Tip sihat sepanjang percutian
Jangan sampai percutian yang lama dirancang hancur semuanya kerana sakit.
Oleh itu, adalah sangat penting untuk selalu menjaga kesihatan sama ada di rumah atau perjalanan.
Namun, dalam perjalanan seperti bercuti bersama keluarga atau tinggal di luar negara, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khusus.
Jangan abaikan kesihatan
Hal pertama yang perlu dilakukan jika bercuti, apalagi ke luar negara ialah mengetahui vaksin apa yang diperlukan sebelum anda berangkat. Jenis vaksin yang diperlukan bergantung keadaan negara yang dikunjungi.
Masalah kesihatan yang biasa dihadapi dalam perjalanan.
Masalah kesihatan yang umum terjadi ketika bercuti iaitu jet lag dan sindrom ketinggian (altitude sickness).
Jet lag biasanya terjadi apabila anda menerima jumlah cahaya yang berbeza dan ia dapat mengubah jam biologik tubuh. Ia menyebabkan beberapa masalah, antaranya sakit perut, insomnia dan kelelahan.
Untuk mengatasinya, jika berjalan dari barat ke timur, elak berada di bawah terik cahaya matahari pada hari pertama.
Sementara penyakit ketinggian (altitudes sickness) disebabkan udara yang kering, oksigen yang berkurang dan tekanan barometrik yang rendah ketika berjalan di ketinggian yang lebih tinggi daripada sebelumnya.
Akibatnya, anda boleh mengalami masalah seperti sakit kepala, dehidrasi, atau sesak nafas. Pencegahan terbaik untuk masalah ketinggian adalah secara bertahap meningkatkan tahap ketinggian setiap hari supaya biasa dengan kedudukan itu.
Jika ia tidak baik, gunakan ubat acetazolamide bagi membantu menghilangkan dan mencegah penyakit ketinggian.
Jika anda mengalami masalah dengan ketinggian, berjumpa dengan doktor sebelum bercuti.
Makan dan minum dengan selamat
Semua makanan yang direbus umumnya selamat, begitu pula dengan buah-buahan dan sayuran yang dikupas sebelum dimakan.
Elak makan daging mentah atau separuh masak serta makanan yang disajikan dalam keadaan tidak dimasak.
Anda mungkin pernah mendengar pelancong dari negara maju dilarang minum air di beberapa negara.
Ini disebabkan banyak negara tertentu tidak mengambil berat mengenai bakteria virus dan parasit dalam air.
Bawa ubat
Ketika mengemas, masukkan semua ubat dan persediaan berkaitan kesihatan yang biasa anda gunakan. Semua itu mungkin sukar ditemui di negara lain.
Anda mungkin boleh mendapatkannya di negara yang dikunjungi tetapi ada kalanya ubat-ubat itu terlalu keras atau lemah untuk anda.
Jadi, bawalah ubat yang dapat membantu anda ketika tidak sihat, antaranya ubat alergi, insulin, ubat demam, selesema dan vitamin.
- HARIAN METRO