Dekati pengundi luar bandar
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
Rata-rata ramai yang bercakap mengenai pilihan raya kebelakangan ini. Pelbagai spekulasi mengenai tarikh pilihan raya turut mewarnai dunia politik tanah air walaupun pilihan raya umum akan datang hanya mencapai tempoh matang pada 2013.
Ada pula menganggap bahawa Pilihan Raya Negeri Sarawak yang mesti diadakan sebelum Mei 2011 akan diadakan pada bila-bila masa. Apakah indikator untuk mengadakan pilihan raya? Bilakah masa yang sesuai? Adakah keadaan ekonomi semata-mata boleh membantu prestasi sesebuah parti atau perlu melihat pada faktor lain sebelum benar-benar beradu kekuatan?
Apakah dengan hanya bergantung pada kedudukan dalaman atau faktor luaran, ia akan menjadi faktor penolak dan penarik sebelum keputusan mengadakan pilihan raya dibuat? Adakah laporan penyelidik akan diguna pakai? Jenis pengundi yang manakah boleh menjadi aset atau liabiliti kepada parti politik? Adakah pengundi tradisional, muda, pertengahan, tua ataupun demografi penduduk seperti latar belakang etnik mempengaruhi pola pengundian.
Dalam konteks hari ini, kategori pengundi bandar dan luar bandar turut menjadi indikator penting dalam menentukan kejayaan pilihan raya. Terlalu banyak pendekatan digunakan untuk mendekati pengundi bandar dan pengundi muda dengan harapan kategori ini akan meningkatkan populariti parti.
Persepsi ke atas politik berubah tanpa mahu melihat pencapaian menyeluruh. Bermakna, isu terkini dan kontemporari akan menjadi asas kepada percaturan undian mereka. Prestasi semasa dan keupayaan mentadbir urus kerajaan akan dinilai. Ada yang telah dihukum sebagai tanda ‘protes’ manakala ada pula telah diberi ‘peluang’ sebelum ini.
Ini menyebabkan ramai beranggapan bahawa pengundi bandar telah memainkan peranan yang signifikan dalam pilihan raya lalu sehingga membawa kepada anjakan trend pengundian yang dinamakan ‘politik baru’.
Pengundi bandar yang kebanyakannya merupakan pengundi celik huruf, mempunyai maklumat sampingan menerusi media alternatif dan peka dengan peredaran semasa serta tergolong dalam stratifikasi masyarakat kelas atasan dan pertengahan telah menunjukkan wujud ‘politik kelas’ baru dalam konteks politik arus perdana negara. Dalam erti kata lain, undi mereka berubah-ubah dan penilaian dilakukan mengikut prestasi semasa parti politik. Ada kawasan Parlimen yang berubah 70 hingga 80 peratus undi sehingga membolehkan calon yang sekadar mahu merasa bahang pilihan raya turut menang.
Trend yang sama tidak akan berulang lagi. Selepas melihat perubahan pada pilihan raya lalu, kita melihat tendensi untuk mengundi secara ‘berhati-hati’ akan berlaku dalam pilihan raya akan datang.
Bagaimana pula dengan pengundi luar bandar terutama mereka yang berada dalam perancangan program dan projek kerajaan, peladang, petani, penternak, nelayan dan yang peniaga kecil bersifat mikro.
Adakah sokongan mereka akan berubah akibat penularan maklumat secara sekunder menerusi anak mereka yang berhijrah ke bandar yang mampu menembusi alam maya termasuk Internet, blog dan halaman web.
Sejauhmana penilaian dilakukan supaya ia tidak bersifat emosi tetapi berasaskan kepada rasional daripada apa yang berlaku di sekitar mereka.
Yang menarik adalah dengan memberi tumpuan berlebihan ke atas pengundi bandar, apakah status pengundi luar bandar yang sebenarnya merupakan safe deposit Barisan Nasional (BN) sebelum ini?
Kebanyakan projek dan program serta bantuan dana untuk kumpulan komuniti yang menghuni kawasan geografi ini adalah daripada pihak kerajaan yang cuba membantu dalam apa sahaja bidang yang diceburi. Lantaran itu, ini menyebabkan komuniti tersebut mempunyai nilai ‘kesetiaan’ dan rasa terima kasih yang tinggi ke atas bantuan yang dihulur oleh kerajaan.
Malahan, ada parti pembangkang yang mengakui masih sukar untuk menembusi kelompok masyarakat ini bukan sahaja kerana pendekatan yang tidak diterima tetapi lebih daripada itu, kumpulan itu terdiri daripada kumpulan umur yang secara tradisionalnya telah mengundi BN.
Walaupun kebarangkalian mereka mengundi masih tinggi tetapi ini bermakna tidak akan ada undi protes terutama jika tidak ada usaha berterusan mempertahankan kebajikan mereka. Ini kerana pengundi luar bandar juga peka dengan persekitaran baru yang memerlukan pemimpin terus menjalankan tanggungjawab mereka dan pada waktu yang sama mempertahankan hak kelompok masyarakat tersebut.
