WorldView-2 peneraju satelit pengimejan
Tanggal 8 Oktober 2009, sebuah satelit yang dinamakan WorldView-2 dilancarkan ke ruang angkasa California, Amerika Syarikat (AS) bagi menyertai ribuan satelit lain untuk mengorbit bumi.
Dikatakan, WorldView-2 jauh melangkaui keupayaan satelit lain yang terlebih dahulu dilancarkan ke ruang angkasa. Kelebihan itu memberi keyakinan bahawa satelit berkenaan mampu melaksanakan peranannya dengan jauh lebih baik.
Pengetahuan masyarakat mengenai satelit banyak tertumpu kepada satelit komunikasi berikutan meningkatnya industri penyiaran, selain permintaan kepada tayangan berdefinisi tinggi (HD). Masyarakat barangkali masih kurang arif mengenai kepentingan satelit pengimejan kepada negara.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Digital Globe, Jill Smith berkata, WorldView-2 dibangunkan bagi memantapkan industri satelit pengimejan dan meningkatkan standard industri melalui inovasi seiring keperluan kerajaan dan sektor korporat.
"Fungsi WorldView-2 bukan sekadar menyediakan imej berkualiti tinggi kepada industri bahkan keperluannya lebih jauh berbanding apa yang dipaparkan dalam sekeping imej.
"Sekeping imej mampu merungkai pelbagai persoalan dan mengesan sebarang perubahan atau sebarang ketidakstabilan yang berlaku di bumi melalui analisis imej satelit," katanya.
Menurut Jill Smith, keupayaan WorldView-2 jauh ke hadapan kerana didorong lapan sensor band multispektral yang memberikan imej jauh lebih jelas dan tepat.
"Kebanyakan satelit yang mengorbit bumi mempunyai kira-kira empat sensor band sahaja. Ini bermakna WorldView-2 mempunyai keupayaan berganda dalam menyediakan perkhidmatan berprestasi tinggi kepada pengguna," katanya mengenai satelit yang beroperasi pada altitud 770 kilometer itu.
Katanya lagi, dengan kapasiti Sistem Maklumat Geografi (GIS), ia mampu memberi sokongan kepada keputusan pengguna, pembuat dasar, kerajaan, sektor pertanian dan perladangan.
"Melalui pelbagai projek, negara sentiasa berkembang tetapi imej satelit dapat mengenalpasti pembangunan terancang atau pembinaan yang dilakukan tanpa permit. Kerajaan sentiasa dapat memantau perkembangan negara berdasarkan imej satelit yang disediakan dan pemetaan.
"Perubahan-perubahan itu dapat dilihat melalui tandaan warna-warna tertentu bagi menjelaskan sama ada imej tidak berubah, pertumbuhan baru atau pengurangan. Justeru, imej satelit yang berkualiti dapat memberi kesan kepada keputusan kerajaan," katanya.
Dalam pada itu katanya, WorldView-2 penting bagi memantau bencana alam seperti tanah runtuh, tsunami, perubahan cuaca mendadak dan mengesan sebarang keganjilan seperti penyakit di ladang-ladang atau tumpahan minyak di laut.
"Kelebihan lapan multispektral band membolehkan ia mengesan perubahan di dasar laut supaya tindakan tepat dapat diambil dengan kadar segera sekiranya berlaku sebarang keganjilan.
"Syarikat perladangan atau kerajaan melalui Jabatan Perhutanan dapat mengenalpasti penyakit yang menjangkiti pokok-pokok melalui sebuah imej satelit.
"Keperluan ini penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara," katanya. Syarikat Sime Darby dan Pusat Infrastruktur Data Geospatial Negara (MaCGDI) antara pelanggan yang mendapat manfaat daripada WorldView-2.
Sementara itu, jurucakap MaCGDI memberitahu, satelit pengimejan penting kepada MaCGDI sebagai sebuah agensi yang menyokong perkongsian dan penyebaran geospatial. Dengan pengimejan satelit ia membantu memberikan set data GIS yang holistik.
"Pihak berkuasa tempatan dan majlis bandar raya mahukan pengimejan beresolusi tinggi untuk simpanan data, pemantauan, penguatkuasaan dan perancangan mereka.
"MaCGDI mempunyai tanggungjawab untuk pengedarkan maklumat dan memenuhi keperluan mereka melalui imej-imej tertentu yang meliputi kawasan masing-masing," katanya.
Menurut MaCGDI, imej-imej berkenaan amat penting bagi melihat pembangunan masa hadapan. Ia juga mempunyai peranan besar kepada semua agensi kerajaan untuk membina peta berskala besar untuk kerja-kerja penting berkaitan persekitaran.
"Dengan menggunakan imej satelit beresolusi tinggi, data vektornya dapat menghasil dan membangunkan data GIS sebagaimana data peta.
"Pada tahun 2003 hingga 2005, MaCGDI membeli pengimejan satelit Digital Globe iaitu QuickBird untuk pelbagai aplikasi, termasuk pemetaan dan pemantauan persekitaran dan sumber-sumber," katanya.
Tambahnya, MaCGDI dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dijemput semasa pelancaran WorldView-2 di California, AS Oktober tahun lalu bagi mendalami kepentingan imej beresolusi tinggi.
"Penggunaan imej beresolusi tinggi seperti ditawarkan QuickBird, WorldView-1 dan WorldView-2 menjadi penting dalam aspek pemetaan dan GIS di Malaysia.
"MaCGDI sebagai agensi persekutuan yang bertanggungjawab dalam pengedaran data merasakan pengimejan amat penting untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam pelbagai bidang dan keperluan," katanya.
Justeru katanya, WorldView-2 yang ditawarkan Digital Globe dengan lapan band antara aplikasi terbaik buat masa ini dalam menyediakan maklumat pengimejan sempurna untuk liputan seluruh negara.
- KOSMO!