Solat Jumaat, Musafir dan Beberapa Isu Berkaitan

Persoalan musafir tidak terlepas daripada perbincangan mengenai Solat Fardhu Jumaat berjemaah. Dalam topik ini terdapat beberapa perkara yang perlu dibincangkan, samada kerana kepentingannya mahupun kerana beberapa persoalan yang sering timbul mengenainya. 3 isu berkaitan yang akan dibicarakan adalah: [1] Hukum solat Jumaat bagi orang musafir, [2] Solat Jumaat dengan jumlah jemaah yang kurang dari 40 orang dan [3] Solat Jumaat dalam suasana jemaah yang penuh sesak.

Pertama - Hukum solat Jumaat bagi orang musafir.

Menurut pendapat majoriti fuqaha, seseorang yang menghadiri suatu perjalanan atau musafir yang mencukupi syarat-syarat mengqasarkan solat, tidak diwajibkan untuk menghadiri solat Jumaat. Ini adalah kerana tidak diterima sebarang riwayat bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ada melaksanakan solat Jumaat dalam mana-mana ekspedisi atau peperangan atau perjalanan yang beliau lakukan sepanjang hidupnya. Ini juga dicontohi oleh para sahabat beliau radiallahu-anhum di mana tidak dinukilkan sebarang riwayat dari mereka, samada ketika masa kehidupan Nabi atau selepas kewafatan beliau, bahawa mereka ada melakukan solat Jumaat ketika musafir.[1]

Walaubagaimanapun amat dianjurkan seseorang yang bermusafir itu agar tetap berusaha untuk menghadiri solat Jumaat berjemaah sebagai mengelak dari pergeseran dengan pendapat lain yang mengatakan solat Jumaat tetap wajib sekalipun bagi orang musafir. Pendapat yang mewajibkan ini berhujah atas dasar bahawa tiada nas atau dalil sahih yang mengatakan bahwa seseorang yang musafir tidak perlu menghadiri solat Jumaat. Oleh kerana tiada dalil yang mengecualikan suasana musafir, maka hukum solat Jumaat ini kembali pada perintah asal, iaitu tetap wajib bagi semua orang, mastautin mahupun musafir.

Tambahan lagi Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak mengecualikan seorang musafir dari solat Jumaat tetapi hanya mengecualikan mereka yang terdiri daripada [1] wanita, [2] budak belum baligh, [3] orang sakit dan [4] hamba sahaya. Sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam Jumaat adalah benar, wajib atas semua umat Islam dengan berjemaah kecuali empat golongan - hamba sahaya, wanita, anak-anak atau orang sakit. [2]

Adapun riwayat yang berbunyi Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka wajib ke atasnya solat Jumaat kecuali wanita atau orang musafir atau hamba sahaya atau orang sakit adalah tersangat daif kedudukannya[3], demikian juga sebuah lagi riwayat lain yang bermaksud Tidak wajib Jumaat atas orang musafir adalah juga daif kedudukannya[4]. Kedua-dua hadith yang daif ini tidak boleh dijadikan hujah pegangan atau sumber rujukan hukum.

Justeru itu sekalipun majoriti para fuqaha berpendapat bahawa solat Jumaat tidak wajib ke atas orang musafir, tetapi sebagai pilihan yang selamat lagi dipertengahan, adalah amat disyorkan bagi seseorang itu untuk tetap berusaha menghadiri solat Jumaat berjemaah. Anjuran ini menjadi lebih berat mengingatkan banyaknya fadilat-fadilat Hari Jumaat itu sendiri beserta keutamaan solatnya, sebagaimana yang banyak dipesan oleh baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Tambahan lagi solat Jumaat di kala musafir membuka peluang untuk kita berkenalan dengan komuniti tempatan dan beramah mesra lagi memperluaskan hubungan sesama umat.

Kedua - Solat Jumaat dengan jumlah jemaah yang kurang dari 40 orang.