Selain itu, masih ramai tergolong dalam kumpulan 40 peratus di bawah paras kemiskinan yang memerlukan sokongan pihak berwajib dalam aktiviti harian mereka. Pembangkang sedar bahawa peralihan sokongan sekurang-kurangnya 5 hingga 7 peratus dari kelompok ini disertai dengan sokongan sama ada pengundi bandar akan membolehkan mereka mencapai kemenangan.
Ada parti pembangkang yang berjaya meneroka kawasan luar bandar baru tetapi tahu ia tidak cukup untuk dijadikan isyarat bahawa mereka akan berjaya memanipulasi sokongan pengundi luar bandar. Ia dijadikan sebagai kayu pengukur oleh mereka ke atas motivasi untuk menguasai kawasan luar bandar sehingga membawa kepada isu Felda baru-baru ini.
Parti kerajaan sudah lama menjayakan Felda yang kini menjadi isu politik tetapi yang perlu ditanya adalah sejauh mana kebenaran dalam konteks mobiliti sosial ke atas peneroka Felda yang dibawa oleh pembangkang sehingga mereka turut diseret dalam perang psikologi politik kepartian.
Pelbagai kemudahan disediakan termasuk bantuan subsidi, serta program diatur untuk pengundi luar bandar dan pembangkang akui ia menyebabkan mereka sukar berhadapan dengan cabaran ini. Apakah pengundi luar bandar mahu melakukan perubahan akibat perang psikologi dengan pembangkang terutama mereka yang secara tradisi bernaung di bawah parti politik kerajaan yang menjadi tempat berunding, mengadu masalah dan mencari jalan penyelesaian.
Apakah perubahan politik yang diinginkan oleh segelintir pengundi luar bandar berpusatkan kepada rasa tidak puas hati ke atas pencapaian kerajaan atau lebih merupakan elemen emosional serta desakan pihak luar. Sudah pasti, kumpulan ini akan membandingkan dengan pentadbiran di bawah kerajaan negeri pimpinan pembangkang. Bagaimanakah BN akan berhadapan dengan rangkaian hubungan peribadi yang digerak oleh pembangkang secara berselerak yang menganggap perjuangan mereka sebagai satu survival.
Ada juga yang cuba sedaya upaya melalui proses sosialisasi sebagaimana seorang penternak, nelayan mahupun anak tani dalam satu tempoh masa pendek seolah-olah mahir dan menjadi arif tentang persekitaran yang dihuni oleh pengundi luar bandar.
Strategi perkampungan ini memberi kesan ke atas psikologi penduduk yang kemudiannya bersedia menterjemah sokongan yang ditunjukkan oleh pihak ini dalam bentuk undi. Adakah BN juga mempunyai strategi yang sama atau masih percaya bahawa pengundi luar bandar akan dengan sendirinya menyokong mereka?
Apa yang akan dinilai oleh pengundi luar bandar adalah sejauh mana nilai kejujuran pemimpin untuk terus memberi keutamaan ke atas komuniti luar bandar.
Jika pemimpin itu berjiwa rakyat dan menunjukkan komitmen serta kesungguhan mempertahankan hak mereka dan memberi pengiktirafan sewajarnya, maka pemimpin parti politik tersebut akan menyerlah dan diterima oleh masyarakat sekelompok. Majoriti pengundi luar bandar adalah pengundi Melayu yang akan memainkan peranan yang cukup besar dalam pilihan raya akan datang dan jika sekiranya tidak ada usaha berterusan ditunjukkan untuk menyemai nilai yang dinyatakan, maka ia akan menyukarkan proses mengurus kepercayaan dan keyakinan masyarakat itu.
Maka, sudah pasti ia kembali kepada persoalan sama ada kerajaan bersedia mengambil risiko selepas kenaikan harga minyak pada minggu lalu untuk mengadakan pilihan raya dalam jangka masa terdekat? Adakah pengundi luar bandar sudah dididik peri pentingnya keputusan tidak popular yang diambil oleh kerajaan?
Pihak berwajib akur ia adalah keputusan yang sukar diterima oleh masyarakat dan ia memerlukan masa untuk menyalurkan maklumat sebenar kepada mereka dan perlu mencari pendekatan melahirkan kefahaman masyarakat bahawa keputusan kerajaan perlu dilakukan sekarang untuk mengelak dari serangan kegawatan ekonomi global.
Sehingga itu, sukar untuk kita bersetuju bahawa pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat termasuk di Sarawak. Pengundi luar bandar juga perlu didedahkan kepada hasil NKRA, PTK, Model Baru Ekonomi dan pencapaian gagasan 1Malaysia supaya mereka tahu kepentingan kedudukan yang kondusif dari segi ekonomi dan politik untuk sekuriti mereka yang menghuni negara ini.
Peratusan sebanyak lima hingga tujuh peratus pengundi Melayu akan menentukan siapakah yang mampu menguasai majoriti dalam pilihan raya akan datang memandangkan pola pengundian masyarakat Cina masih sama, manakala terdapat perubahan dalam masyarakat India sejak Najib mengambil alih kepimpinan negara.
Justeru, tempoh masa 24 bulan boleh digunakan untuk mengembalikan kestabilan sepenuhnya, merancang program bersifat ‘akar umbi’ dan menunjukkan sudah ada perubahan sejak tahun 2008 dalam mempertahankan hak golongan ini, kesungguhan berhadapan dengan pelbagai cabaran.
- UTUSAN