Menara Telekomunikasi berbahaya?
Persepsi atau tanggapan masyarakat mengenai menara telekomunikasi yang dibina berhampiran dengan kawasan penduduk sering dikaitkan dengan kesan negatif dan berbahaya termasuklah dikatakan boleh menyebabkan punca kepada penyakit kanser, pening kepala, gangguan ke atas janin bagi ibu mengandung dan sebagainya.
Namun pelbagai tohmahan itu kebanyakannya hanyalah kesan psikologi masyarakat sendiri yang mungkin mendapat maklumat tidak berasas mengenai radiasi, sedangkan pada hakikatnya belum ada satu kajian pun yang membuktikan adanya kesan negatif sama ada kanser atau penyakit lain akibat tinggal berhampiran dengan menara telekomunikasi.
Imbas kembali beberapa kejadian di negara ini termasuk di Petaling Jaya dan Cheras yang mana penduduk mengadu kepada pihak berkuasa apabila menara telekomunikasi dibina berhampiran dengan kediaman mereka, hingga akhirnya menara terbabit terpaksa dirobohkan.
Setiap kali berlakunya perobohan menara telekomunikasi itu, maka hanya sebilangan kecil yang untung kononnya 'menang' selepas berjaya mempengaruhi sesetengah pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sedangkan sebilangan besar penduduk mengalami kerugian akibat kehilangan ruang liputan rangkaian telekomunikasi.
Pemilik menara pula akan mengalami kerugian besar kerana kos tinggi pembinaan hingga menelan ratusan ribu ringgit untuk membina sebuah menara. Kos menurunkannya juga besar, sementara besi kerangka sedia ada itu tidak boleh digunakan semula.
Bagaimanapun, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa perobohan menara hanyalah jalan terakhir yang diambil sekiranya tiada penyelesaian dapat dilakukan selepas beberapa usaha lain diambil untuk tidak merobohkannya.
Ia termasuk membuat ujian kesan radiasi menggunakan peralatan khas oleh SKMM dan memberi penjelasan kepada masyarakat setempat mengenai isu berkaitan.
Sememangnya diperakui tanpa disedari bahawa kehidupan seharian kita di kelilingi oleh banyaknya gelombang frekuensi radio (RF) yang semuanya akibat ledakan era teknologi maklumat untuk membolehkan kita berkomunikasi dengan lebih mudah tidak kira di mana saja pada bila-bila masa.
Bayangkan ada tiga penyedia rangkaian telekomunikasi mudah alih terbesar di negara ini iaitu Maxis, Celcom dan DiGi. Adik bongsu mereka U Mobile adalah yang terakhir menjengah pasaran menerusi penawaran perkhidmatan 3G.
Mereka memancarkan gelombang GSM 900 dan 1800 Megahertz (MHz) dan 3G/HSPA 2100MHz dari menara yang dibina di atas tanah atau di atas bumbung bangunan di lokasi strategik untuk meliputi kawasan berpopulasi di negara ini.
Dari penyedia terbabit saja ada lebih enam pancaran gelombang RF melewati badan kita, Belum lagi dikaitkan dengan syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar WiMAX termasuk Packet One dan YTL, begitu juga dengan restoran atau premis yang menyediakan capaian tanpa wayar WiFi dan sebagainya.
Pendek kata, di sekeliling kita ini sebenarnya penuh dengan gelombang RF yang kalau benar ia mendatangkan bahaya, maka dah lama kehidupan kita terjejas.
Pengarah Kanan, Bahagian Teknologi, Standard dan Rangkaian SKMM, Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, berkata statistik yang dikumpul oleh pihaknya menunjukkan kadar penembusan telefon bimbit di negara ini kini sudah melebihi 100 peratus atau lebih tepat lagi ialah 106.2 peratus bagi setiap 100 populasi pada suku tahun keempat 2009.
Menurut Mohd Ali, untuk talian tetap pula, ia meliputi 44 peratus bagi setiap 100 kediaman dan jalur lebar 31.7 peratus bagi setiap 100 kediaman.
"Dengan proses perluasan ruang liputan yang agresif, hingga akhir Mei tahun ini kadar penembusan jalur lebar berjaya mencecah 37 peratus. Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai kadar penembusan sehingga 50 peratus menjelang akhir tahun ini," katanya dalam seminar dua hari kepada media mengenai RF di Pulau Pangkor, baru-baru ini bertujuan memberi penjelasan bagi membetulkan tanggapan negatif masyarakat itu.
Seminar itu turut dihadiri oleh beberapa pakar serta wakil dari kesemua pemain industri telekomunikasi di negara ini.
Mohd Ali berkata, sehingga kini hampir 20,000 tapak pemancar sudah dibina di seluruh negara dan ia terdiri dari jenis menara, atas bumbung serta lain-lain struktur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, baru-baru ini ketika melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) mengumumkan enam inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi merealisasikannya.
Antaranya termasuk memperluaskan liputan rangkaian awam yang mana 873 menara baru telekomunikasi akan dibina di seluruh negara termasuk 278 di Sabah dan 257 di Sarawak, serta penubuhan pusat Internet rakyat di 138 premis Jabatan Penerangan di seluruh negara yang memberi liputan jalur lebar kepada 400,000 pengguna.
Faktor itu menunjukkan bahawa perlunya menara pemancar untuk menambah ruang liputan rangkaian telekomunikasi mahupun jalur lebar tanpa wayar.
Profesor Dr Kwan-Hoong Ng, Jabatan Pengimejan Bioperubatan, Universiti Malaya, berkata terdapat dua jenis radiasi iaitu Radiasi Berion dan Tak Berion, yang mana radiasi berion memiliki tenaga yang cukup untuk mengubah tindak balas kimia pada tubuh badan dan memberi kesan kepanasan melampau seperti sinaran Gama dan sinaran X (X-ray).
