Contohi keberanian bersuara ahli politik Turki

Oleh Hasliza Hassan

Ahli politik negara perlu mencontohi karakter ahli politik Turki yang berani dan lebih terbuka melakukan perubahan pindaan rang perlembagaan negara itu melalui pungutan suara walaupun sedar terpaksa berhadapan tentangan.

Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, berkata perkembangan yang berlaku di Turki selepas pungutan suara 12 September lalu wajar dijadikan iktibar.

Katanya, jika Turki yang sentiasa berada dalam tekanan untuk menterjemahkan Islam boleh menggerakkan satu perjalanan hebat, Malaysia yang memiliki prasarana Islam sepatutnya dapat melakukan yang lebih hebat.

“Banyak prasarana diwujudkan kerajaan seperti sistem kewangan dan perundangan syariah, seharusnya menjadi kerangka baik kerana pertemuan semua faktor yang ada sepatutnya melonjakkan kita jauh daripada apa yang kita ada.

“Di Turki, kekangan yang wujud amat nyata seperti perlembagaan, peranan tentera dan kesukaran rakyat menjelmakan perasaan Islam mereka, tetapi mereka mampu menggunakan pemikiran strategik untuk mencapai apa diharapkan,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin sekarang jika berjiwa besar perlu berani, lebih terbuka serta jangan segan silu termasuk menyatakan kepentingan Melayu dan Islam untuk melihat masa depan lebih baik.

Perbandingan perkembangan di Turki dan situasi di Malaysia antara perkara dibangkitkan ahli panel serta peserta dalam forum bertajuk Pembaharuan Perlembagaan Turki dan Masa Depan Demokrasi Islam anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS).
Selain Mohamad, tiga ahli panel lain ialah Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Mohd Redzuan Othman; Profesor di Jabatan Undang-Undang Awam, Kuliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari dan Timbalan Profesor Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM, Dr Saim Kayadibi.

Program itu mengupas perkembangan di Turki apabila 26 rang pindaan perlembagaan negara itu yang digubal 30 tahun lalu selepas rampasan kuasa tentera pada 1980 yang dikemukakan Kerajaan Turki diluluskan dalam pungutan suara.

Menurut statistik daripada Lembaga Pengarah Am Penerangan dan Maklumat Turki (DGPI), rang pindaan Perlembagaan itu diluluskan dengan 58.02 peratus undi menyokong dan 41.98 peratus undi menentang dalam pungutan suara yang diadakan 12 September lalu.

Pungutan suara meluluskan pindaan rang Perlembagaan Turki bukan saja membawa perubahan positif kepada negara itu, juga memberi kesan kepada hubungan dengan negara Islam lain dan Kesatuan Eropah (EU).

Mohamad berkata, melihat perkembangan di Turki itu, Malaysia serta negara Islam lain yang memiliki kelebihan boleh belajar cara demokrasi yang dianjurkan dengan menanam kesedaran Islam dalam kalangan rakyat mereka.

Abdul Aziz berkata, proses pungutan suara yang berlaku di Turki dan penerimaannya adalah satu percubaan berani yang boleh menjadi iklan terbaik untuk mempromosikan demokrasi Islam serta memberi imej baik kepada aktivis Muslim.

Katanya, kebanyakan negara di dunia seperti Malaysia dan Amerika Syarikat, tidak mempunyai prosedur pungutan suara kerana semua keputusan dibuat di Parlimen yang memerlukan persetujuan dua pertiga ahlinya.

“Malah, di negara kita, ada keputusan perlu mendapat kelulusan ketua negeri. Oleh itu, perubahan di Turki adalah terjemahan kepada kemampuan Islam menghasilkan perubahan selain petunjuk bahawa orang Islam tidak mempunyai masalah untuk hidup bersama bukan Islam,” katanya.

Justeru katanya , sosialisasi politik di Turki patut dijadikan contoh negara lain kerana proses diguna pakai melalui pungutan suara adalah percubaan demokratik, secara tidak langsung mencerahkan peluang negara itu menyertai Kesatuan Eropah.

Sementara itu, Saim berkata, golongan yang menyokong pindaan rang Perlembagaan melihat kejayaan itu sebagai langkah pertama mencapai kebebasan dan hak asasi manusia untuk menikmati kehidupan lebih baik.

Selepas melalui tiga rampasan kuasa oleh pihak tentera pada 27 Mei 1960, 12 Mei 1971 dan 12 September 1980, rakyat negara itu bersedia untuk mengubah Perlembagaan dirangka kerajaan yang berkuasa sejak 30 tahun lalu.

“Inilah perjuangan mereka yang mengatakan ‘ya’ untuk mendapat sedikit ruang supaya dapat hidup dengan aman dan bebas. Mereka mahu ada kebebasan untuk hidup, berpakaian, belajar, berfikir dan mengamalkan agama.

“Dulu nak cakap mengenai makanan halal pun tidak boleh kerana bertentangan dengan sekularisme. Ia ibarat kumpulan bumiputera Turki, tetapi tidak mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan serta memperjuangkan hak mereka.

“Walaupun sudah berjaya, tetapi masih ada golongan yang menentang yang berkata ‘tidak’ kepada pindaan disebabkan fahaman sekularisme. Bagi mereka tidak ada tempat untuk orang berbeza pandangan dan mereka tidak bersedia untuk berkongsi manfaat dengan orang lain,” katanya.

Mengenai masa depan Islam dan demokrasi di Turki, Saim berkata, tidak dinafikan Turki bakal menjadi perhatian selepas ini, tetapi jumlah yang menyokong membuktikan peningkatan kesedaran Islam di sana iaitu Turki kini lebih Islamik.

Artikel 15 Perlembagaan yang menyediakan perlindungan kepada pemimpin yang merampas kuasa akan dimansuhkan. Pindaan akan membolehkan pemimpin yang merampas kuasa pada 1980 dibawa ke muka pengadilan.

Sebelum ini, ahli perniagaan yang mempunyai hutang cukai dibenarkan ke luar negara berbanding di bawah undang-undang sebelum ini yang menghalang ahli perniagaan berdepan siasatan atau pendakwaan berbuat demikian.

Larangan hak untuk melakukan mogok juga dihapuskan dan kesatuan sekerja tidak akan dipertanggungjawabkan jika berlaku kerosakan harta benda atau tempat kerja semasa berlakunya mogok.

Perubahan juga memastikan hak sama rata antara lelaki dan wanita, perlindungan kanak-kanak, orang tua, orang kurang upaya dan memelihara data peribadi supaya tidak disalah guna pihak tertentu.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url