PAS pilih wanita jadi calon PRK Tenang
LABIS: Ketua Dewan Muslimat PAS Labis, Normala Sudirman, dipilih sebagai calon PAS untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang dijadualkan pada 30 Januari ini.
Pemilihan Normala, 38, yang juga seorang bekas guru, diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ketika ceramah umum anjuran parti itu yang dihadiri kira-kira 2,000 penyokong di sini, malam tadi.
Normala yang berkelulusan Maktab Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang, sebelum ini pernah bertugas sebagai guru pemulihan khas di Sekolah Kebangsaan LKTP Kemelah, Segamat. Beliau juga exco Dewan Muslimat PAS pusat.
Turut hadir ketika pengumuman nama calon itu malam tadi termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
Usaha PAS meletakkan calon wanita pada pilihan raya kecil ini dilihat sebagai usaha mencuba pendekatan berbeza dan pada masa sama dipercayai mahu meraih simpati serta sokongan berikutan pengundi wanita merangkumi lebih 50 peratus daripada pengundi DUN Tenang.
BN yang akan mempertahankan kerusi DUN Tenang yang menjadi kubu kuatnya itu, dijangka mengumumkan calon Rabu ini, yang akan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Timbalan Pengerusi BN.
Proses penamaan calon pilihan raya kecil DUN Tenang ditetapkan pada 22 Januari ini.
- BERITA HARIAN