JAKIM diberi kuasa penuh

Penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 1972 (pindaan 2010) (APD 1972) akan memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengambil tindakan tegas terhadap hotel, restoran dan premis makanan yang gagal mempamerkan logo halal yang dikeluarkan Bahagian Hab Halal agensi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pindaan yang membabitkan Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan ‘Halal’) 1975 dan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975 mengikut APD 1972 itu juga mampu memberi perlindungan kepada pengguna khususnya umat Islam daripada amalan perniagaan tidak sihat peniaga.

“Ketika ini, kita hanya memberi galakan kepada hotel, restoran atau premis makanan memohon sijil halal JAKIM, sebagai satu daripada konsep dakwah.

“Namun, apabila APD 1972 (pindaan 2010) dikuatkuasakan, mana-mana premis makanan termasuk hotel lima bintang perlu memperoleh sijil halal daripada JAKIM,” katanya kepada media selepas melancarkan program Jelajah Sahabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) 1Malaysia 2010 di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan bila secara tepat pindaan itu akan dikuatkuasakan.

Hadir sama Yang Dipertua YADIM, Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir.

Beliau mengulas keengganan sesetengah hotel lima bintang di negara ini memohon sijil halal yang dikeluarkan Bahagian Hab Halal JAKIM sehingga menimbulkan rasa kurang senang pengguna khususnya umat Islam.
Mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan ‘Halal’) 1975, menteri mempunyai kuasa untuk memberi takrifan berhubung dengan perbahasaan ‘Halal’, ‘Ditanggung Halal’, ‘Makanan Islam’ atau mana-mana perkataan yang membawa maksud halal seperti ditetapkan hukum syarak.

Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975 pula melarang semua jenis makanan dilabelkan ‘Halal’, melainkan ia benar-benar halal mengikut hukum syarak.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url