Soal Jawab Agama: Onani perbuatan jauh daripada sifat akhlak seorang Muslim

Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
Eksekutif di Unit Agama NSTP

SOALAN
Bolehkah dijelaskan hukum onani kerana dalam suasana hari ini banyak dorongan terhadap perkara berkenaan. Ada juga yang menggunakan alasan darurat untuk berbuat demikian. Harap dapat penjelasan.

JAWAPAN
Onani atau mengeluarkan mani dengan menggunakan tangan adalah satu perbuatan yang jauh daripada sifat akhlak seorang Muslim kerana ia menunjukkan sifat buruk akhlak seseorang manusia. Tambahan pula ia juga boleh menjejaskan kesihatan seseorang.

Ia juga boleh berlaku bukan hanya kepada lelaki, malah wanita. Ia berlaku disebabkan kekangan nafsu melampau yang tidak dapat dibendung sehingga manusia sanggup melanggar batas akhlak seorang insan.

Baginda SAW pernah bersabda bermaksud: ‘Antara perkara yang mengundang kebencian Allah SWT dan mereka tidak akan dipandang oleh Allah SWT pada hari kiamat ialah mereka yang berkahwin dengan tangannya sendiri”. (al-hadis)

Walaupun kedudukan hadis ini lemah tetapi perbuatan itu, adalah satu perkara yang buruk di sisi Allah SWT.

Namun, ulama mempunyai pendapat berbeza terhadap perkara ini. Berikut adalah perincian hukum mengikut pandangan ulama muktabar.
# Imam Syafie dan Maliki mengharamkan onani disebabkan perintah Allah SWT supaya memelihara kemaluan melainkan dengan cara halal iaitu dengan cara berkahwin atau hamba sahaya (pada masa lampau). Firman Allah SWT : “Dan mereka yang memelihara kemaluan mereka, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela”.
(Al-Mu’minun ayat 6,7).

# Imam Hanafi berpendapat bahawa ia dihukumkan haram kepada beberapa keadaan dan wajib pada keadaan yang lain. Haram hukumnya jika sekadar melayan nafsu syahwat semata-mata, wajib beronani jika dikhuatiri terjebak ke dalam kancah perzinaan dan harus, jika seseorang tidak beristeri dengan tujuan untuk meredakan syahwatnya.

Hambali berpendapat onani adalah haram melainkan jika ditakuti berlaku perzinaan dan seseorang itu tidak mampu untuk berkahwin.

Ibnu Hazm berpendapat, adalah makruh berdasarkan kepada hukum seseorang memegang kemaluannya. Hatta jika keluar mani sekalipun, maka hukumnya tetap makruh kerana mengikut hukum asal. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah sudah menjelaskan apa yang haram bagi kamu”. (Al-Ana’m 119). Ia dimakruhkan kerana tercela pada sudut pandangan akhlak.

Hukum ini juga merangkumi golongan hawa kerana masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk berbuat demikian.

Ada juga pandangan daripada sahabat dan tabi’in di dalam hal ini. Contohnya Ibnu Umar dan Ata’ menghukumkan makruh, manakala Ibnu Abbas dan Hasan mengharuskannya di mana Hasan berkata bahawa kami sudah melakukannya (onani) ketika peperangan. (Fiqh sunnah-Said Sabiq).

Kesimpulannya, pembaca hendaklah menilai sejauh mana keperluan mereka terhadap perkara ini kerana ada juga riwayat hadis yang lemah mengatakan bahawa mereka yang beronani adalah termasuk golongan yang tercela.

Apa yang jelas ialah saranan Baginda Nabi SAW supaya berpuasa untuk meredakan gelodak nafsu yang dipandu oleh syaitan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url