Jurulatih sekolah memandu


Cuaca panas terik yang membahang di sekitar ibu kota pada hari itu tidak menghalang seorang ibu tiga anak untuk memberi tunjuk ajar kepada seorang wanita mengendalikan kenderaan 850cc berwarna putih di sebuah kawasan terbuka.

Wanita berbaju putih itu duduk di sebelah penumpang hadapan sambil menunjukkan sesuatu pada bahagian papan pemuka kenderaan empat tayar itu.

Kereta bersaiz kompak jenama tempatan itu meluncur perlahan di dalam kawasan yang dipanggil litar memandu itu. Saat kenderaan itu bergerak menaiki bukit dan berhenti di tengah-tengahnya, enjin kenderaan itu mati akibat kawalan pedal klac dan minyak yang tidak seimbang. Lalu, ia mengundur secara perlahan-lahan sambil menuruni jalan berbentuk anak bukit itu.

Norafida Samsuri, 38, sudah dapat mengagak bahawa situasi itu akan berlaku apatah lagi jika pelajarnya belum pernah memegang stereng kereta.

Berbekalkan pengalamannya, wanita yang berasal dari Setapak, Kuala Lumpur itu dengan pantas memberi arahan agar brek ditekan perlahan-lahan sambil membiarkan kenderaan itu menuruni anak bukit itu.

Situasi itu bukan asing kepada mereka yang terlibat dengan urusan latihan belajar memandu. Saban hari, jurulatih-jurulatih memandu pasti mengalami tekanan kerana perlu menguruskan pelajar-pelajar terutamanya pada peringkat permulaan.

Jika kerjaya sebagai seorang jurulatih memandu dianggap biasa dan kurang mencabar kepada sesetengah golongan lelaki, tetapi tanggungjawab sebagai seorang jurulatih wanita yang seringkali dipanggil 'cikgu' bagi sesetengah pelajar mempunyai cabaran yang tersendiri.

"Pelbagai masalah dan ragam yang tidak terjangka berlaku ketika sesi pembelajaran secara praktikal. Saya tidak boleh cemas, sebaliknya saya perlu kawal situasi.

"Pedal brek di bahagian kaki penumpang hadapan kenderaan belajar memandu menjadi penyelamat kepada masalah seperti itu.

"Ia adalah perkara yang perlu ada pada setiap kenderaan latihan kerana pelbagai situasi yang tidak terjangka mungkin berlaku.

Detik cemas

"Situasi pelajar yang melanggar tembok, memandu dengan cuai dan kemalangan kecil adalah perkara biasa pada saya," ujar Norafida ketika ditemui di Akademi Memandu Imkeda di AU3, Keramat, Kuala Lumpur.

Mengimbas detik cemas yang pernah dilaluinya, anak kedua daripada lapan adik-beradik itu menganggap ia adalah cabaran kepada mereka yang bergelar pendidik.

Sifat sabar perlu ada kerana ia menjadi tonggak utama untuk meneruskan kerjaya tersebut.

Bekerja di kawasan terbuka dan di bawah pancaran matahari bagaimanakah Norafida menjaga penampilannya?

"Menjaga penampilan adalah satu tuntutan kepada setiap wanita tidak kira apa sahaja kerjaya yang diceburi.

"Saya tidak merasakan kerjaya seperti ini saya tidak perlu menjaga penampilan," ujarnya yang sudah lali jika terpaksa berpanas atau berhujan.

Norafida yang turut mengisi masa lapangnya ke gimnasium menjelaskan, selain melatih pelajar memandu, dia juga bertanggungjawab melakukan kerja-kerja pengurusan. Antaranya menguruskan pendaftaran dan menyusun jadual.

Menjadikan pengalaman sendiri sebagai asas pengajarannya, pemegang Diploma dalam bidang kesetiausahaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu pernah mengalami beberapa kemalangan kecil sepanjang mengendalikan jentera empat tayar itu.

"Pengalaman mendewasakan kita. Ia menjadikan kita lebih peka. Saya mengambilnya sebagai satu garis panduan," katanya.

Kepada kebanyakan pelajar wanita, mereka lebih cenderung dan selesa memilih jurulatih wanita atas beberapa faktor.

