Wabak di Lubuk Yu diisytihar berakhir

Wabak melioidosis (bakteria disebabkan air dan tanah) dan leptospirosis (air kencing tikus) yang dikesan di Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran diisytiharkan berakhir selepas tidak ada lagi kes baru dilaporkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Pahang, Datuk Hoh Khai Mun, berkata sehingga Rabu lalu tiada kes baru dilaporkan pada kalangan mereka yang terdedah.

"Maka wabak itu adalah dengan ini diisytiharkan tamat. Ini berdasarkan tempoh inkubasi terpanjang yang mana kemungkinan untuk mendapat jangkitan adalah 28 hari selepas pendedahan kepada bakteria tersebut," katanya kepada pemberita, di Kuantan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pusat perkelahan itu masih lagi ditutup untuk siasatan lanjut serta penilaian dan pemantauan semula selepas aktiviti pembersihan kawasan yang dijalankan pada 22 Julai lalu.

Beliau berkata, siasatan dan penilaian tahap risiko sedang dilakukan jawatankuasa kecil teknikal yang akan memberi laporan penemuan dan cadangan kepada jawatankuasa kecil bencana wabak berkenaan.

"Sehingga pagi tadi kes yang disyaki terlibat adalah sebanyak 22 kes yang mana tujuh daripada kes itu telah meninggal dunia manakala dua kes lagi sedang dirawat di hospital," katanya.

Beliau berkata, kes yang masih dirawat ialah satu di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh dan satu lagi di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.

Katanya, daripada 22 kes itu, enam telah disahkan sebagai melioidosis, empat kes disahkan mempunyai jangkitan bersama melioidosis dan leptospirosis, 11 disahkan negatif manakala satu kes lagi tidak diambil sampel iaitu kes yang mati di rumah.

Pada 10 Julai lalu, kawasan perkelahan Lubuk Yu diarahkan ditutup serta-merta selepas enam orang meninggal dunia disyaki akibat jangkitan melioidosis dan leptospirosis.

Susulan itu 83 lagi menghidap simptom yang sama. Semua mereka dipercayai terbabit dalam usaha mencari dan menyelamat seorang pemuda yang lemas di taman rekreasi berkenaan pada 26 hingga 30 Jun lalu.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url