Adakalanya apabila kita menghadiri solat Jumaat di masjid-masjid atau surau-surau di negara-negara di mana umat Islamnya wujud sebagai kaum minoriti, kita akan dapati solat Jumaat mereka dihadiri oleh bilangan jemaah yang kurang dari 40 orang. Maka dalam suasana ini bagaimanakah hukum solat Jumaat tersebut mengingatkan kepada pendapat masyhur tempatan yang mengatakan bahawa bilangan minimum bagi jemaah solat Jumaat adalah 40 orang ?

Dalam hal ini penulis tidak akan membicarakan hukum solat Jumaat yang dihadiri kurang daripada 40 orang tetapi sebaliknya akan mengupas dasar rujukan bilangan 40 itu sendiri. Pendapat yang mengatakan bahawa jumlah minimum jemaah solat Jumaat adalah 40 orang adalah berdasarkan kepada hadith berikut ini:

Abdurrahman bin Ka'ab menceritakan bahawa apabila ayahnya mendengar seruan azan hari Jumaat, dia mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah. Maka aku (Abdurrahman) bertanya kepada ayahku: Apabila engkau mendengar seruan azan lalu mengapa engkau mendoakan rahmat untuk As'ad bin Zurarah ?

Jawab ayahku: Kerana dialah yang pertama kali melakukan solat Jumaat bersama kami di Hazm Annabit, terletak di tanah berbatu Bani Bayadhah, iaitu di Naqi'ul Khadhamat.

Aku bertanya: Berapa orang (yang hadir) ketika itu ?

Jawab ayahku: 40 orang.[5]

Hadith di atas dijadikan sumber rujukan oleh pihak yang berpendapat bahawa jumlah minimum bagi jemaah solat Jumaat adalah 40 orang. Walaubagaimanapun pengkajian mendalam oleh ahli-ahli hadith serta fiqh mendapati bahawa hadith di atas tidak boleh dijadikan sumber patukan hukum 40 orang sebagai bilangan minimum kerana hadith tersebut hanya menyatakan jumlah jemaah yang hadir dan tidak pula membatasi jumlah tersebut. Justeru itu hadith di atas tidak boleh dijadikan hujah bagi menghadkan bilangan minimum jemaah bagi satu-satu solat Jumaat yang dilaksanakan. Imam asy-Shaukani menulis: Bahawa tidak ada pengertian di dalam hadith di atas untuk mensyaratkan 40 orang, sebab kisah di atas adalah satu kejadian yang terjadi secara kebetulan. Telah ditetapkan dalam ilmu usul bahawa kejadian secara kebetulan tidak boleh dijadikan hujah untuk hal-hal yang bersifat umum.[6]

Selain itu pihak yang menghadkan jumlah minimum 40 orang juga merujuk kepada atsar sahabat berikut ini, di mana Abdullah ibnu Mas'ud radiallahu-anhu telah diriwayatkan berkata: Kami solat Jumaat bersama Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan aku (Ibnu Mas'ud) adalah orang terakhir yang datang sedang jumlah kami adalah 40 orang laki-laki.[7] Atsar ini juga tidak boleh dijadikan rujukan tepat kerana ia hanya menceritakan secara kebetulan bahawa jumlah jemaah adalah 40 orang dan bukannya pula mensyaratkan jumlah minimum 40 orang.

Apa yang benar dalam hal ini adalah - tidak ada jumlah minimum bilangan jemaah yang disyaratkan oleh syari'at bagi mensahkan sesuatu solat Jumaat itu. Dalam beberapa riwayat-riwayat lain jelas tertera bahawa solat Jumaat pernah didirikan di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dengan jumlah yang kurang dari 40 orang.[8]

Pernah sekali suatu rombongan perdagangan dari Syam tiba di kala Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sedang memberi khutbah solat Jumaat lalu para jemaah terus keluar dan menuju kepada rombongan tersebut sehingga yang tertinggal di masjid hanya 12 orang sahaja. Solat Jumaat itu diteruskan dengan jemaah yang 12 tersebut tanpa apa-apa halangan atau pembatalan dan tidak pula diulangkan.[9]

