Jadilah Pengguna Bijak
Kekurangan bekalan dan kenaikan harga runcit baru-baru ini menimbulkan persoalan apa yang ada pada gula sehingga pengguna yang mendabik dada sebagai bijak turut membiarkan diri mereka menjadi 'semut' sanggup `berebut' kerana bahan pemanis ini?
Rencana tiga siri ini memaparkan beberapa pandangan mengenai gula. Ini ialah bahagian akhir daripada tiga siri.
Apabila berlaku kekurangan bekalan gula, orang ramai bukan sahaja mengeluh tetapi menunjukkan reaksi marah.
Paparan media juga menunjukkan mereka menyerbu kedai dan pasar raya untuk membeli gula dalam kuantiti yang banyak sehingga mencetuskan 'pembelian panik' dalam kalangan pengguna lain.
Natijahnya, tindakan melulu sesetengah pengguna menyebabkan berlaku kekurangan bekalan gula di beberapa tempat.
Keadaan terus meruncing apabila ada peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga atau menyorok barang keperluan itu untuk meraih keuntungan singkat.
ISU YANG BERULANG
Bekalan tidak mencukupi, harga naik dan diseludup ke luar negara ialah antara alasan yang sering dikaitkan dengan kekurangan bekalan gula di negara ini.
Seperti tidak berpenghujung, saban tahun pasti berulang kemelut isu gula lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan dan yang aneh sekali kekurangan bekalan gula ini hanya berlaku di Malaysia.
Mengapa agaknya? Di samping banyak pihak yang menuding jari, semua ini juga terjadi di sebalik pelbagai langkah serta penguatkuasaan yang dilakukan pihak berkuasa.
Ada pihak pantas mendakwa berlaku manipulasi oleh pengilang dan peniaga. Ada pula pihak yang mahu kerajaan menarik balik sepenuhnya subsidi gula supaya harga gula di negara ini akan menjadi "setanding" dengan harga di negara-negara jiran dan ini akan mengurangkan penyeludupan keluar gula.
Difahamkan harga gula dijual sekitar RM2.50 hingga lebih RM3 sekilogram di negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura. Di Malaysia harga runcit gula yang disubsidi ialah RM1.90.
PEMBAZIRAN SUBSIDI
Kerajaan terpaksa menanggung beban subsidi gula hampir RM1 bilion setiap tahun walaupun bahan pemanis itu banyak mendatangkan mudarat dari segi kesihatan termasuk penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.
Beban subsidi sepatutnya bertambah kepada RM1.26 bilion jika harga gula di pasaran kekal pada RM1.45 sekilogram.
Beban subsidi yang melampau itu membuatkan kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga gula sebanyak 20 sen berkuatkuasa 1 Jan 2010, menjadikan harga gula RM1.65 sekilogram di Semenanjung dan RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak. Pada 16 Julai 2010, selepas berulangnya episod kekurangan bekalan, kerajaan terus mengurangkan subsidi gula menyebabkan harga runcitnya naik kepada RM1.90 sekilogram.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dipetik sebagai berkata kerajaan menanggung subsidi sebanyak 80 sen bagi setiap kilogram gula yang dijual pada harga semasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengulas kenaikan harga gula itu mahu rakyat negara ini daripada semua lapisan hidup, mengubah cita rasa dan kurangkan pengambilan gula.
Beliau dilaporkan berkata: "tidak ada logiknya kerajaan keluarkan subsidi hampir RM1 bilion untuk satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat."
CARI ALTERNATIF
Walau apa pun, pengguna akan terus menjadi mangsa jika masih mahu terus berada dalam zon keselesaan hidup mereka.
Sikap tidak bersedia untuk mencari alternatif kepada kemelut gula ini akan membuatkan masyarakat pengguna terus terperangkap dengan isu yang tidak berkesudahan ini seperti yang dinyatakan oleh Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
"Memang ada pengguna yang belum bersedia untuk mencari alternatif jika berlaku kekurangan barangan keperluan.