Faktor keselesaan antara sebab mengapa jurulatih-jurulatih wanita mendapat permintaan yang tinggi. Bahkan ada juga pelajar lelaki yang selesa dengan jurulatih wanita.

"Saya memang mencari jurulatih wanita untuk belajar memandu kerana saya lebih selesa dan berkeyakinan untuk bertanya perkara yang kurang saya fahami.

"Lagi pun, suami lebih menggalakkan saya belajar dengan Norafida kerana saya lebih bebas," kata seorang pelajar Norafida, Qamar Fatima Abdul Rahman, 30.

Qamar Fatima adalah warganegara Pakistan yang tinggal di Gurney Heights, Keramat, Kuala Lumpur. Dia mengikut suaminya yang bekerja di Sepang, Selangor turut menjelaskan faktor agama menjadi sebab dia memilih jurulatih wanita.

"Sebagai seorang Muslim, lebih sopan jika saya belajar dengan wanita. Jika latihan dilakukan di dalam trek ia mungkin perkara biasa bersama jurulatih lelaki. Tetapi apabila membuat latihan di jalan raya, saya rasa lebih baik bersama wanita.

"Semangat yang ditunjukkan Norafida untuk mendidik pelajarnya sangat tinggi. Walaupun beliau perlu menguruskan hal keluarga dan kerjaya pada satu-satu masa, tetapi beliau boleh melakukannya," ujar Qamar Fatima.

Kisah yang sama turut dikongsi oleh Azwani Zawawi, 29. Dia mengambil alih tugas menerajui Sekolah Memandu Azna yang terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur milik bapanya sejak 12 tahun lalu.

Kesabaran yang tinggi

Ibu kepada tiga anak itu menjelaskan, melatih pelajar yang berumur 40 tahun ke atas agak mencabar kerana rata-ratanya memerlukan tempoh belajar lebih lama iaitu sehingga 40 jam berbanding 16 jam untuk sesi pembelajaran normal.

"Kerjaya ini menuntut kesabaran yang sangat tinggi bermula daripada asas pemanduan sehingga pada hari ujian, saya merasakan kerjaya ini cukup sebati dengan jiwa saya.

"Jika berlaku kemalangan kecil ketika mengajar ia adalah perkara biasa, namun saya dilatih untuk mengawal situasi itu," jelasnya yang memulakan kerja seawal pukul 7 pagi hingga 8 malam setiap hari. Azwani juga memegang lesen jenis B2 dan D sejak 12 tahun lalu.

Sementara itu, Penyelia Operasi Imkeda GPSM Sdn. Bhd., Dahlan Ujang menjelaskan, jumlah tenaga pengajar wanita masih belum mencukupi untuk menampung permintaan pusat latihan yang beribu pejabat di Cheras, Kuala Lumpur itu.

"Ramai pelanggan terutamanya wanita yang mahu belajar dengan jurulatih wanita. Bukan kerana mereka merasakan tidak selamat belajar bersama jurulatih lelaki, tetapi wanita yang sudah berkahwin dan remaja lebih selesa jika dilatih oleh wanita, "katanya.

Beliau berpendapat, pihak yang mengeluarkan sijil perlu peka berhubung pengiktirafan yang dikeluarkan kepada jurulatih-jurulatih baru. Mungkin sesetengah pihak beranggapan kerjaya sebagai jurulatih memandu satu kerjaya yang biasa, hakikatnya cabarannya sama seperti profesyen yang lain.

"Tempoh seminggu menjalani kursus untuk melayakkan seseorang itu menjadi tenaga pengajar adalah satu jangka masa yang amat singkat. Dalam tempoh itu tidak banyak yang dipelajari oleh bakal jurulatih," ujarnya yang mahu menarik lebih ramai wanita menceburi bidang itu.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Unknown
    Unknown Jumaat, 11 Januari 2013 pada 4:50:00 PTG SGT

    assalam saya nak tanya kalau kita nak mohon kerja sebagai jurulatih tu, apa kelayakan yg sepatutnya kita ada ye? terima kasih
    aida razak

Add Comment
comment url