Menurut Prof Dr Ng, Radiasi Tak Berion pula tidak memiliki tenaga yang cukup untuk menyebabkan pengionan dalam jirim hidup dan tidak mendatangkan kesan buruk pada manusia. Contohnya radiasi RF daripada pemancar TV, radio dan telekomunikasi.
"Spektrum EMF bagi elektrik statik dan medan magnetik ialah 0 Hertz (Hz), dan medan frekuensi paling rendah ialah di antara 0 Hz hingga 300 Hz. Manakala radiasi RF dan gelombang mikro (MW) ialah antara 300Hz hingga 300GHz," katanya.
"Setiap pancaran RF akan menghasilkan medan elektromagnet (EMF) yang dikira dalam bentuk voltan semeter persegi (Vm2). Apabila gelombang radio itu melalui badan kita, sebahagian tenaganya akan diserap, sementara jumlah tenaga yang terkumpul di dalam tisu badan adalah bergantung ke atas frekuensi radiasi - katalah kadar radiasi 1GHz, hampir semua tenaga diserap ke lapisan pertama dua hingga tiga sentimeter tisu badan," katanya lagi ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Apakah had dedahan RF? - Standard tempatan dan antarabangsa.
Paras selamat yang ditetapkan Suruhanjaya Antarabangsa Terhadap Perlindungan Radiasi Bukan Pengionan (ICNIRP) yang mana ketumpatan kuasa tidak harus melebihi 4.5 watt semeter persegi (W/m2) untuk 900Mhz, 9 W/m2 untuk 1900MHz dan 10 W/m2 untuk 2000MHz.
Apabila bercakap mengenai kesan yang timbul daripada radiasi RF, Prof Dr Ng, berkata sebenarnya jumlah radiasi yang dikeluarkan amat kecil. Ujian Agensi Nuklear Malaysia (ANM) membuktikan purata bacaan radiasi di kawasan sekitar pemancar telekomunikasi di semenanjung Malaysia ialah 0.000093 W/m2 bersamaan 0.002 peratus daripada jumlah pendedahan minimum yang dibenarkan ICNIRP.
"Negara kita banyak berpandukan kepada garis panduan antarabangsa ICNIRP yang mana ia dibangunkan mengikut penilaian saintifik termasuk kesan termal dan bukan termal, ia dibentuk untuk menyediakan perlindungan terhadap kesan kesihatan." "Garis panduan ICNIRP termasuk faktor keselamatan substantial. Ia juga memantau penemuan baru bidang saintifik untuk memastikan sebarang cadangan melindungi kesihatan. Dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Suruhanjaya Eropah. Ia diterima pakai di Afrika, Asia, Eropah dan Timur Tengah, serta mempunyai pendedahan standard yang sama digunakan di Amerika," katanya lagi.
Menurut Prof Dr Ng, standard Malaysia ke atas pendedahan RF kini sedang dibangunkan, namun kebanyakannya mengikut standard ICNIRP.
Profesor Madya Dr Md Zaini Jamaludin dari UNITEN pula berkata, jelas sekali bahawa tahap dedahan RF di negara masih terlalu jauh dari tahap bahaya. "UNITEN banyak menjalankan kerjasama dengan SKMM terutamanya dalam program berkaitan radiasi RF. Pelbagai ujian dijalankan untuk memastikan keselamatan penduduk serta menangkis bermacam tanggapan negatif mengenai tahap radiasi RF yang dikeluarkan oleh menara pemancar serta perkakasan yang berkaitan dengannya." "Setiap kali ada aduan kepada SKMM, ujian akan dijalankan di lokasi berkenaan. Kami menggunakan peralatan terkini dan termaju mengikut standard antarabangsa," katanya lagi.
Tiga komponen utama untuk membuat ujian iaitu antena tri-axial, penganalisa spektrum mudah dan perisian untuk kawalan dan analisa.
"Ujian dilakukan untuk mengukur tahap radiasi RF. Tidak pernah satu pun ujian dilakukan di kawasan aduan mempunyai nilai bacaan melebihi tahap bahaya, walaupun kami berada amat hampir dengan menara," katanya sambil menambah bahawa tanggapan masyarakat itu hanyalah kesan psikologi dan maklumat tidak benar dari faktor sekeliling.
Walaupun begitu, menurut Prof Dr Md Zaini sebagai langkah berjaga-jaga audit tahunan mesti dilaksanakan serta ujian mestilah dijalankan ke atas lebih banyak stesen pangkalan.
Dr Piruthavany Muthuvelu dari Kementerian Kesihatan pula berkata, walaupun belum ada bukti yang menunjukkan kesan radiasi RF ke atas kesihatan, namun kita haruslah mengambil langkah berhati-hati dengan pelbagai peralatan berkaitan termasuk telefon bimbit.
"Kalau boleh jangan dedahkan kanak-kanak yang masih di peringkat tumbesaran dengan telefon bimbit misalnya, mereka memiliki sel tisu yang masih baru terutamanya di bahagian otak. Kita khuatir kalau-kalau ia akan menjejaskan tumbesaran mereka," katanya.
Mengenai kaitannya dengan kanser otak, Dr Piruthavany menyatakan saintis masih berbelah bagi untuk mengaitkannya dan lebih banyak kajian perlu dijalankan.
"Banyak maklumat kita boleh peroleh terutamanya di Internet. Ada yang menyarankan supaya kurangkan tempoh penggunaan telefon bimbit, gunakan kit bebas tangan dan jangan letakkan di dalam poket, sebaliknya diletakkan di tali pinggang," katanya sambil berkata itu hanya sebagai peringatan dan langkah berjaga-jaga.
- HARIAN METRO