Yang sahih adalah - apabila sahaja sesuatu solat Jumaat itu menepati syarat-syarat jemaah, iaitu ada imam dan ada makmum, maka itu adalah mencukupi sebagai syarat sah solat tersebut. Imam asy-Shaukani menganalisa: Ketahuilah, tidak ada landasan dalil untuk mensyaratkan jumlah 80, 30, 10, 9 mahupun 7 orang, begitu pula sahnya Jumaat hanya dengan satu orang sahaja. Pihak-pihak yang menganggap sahnya Jumaat hanya dengan 2 orang sahaja beralasan bahawa jumlah ini adalah berdasarkan hadith dan ijma'. Mereka berpendapat tidak ada dalil yang mengsyaratkan jumlah tertentu padahal jemaah dalam solat apajua sudah sah hanya dengan 2 orang, tidak ada perbezaan antara solat Jumaat dan solat jemaah. Dan tidak ada nas dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bahawa solat Jumaat tidak sah kecuali dengan jumlah sekian-sekian orang. Pendapat inilah yang paling kuat dan rajih menurut saya.[10]

Prof. Dr. Wahbah Zuhaili juga telah menulis: Jelas kepada pengarang bahawa sembahyang Jumaat perlu kepada perhimpunan jemaah. Apabila tercapai jemaah yang ramai mengikut kebiasaan maka diwajibkan sembahyang Jumaat dan hukumnya adalah sah. Dan tidak terdapat nas yang jelas yang mensyaratkan bilangan tertentu tetapi jemaah adalah syarat yang disepakati semua ulama' bagi sembahyang Jumaat kerana sudah maklum di dalam syara' bahawa jemaah itu terdapat ketika sembahyang.[11]

Kesimpulan dalam perbicaraan ini adalah bahawa tidak ada jumlah minimum jemaah yang perlu untuk dijadikan syarat sah solat Jumaat. Asal sahaja dalam sesuatu perhimpunan itu menepati syarat jemaah, iaitu ada imam dan ada makmum maka itu adalah memadai. Sudah tentu semakin ramai jemaah semakin afdal solat tersebut tetapi ini adalah sekadar keutamaan dan bukan syarat ketetapan. Oleh itu seseorang yang menyertai solat Jumaat yang dihadiri oleh bilangan jemaah yang kurang dari 40 orang, samada di seberang mahupun di tanah air, maka solatnya itu beserta solat para jemaah lainnya adalah tetap sah.

Ketiga - Solat Jumaat dalam suasana jemaah yang penuh sesak.

Jikalau sebentar tadi kita membicarakan status hukum solat Jumaat dalam suasana bilangan jemaah yang sedikit, kini kita bicarakan pula status solat Jumaat dalam suasana jemaah yang ramai lagi penuh sesak sehingga menyebabkan seseorang itu tidak dapat sujud dengan sempurna. Adakalanya sesuatu komuniti itu mempunyai masjid yang kecil tetapi jumlah umat yang ramai sehingga apabila tiba waktu solat Jumaat, masjid menjadi sempit lagi penuh sesak sehingga apabila seseorang itu hendak sujud, dia hanya dapat bersujud di atas belakang atau di atas kaki jemaah di hadapannya. Maka dalam situasi begini adakah sah solatnya ?

Menurut para fuqaha dari mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali, solat dalam suasana di atas adalah tetap sah sekalipun seseorang itu tidak dapat melakukan sujudnya dengan sempurna kerana ia dipandang sebagai satu kesukaran yang sememangnya tidak dapat dielakkan. Ia dikaitkan umpama seorang pesakit yang disebabkan oleh keuzurannya, tidak dapat sujud dengan sempurna melainkan sekadar yang mampu.[12]

Sekalipun dalam etika bersujud Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telahpun mensyaratkan cara-cara, posisi serta kedudukannya, tetapi syarat tersebut termasuk sesuatu yang dimaafkan jikalau ia tidak dapat dilaksanakan kerana sesuatu halangan atau kesukaran yang bukan disengajakan. Dalam hal ini kita teringat kepada sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Apa yang aku tegah kamu darinya maka hendaklah kamu jauhinya dan apa yang aku perintah kamu dengannya maka hendaklah kamu laksanakan sedaya mampu. [13]

Kesimpulan.

