Isu azan, arak merugikan hubungan antara agama
Penolong Profesor di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Azan dan arak – dua perkara yang sekali lagi mengusik sensitiviti umat Islam negara ini. Walaupun masing-masing berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor, ia telah menyinggung perasaan umat Islam seluruh negara.
Kenapa kedua-dua ini digegerkan lagi? Kenapa mengonarkan lagi? Adakah masih ada yang belum mengetahui bahawa laungan azan dan arak adalah antara perkara yang paling sensitif kepada umat Islam di negara ini? Adakah masih ada yang gagal memahami budaya dan syiar Islam di negara ini atau yang membuat onar ini ada muslihat dan tujuan lain?
Sekiranya belum memahami, ini amat tidak patut bagi seorang warga negara. Sekiranya ada muslihat atau tujuan lain, ia amat merugikan hubungan antara pelbagai agama yang diusahakan sekian lama.
Sekiranya kita menjadikan kepelbagaian agama sebagai kelebihan kita di mata dunia, laungan azan tidak patut dipersoalkan dan arak mesti difahami dan diterima sebagai perkara yang diharamkan Islam.
Masyarakat bukan Islam (yang segelintir ini) sepatutnya memahami sensitiviti agama orang Islam. Perkara berkaitan amalan keagamaan tidak patut dijolok. Ia berbahaya.
Dalam aspek perundangan, amalan atau ritual keagamaan sebegini ini tidak boleh dianggap gangguan, terutama dalam negara yang beragama Islam dan mengamalkan kebebasan beragama.
Saya juga berkongsi pendapat dengan ramai lagi masyarakat Islam negara ini bahawa, mempersoalkan laungan azan akan membuka pintu persengketaan masyarakat berbilang agama. Mereka akan mula mempersoalkan ritual atau amalan keagamaan antara satu sama lain.
Oleh itu pintu ini mesti ditutup ketat. Semua kita harus sentiasa ingat, jangan kita bermain api, bimbang kalau tidak terkawal nanti, mengundang bahaya kepada diri.
Laungan azan bukan saja identiti agama Islam, ia adalah juga identiti negara. Malaysia menganut agama Islam dan mengisytiharkannya di dalam Perlembagaan. Oleh itu, identiti agama negara perlu dipamerkan dan laungan azan adalah antara yang terpenting.
Sementara itu, arak, seperti semua masyarakat Islam tahu, adalah suatu yang mesti dijauhi. Atas apa alasan Islam mengharamkannya tidak perlu saya hujahkan di sini. Cukuplah sekiranya saya nyatakan bahawa pengharamannya amat jelas di dalam al-Quran (sila rujuk ayat-ayat suci al-Quran di dalam surah al-Baqarah: 219, al-Nisa’: 43 dan al-Maidah: 90-91).
Pengharaman untuk berurusan dengan arak jelas nyata di dalam hadis Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Tarmizi dan ia tidak boleh dipersoalkan lagi. Antara yang dikutuk, seperti disebut di dalam hadis itu ialah mereka yang membuat, membekal, meminum, membawa, menuang, menghidang, menjual dan mereka yang mendapat manfaat daripada hasil jualan arak.
Oleh itu, walau berurusan dengan arak, masyarakat Islam mesti tahu dan sentiasa ingat, ia tidak halal, ia tetap haram; bukan saja di sisi undang-undang negeri, tetapi juga undang-undang Allah SWT.
Orang Islam harus sedar, rezeki datang daripada Allah SWT, bukan di kedai atau tempat yang mereka terpaksa berurusan dengan arak.
Sekiranya semua orang Islam menjaga diri masing-masing dengan mematuhi ajaran agama Islam, kita tidak memerlukan undang-undang seperti garis panduan yang dikecohkan ini.
‘Simpati’ yang ditunjukkan oleh Ronnie Liu kepada pekerja Islam yang mungkin hilang pekerjaan amat menghina orang Islam. Ronnie Liu sepatutnya diam saja. Itu lebih baik untuk diri dan juga parti politik yang diwakilinya. Ia isu berkaitan penguatkuasaan undang-undang Islam, bukan isu politik.
Bagi orang Islam pula, kita harus sedar kenapa penghinaan sedemikian berlaku. Kita seharusnya malu dengan diri sendiri oleh kerana kelakuan sebahagian kita.
Namun, saya tegaskan, ini tidak bermakna orang lain boleh berkata sewenang-wenangnya mengenai hubungan antara Muslim dan agamanya.
Garis panduan yang diperkenalkan oleh PBT adalah antara mekanisme terbaik untuk mengawal selia orang-orang Islam supaya mereka kembali memahami peraturan di dalam agama Islam. Apatah lagi adalah di bawah bidang kuasa PBT.
Saya pernah menyebut di ruangan lain, walaupun tanpa garis panduan undang-undang jenayah Syariah boleh dikuatkuasakan oleh penguat kuasa agama mengikut prosedur jenayah. Tetapi, dengan adanya garis panduan ini, ia juga membolehkan pihak PBT menguatkuasakan undang-undang yang telah sekian lama wujud di dalam enakmen negeri.
Mungkin apa yang berlaku di Selangor ini perlu diambil iktibar oleh negeri lain juga. Undang-undang berkaitan arak adalah sama di seluruh negara.
Penguatkuasaan setakat ini hanya tertumpu kepada kesalahan meminum arak di khalayak ramai saja dan bukan kepada mereka yang berurusan dengan arak.
Selain daripada itu, penguatkuasaan peraturan lain berkaitan arak, iaitu Excise (Sale of Intoxicating Liquor) Regulations 1977, yang dibuat di bawah Excise Act 1976 perlulah juga diberi perhatian. Peraturan-peraturan 7A dan 16 yang masing-masing mengharamkan penjualan arak kepada mereka di bawah 18 tahun perlu dikuatkuasakan sebaik mungkin.
Harapan saya, penguatkuasaan undang-undang berkaitan hendaklah sentiasa diteruskan tanpa mengira musim. Undang-undang ada kesannya sepanjang masa, bukan bergantung kepada musim seperti kebanyakan jenis buah-buahan tempatan.
- BERITA HARIAN