"Contohnya bekalan gula. Jika harga naik atau bekalan berkurangan oleh kerana faktor tertentu, pengguna perlu mengurangkan pengambilan gula atau mencari pemanis alternatif.
"Tetapi apa yang berlaku, sesetengah pengguna lebih suka merungut.
Ada yang membuat pembelian panik. Jika biasanya mereka membeli sekilogram gula bagi tempoh sebulan, mereka membeli lebih daripada itu kerana bimbang kekurangan bekalan gula akan membuatkan mereka terputus bekalan," katanya.
Beliau turut memberi contoh apabila berlaku kenaikan harga ayam, ada pengguna yang tidak bersedia untuk beralih kepada daging lembu atau ikan.
"Sebaliknya mereka merungut kerana harga ayam naik dan anak mereka suka makan daging ayam. Sepatutnya masa itulah mereka boleh mendidik anak mereka tentang isu-isu kepenggunaan," tambahnya.
Menurut beliau, pengguna sewajarnya bersikap bijak menentukan permintaan barang supaya permintaan tidak menjadi terlalu tinggi sehingga menyebabkan industri bertindak menaikkan harga.
Pengguna di negara ini, tegas Mohd Yusof perlu bersikap bijak mencari pilihan lain apabila berlaku kenaikan harga barang tertentu bagi memaksa industri menstabilkan semula harga barang keluaran dan jualan mereka.
UTAMAKAN KESIHATAN
Menakutkan! Statistik yang ada menunjukkan pengguna di Malaysia mengambil sebanyak 26 sudu teh gula sehari sedangkan keperluan gula yang disyorkan sekitar tujuh sudu teh sahaja.
Fomca, kata Mohd Yusof, memaklumkan kepada pengguna menerusi programnya agar tidak mengambil gula secara berlebihan kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.
"Berdasarkan kepada kenyataan yang dibuat oleh pelbagai pihak termasuk pakar pemakanan, pengambilan gula yang berlebihan boleh membahayakan kesihatan.
"Sebenarnya manusia tidak memerlukan gula terutama di dalam makanan atau minuman yang sudah ada gula terkandung di dalamnya.
"Gula yang terdapat dalam makanan sudah mencukupi untuk menampung keperluan bekalan gula kepada pengguna," katanya.
Bagaimanapun, sesetengah pengguna masih tidak menghiraukan kepentingan kesihatan kerana mereka belum lagi menghidapi penyakit seperti kencing manis yang disebabkan oleh pengambilan gula berlebihan.
"Masalahnya apabila penyakit ini telah dikesan pada diri mereka, dikhuatiri ia berada pada tahap yang kritikal.
"Pada masa itu sudah terlambat untuk mengurangkan pengambilan gula. Oleh itu mereka perlu mengamalkan pengambilan gula yang kurang dari sekarang sebagai langkah pencegahan penyakit yang berkaitan," tegas Mohd Yusof.
UBAH GAYA HIDUP
Beliau berkata Fomca pada tahun lalu menjalankan program "Gaya Hidup Sihat" dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta beberapa persatuan lain.
Program berkenaan, katanya, bertujuan mendidik pengguna agar mengamalkan gaya hidup sihat dari segi pemakanan dan amalan seharian di mana isu pengambilan gula berlebihan turut disentuh.
Pengguna juga, kata Mohd Yusof, menerusi Kempen Konsumer Kebangsaan (Kempen 3K) dididik agar mengubah suai gaya hidup mereka terutama dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup dan harga barang.
"Jika mereka merasa beban akibat kenaikan kos sara hidup, maka mereka sendiri perlu bijak melakukan langkah penjimatan antaranya mengurangkan belanja makanan, menanam sendiri sayur-sayuran dan mengurangkan bil utiliti seperti air, telefon dan elektrik.
"Negara kita sama seperti negara yang lain, terdedah dengan perubahan kos sara hidup. Kerajaan tidak selama-lamanya berkemampuan untuk memberikan subsidi khasnya apabila berlaku kekangan kewangan.
"Oleh itu, pengguna sendirilah yang perlu melakukan perubahan!" tegas Mohd Yusof.
- BERNAMA