Penentuan waris pastikan hak penerima pusaka dilindungi
Pentadbiran pusaka adalah proses biasa selepas berlaku kematian. Penyelesaian pusaka perlu dijalankan segera supaya pusaka dapat diwarisi setelah segala hutang, hutang syarak (bagi orang Islam) dan wasiat simati dilaksanakan. Ia juga dapat meringankan beban waris yang tinggal.
Pentadbiran pusaka menghadapi masalah jika tiada pelantikan wasi atau pentadbir harta pusaka; tiada dokumen lengkap seperti sijil mati, sijil faraid, dokumen berkaitan harta dan hutang (contohnya buku simpanan bank, geran tanah dan lain-lain).
Tiada kerjasama antara waris simati antaranya waris tidak hadir ketika perbicaraan atau waris bersengketa juga boleh mendatangkan masalah dalam pentadbiran harta puasa. Begitu juga apabila berlaku kematian berlapis dalam kalangan waris, mengakibatkan pentadbiran pusaka sukar diselesaikan.
Kesulitan proses pentadbiran pusaka dapat dielakkan jika masalah di atas ditangani dan lebih mudah apabila waris memahami prosedur pentadbiran pusaka serta sedar tanggungjawab mereka.
Rukun pusaka adalah pewaris (simati), waris (waris yang berhak dari segi undang-undang) dan yang diwarisi (harta atau sebagainya).
Pusaka mensyaratkan pewaris mati dulu; waris masih hidup semasa kematian pewaris dan tidak ada perkara yang menegah waris daripada mewarisi contohnya perhambaan, pembunuhan dan berlainan agama (bagi orang Islam).
Hak simati perlu dilaksanakan sebelum pusaka dibahagikan kepada waris berhak. Antaranya, hak ain iaitu berkaitan harta ditinggalkan. Contohnya, simati menjual hartanya kepada A dan setelah kematian, A belum menerima harta itu. Waris perlu membuat penyerahan harta kepada A.
Hak pengebumian termasuk perbelanjaan dari masa mati hingga dikebumikan contohnya belanja memandikan, mengkafankan dan pengebumiannya.
Dalam aspek hak hutang piutang, waris perlu menyelesaikan segala hutang dan hutang syarak (contohnya fidyah puasa) simati. Bagi hak harta sepencarian, jika ada waris yang ingin menuntut harta sepencarian bersama simati, tuntutan perlu dibuat di Mahkamah Syariah sebelum harta difaraidkan.
Penyelesaian wasiat perlu dilakukan jika ada lebihan harta dan tidak lebih 1/3 daripada pusaka sebagai memenuhi hak pewaris dan setelah hak itu diselesaikan, baki pusaka boleh dibahagikan kepada waris berhak, mengikut syarat dan tertibnya.
Ada lima waris dalam sistem pusaka Islam yang tidak dihalangi oleh sesiapapun (tidak mungkin terkena hijub hirman) dalam pembahagian harta pusaka si mati iaitu suami atau isteri, bapa, ibu, anak perempuan dan anak lelaki.
Sistem pusaka Islam menyenaraikan waris seperti berikut:
# Waris ashabul-furud iaitu waris yang sudah ditetapkan bahagiannya oleh syarak terdiri daripada suami atau isteri, ibu atau nenek, ayah atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa atau seibu.
# Waris asabah, penerima baki setelah semua waris ashabul-furud mendapat bahagian masing-masing. Ada tiga jenis asabah iaitu asabah binafasih, asabah bil ghoir dan asabah maal ghoir.
l Waris dhawil-arham iaitu golongan yang menggantikan Waris ashabul-furud dan Waris asabah jika mereka tiada kecuali suami atau isteri, golongan ini terhalang daripada mengambil bahagian disebut hijab. Ada dua jenis hijab iaitu hijab nuqshon dan hijab hirman.
Begitulah ringkasan proses pentadbiran pusaka yang diguna pakai di AmanahRaya berdasarkan pensijilan MS ISO 9001:2008 sejak 2005 di semua 19 Cawangan seluruh negara. Pensijilan ini dapat memastikan piawaian tertinggi turut dipatuhi pada semua peringkat proses utama.
Penentuan waris adalah proses yang memerlukan kerjasama waris. Kebanyakan waris enggan bekerjasama untuk sebab yang tidak dapat diketahui. Apa pun, masyarakat perlu tahu bahawa penentuan waris dibuat berdasarkan kehendak undang-undang dan syariah.
Sebagai pentadbir/wasi dan pemegang amanah, AmanahRaya sentiasa mengambil berat untuk memastikan waris yang berhak/sah perlu ditentukan sebelum pembahagian dibuat.
Elemen yang perlu diambil kira semasa penentuan waris antaranya ketentuan waris oleh syarak; undang-undang sivil; kesahihan perkahwinan; anak angkat; anak tak sah taraf; jika terdapat waris, harta diwarisi oleh waris seperti mana peruntukan undang-undang; jika harta pusaka tidak mempunyai waris (bona vacantia); orang Islam – Baitulmal (Asobbah); bukan Islam (kerajaan Malaysia) dan seksyen 24 Akta Undang-Undang Sivil 1956.
AmanahRaya adalah organisasi tidak berkepentingan terhadap pentadbiran harta pusaka memastikan tanggungjawab dan amanah diberikan dilaksanakan secara berkesan. Malah, AmanahRaya sentiasa melindungi kepentingan hak setiap waris.
INFO:
# Wasi – seseorang yang kepadanya pelaksanaan wasiat terakhir orang yang sudah mati diamanatkan, melalui pelantikan pewasiat.
# Pentadbiran – pentadbiran harta pusaka orang yang mati oleh seseorang wasi atau pentadbir.
# Pentadbir – seseorang yang kepadanya surat kuasa mentadbir diberikan.
# Surat kuasa mentadbir – surat kuasa mentadbir harta pusaka dan barang orang yang mati, sama ada am atau dengan wasiat terlampir.
- BERITA HARIAN