katanya, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) menggariskan strategi yang betul dan teratur untuk mencapai matlamat meningkatkan pendapatan masyarakat.
“Keseluruhannya, saya yakin perancangan teliti yang digariskan mampu meningkatkan keyakinan pelabur untuk turut serta dalam proses pembangunan negara bagi mencapai masa depan yang lebih cemerlang.
“Bagaimanapun, apa yang penting selepas ini adalah memastikan perancangan itu dapat diterjemahkan dalam konteks pelaksanaan, serta dilaksanakan dengan sempurna tanpa membabitkan penyelewengan,” katanya.
Ketua Pakar Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng berkata, strategi yang dirancang dalam RMKe-10 menunjukkan bahawa kerajaan berada pada landasan betul untuk meningkatkan ekonomi negara dalam jangka panjang.
Namun, katanya, persekitaran ekonomi semasa yang mencabar menyukarkan sedikit laluan untuk mencapai matlamat yang diharapkan, selain kerajaan berdepan cabaran besar untuk meningkatkan keyakinan pelabur.
Beliau berkata, kerajaan juga berdepan cabaran untuk mengurangkan defisit fiskal, sedangkan ia masih perlu terus berbelanja untuk mengekang tekanan ekonomi global.
“Walau apa pun cabarannya, Malaysia perlu mempercepatkan pertumbuhan dan transformasi kerajaan bagi memastikan Malaysia berada pada landasan betul dan supaya ekonomi negara tidak tertinggal di belakang negara lain di rantau ini,” katanya.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, menyifatkan RMKe10 sebagai sebuah pelan yang komprehensif, yang mengambil kira kepentingan semua pihak.
“Tidak seperti pelan yang diumumkan kerajaan sebelum ini, dalam strategi RMKe10 tidak ada pihak yang tertinggal dan perancangannya juga amat memberangsangkan untuk meningkatkan status negara ke arah negara maju,” katanya.
Beliau bagaimanapun sedikit bimbang dengan keupayaan kerajaan untuk mencapai purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) enam peratus setiap tahun sehingga 2015 memandangkan sebagai sebuah negara yang terbuka, ekonomi Malaysia terdedah kepada pelbagai risiko ekonomi global yang belum pulih sepenuhnya.
“Cita-cita besar kerajaan perlu mengambil kira risiko luaran yang kerap kali menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya sambil memberi contoh, jika dalam RMKe-9 kerajaan mensasarkan purata pertumbuhan ekonomi enam peratus, pertumbuhan yang dicatatkan hanya 4.2 peratus dalam tempoh berkenaan yang dijejaskan dengan krisis kewangan di Amerika Syarikat (AS).
- BERITA HARIAN