Kad alumni UiTM dilancar
Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat, berkata kad berkenaan ditawarkan khusus untuk lebih 400,000 ahli alumni UiTM dan juga warga kerja pusat pengajian tinggi awam itu yang ditubuhkan sejak 54 tahun lalu.
Beliau berkata, pelancarannya juga sebahagian daripada program tanggungjawab korporat bank itu membantu mengumpul dana Tabung Biasiswa UiTM–Tabung Mengubah Destinasi Anak Bangsa (MDAB) yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Matlamat kami mendapatkan sekurang-kurangnya 30,000 kad di bawah inisiatif jenama bersama ini dan menyumbang RM3 juta kepada tabung MDAB dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya selepas pelancaran kad kredit itu di Shah Alam, semalam.
Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar; Naib Presiden, Pengurus Kanan Malaysia dan Brunei MasterCard Worldwide, Jim Cheah dan Pengurus Besar Perbankan Pengguna Bank Islam, Khairul Kamaruddin.
Zukri berkata, Bank Islam akan menyumbang 0.3 peratus daripada nilai setiap transaksi runcit pemegang kad kredit dan RM60 bagi setiap kad baru yang diaktifkan.
Katanya, sumbangan terbabit dihitung menerusi jumlah transaksi runcit bulanan terkumpul dan semua kos pengurusan program Kad Platinum MasterCard Bank Islam-Alumni UiTM ditanggung oleh pihak bank.
- BERITA HARIAN