Top Ad 728x90

,

Santai TV hiburan warga muda


Acapkali perasaan bosan pasti akan terbit tatkala terpaksa menunggu seseorang terlalu lama di satu-satu destinasi.

Kebosanan itu juga akan timbul apabila kita menunggu perkhidmatan awam seperti bas, teksi, komuter atau ketika tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, dengan perkembangan teknologi pada hari ini pelbagai perkhidmatan multimedia dapat dilakukan hanya menggunakan telefon pintar untuk menghilangkan rasa bosan.

Kini kemunculan perkhidmatan televisyen mudah alih, Santai TV hasil inovasi syarikat Fine Mobile Network Sdn. Bhd. mampu memberi pilihan hiburan, masa kini kepada pengguna terutamanya pemilik telefon pintar.

Fine Mobile Network merupakan syarikat subsidiari syarikat Kumpulan Eurofine (M) Sdn. Bhd.

Presiden Fine Mobile Network Sdn. Bhd. Gyver HC Hee berkata, perkhidmatan televisyen mudah alih Santai TV disasarkan kepada golongan muda.

"Perkhidmatan televisyen mudah alih Santai TV diwujudkan adalah untuk memberi pengalaman baru kepada audiens dari aspek hiburan dan maklumat.

"Kami ingin menjadikan Santai TV sebagai gaya hidup terkini masyarakat hari ini terutamanya golongan muda yang sentiasa mencari kelainan," katanya kepada Kosmo! selepas majlis pelancaran Santai TV di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi EuroFine, Rina Mohd. Harun dan Pengarah Urusan Kumpulan Eurofine, Ida Rahayu Md. Noor.

Gyver menambah, segmen program yang ditawarkan perkhidmatan televisyen mudah alih itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu Santai Mobile TV, Hollywood News dan Salacious.

Katanya, kesemua segmen yang ditawarkan merupakan program terkini dan menghiburkan, malah banyak berkisar kepada minat golongan muda.

"Kategori Santai Mobile TV mengandungi pelbagai program menarik merangkumi drama tempatan, animasi, dokumentari, berita hiburan terkini, Malaywood, sukan dan banyak lagi.

"Salacious pula menyediakan pelbagai program menarik dari tarian jalanan, klip video muzik antarabangsa dan sebagainya," ujarnya lagi.

Perkembangan terkini artis

Tambah Gyver, bagi kategori Hollywood News pelanggan dapat mengetahui perkembangan terkini artis-artis antarabangsa dan hiburan luar negara.

"Memandangkan kami ingin pelanggan bersantai sambil menikmati program yang disajikan kepada mereka, durasi bagi setiap video adalah antara tiga hingga 10 minit sahaja.

"Mereka juga boleh memilih daripada pelbagai variasi bahasa seperti bahasa Melayu, Tamil, Inggeris, Cina, Hindi dan banyak lagi," katanya.

Gyver memberitahu, terdapat dua medium ringkas untuk pelanggan menikmati perkhidmatan televisyen mudah alih itu iaitu dengan hanya melayari laman web www.santai.tv ataupun melalui talian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya, mereka akan dikenakan bayaran sebanyak RM3 setiap bulan, manakala klip video premium ataupun Video On Demand sebanyak RM0.50.

Sementara itu, Ida Rahayu, berkata, sehingga kini terdapat 1,800 video yang sudah dimuatkan untuk dinikmati pelanggan.

"Kami juga akan menambah 50 klip video terbaru setiap bulan untuk memberi pilihan terbaik kepada pelanggan-pelanggan yang menggunakan Santai TV.

"Santai TV hanya boleh diakses dengan menggunakan telefon pintar yang mempunyai sambungan WiFi dan 3G," katanya.

Bagaimanapun, Ida Rahayu menambah, pihaknya juga sedang berusaha untuk memastikan telefon bimbit yang mempunyai sambungan Edge ataupun GPRS dapat menikmati perkhidmatan terbaru itu.

"Kita juga akan menghasilkan produksi dan drama sendiri untuk memberi pilihan kepada pelanggan yang inginkan kelainan.

"Bagi menghasilkan sesuatu produksi atau drama telefon bimbit kita perlu menekankan penggunaan close up shot berbanding televisyen," katanya lagi.

Bakat baru

Ujar Ida Rahayu, pencarian pelakon dan bakat baru untuk diketengahkan sebagai bintang telefon bimbit turut diadakan semasa majlis pelancaran Santai TV.

Katanya, dia menjangkakan pencarian bakat tersebut akan berakhir pada bulan Februari tahun hadapan untuk mengetengahkan bakat baru tersebut melalui siaran Santai TV.

"Dalam pada itu, kita juga sedang dalam perancangan untuk memberi kemudahan siaran langsung kepada pengguna seperti konsert dan sebagainya.

"Ini bermakna pelanggan tidak perlu mengunjungi lokasi yang sesak untuk berhibur dan hanya menggunakan telefon bimbit mereka," katanya.

Dia menambah, Santai TV juga mempunyai krew mereka sendiri dalam mencari bahan berita dan hiburan untuk dipaparkan kepada pelanggan.

Katanya, krew ini akan mencari bahan-bahan terkini untuk disajikan kepada pelanggan-pelanggan.

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90