1. Tidak diwajibkan solat Jumaat ke atas orang musafir. Walaubagaimanapun amat dianjurkan untuk tetap menghadirinya sebagai pilihan terbaik antara dua pendapat serta kerana banyaknya fadilat solat itu sendiri.

2. Tidak disyaratkan apa-apa jumlah minimum bagi bilangan jemaah solat Jumaat.

3. Solat Jumaat adalah tetap sah sekalipun seseorang itu tidak dapat sujud dengan sempurna disebabkan oleh suasana masjid yang penuh sesak.


RUJUKAN:

[1] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/284-286 ; Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/252.

[2] Maksud hadith dari Thariq bin Syihab radiallahu-anha, Sunan Abu Daud - no: 1026 dan disahihkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani, al-Iraqi dan asy-Shaukani, Nail-ul-Authar, 3/527.

[3] Riwayat di atas ditakhrij oleh Imam ad-Daruquthni dan al-Baihaqi dari Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu, dinyatakan kelemahannya oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar, 3/527-528.

[4] Maksud hadith dari Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma diriwayat oleh at-Thabrani dalam al-Ausath, didaifkan kedudukannya oleh Imam as-Sha'nani dalam Subul-us-Salam, 2/236.

Perbincangan mengenai hukum solat Jumaat bagi orang musafir adalah luas dan oleh itu para pembaca sekalian dijemput mengkaji kitab-kitab fiqh muktabar bagi mencari jawapan yang paling mendekati kebenaran. Ada juga yang memilih hukum pertengahan dengan mencadangkan agar orang yang bermusafir tidak wajib melaksanakan solat Jumaat ketika dalam perjalanan tetapi hanya melaksanakan ia ketika di persinggahan atau apabila berada di destinasi (Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/237). Lihat juga analisa serta tahqiq yang dihujahkan oleh Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie dalam kitabnya Koleksi Hadith-hadith Hukum, vol 3, ms 235 dan seterusnya.

[5] Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 1028 , dinilai hasan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Nail-ul-Authar, 3/535.

[6] Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 5/536.

[7] Maksud atsar sahabat riwayat Imam al-Baihaqi dari Nail-ul-Authar, 3/537 , dikemukakan oleh Imam asy-Shaukani tanpa membicarakan status kekuatannya. Sebagai analisa, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili ada mengemukakan sebuah atsar berlainan yang juga berasal dari Abdullah ibnu Mas'ud yang menerangkan bahawa jumlah minima jemaah solat Jumaat adalah 40 orang dan tidak sah jikalau jumlah ini dikurangi. Walaubagaimanapun atsar ini yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi tidak dikemukakan sumber rujukannya dan ia juga tidak dijadikan dalil pegangan oleh Dr. Wahbah Zuhaili sendiri. Lihat kitab beliau - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/295.

[8] Kajian lanjut terhadap riwayat-riwayat ini, sila lihat buku Solat Jumaat: Sejarah dan Tatacara Perlaksanaannya, ms 113-124 oleh A. Chodri Romli, terbitan Al-Hidayah, M'sia, 1994.

[9] Maksud pengajaran hadith dari Sunan Tirmizi - no: 3365, dikemukakan sebagai hujah oleh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/294 dan A. Chodri Romli - Solat Jumaat: Sejarah dan Tatacara Perlaksanaannya, ms 27-28.

[10] Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 5/538.

[11] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/296.

[12] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/330.

[13] Maksud hadith dari Abu Hurairah radiallahu-anhu riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Syarh Matan al-Arba'in an-Nawawi, no: 09.

http://hafizfirdaus.com/
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url