Perhimpunan Mahasiswa 11 Januari 2011

Satu perhimpunan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta akan diadakan pada 11 Januari ini sebagai saluran bagi mereka menyuarakan isu serta masalah yang dihadapi.

Wakil penganjur Lydia Natasha Azuar Jimin, 23, berkata perhimpunan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 300 mahasiswa dan akan menggunakan pendekatan 'Parlimen Pelajar' dengan setiap masalah yang diperdengarkan kepada hadirin akan cuba diselesaikan setelah satu keputusan dicapai menerusi undian majoriti.

Perhimpunan itu yang akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor bermatlamat memperkasakan gerakan mahasiswa agar lebih berani dan lantang dalam memperjuangkan hak mereka tanpa perlu campur tangan pihak lain, katanya pada satu sidang akhbar hari ini.

"Kami sudah cukup matang untuk membuat keputusan dan mencari jalan penyelesaian sendiri kepada setiap masalah tanpa melibatkan pihak lain.

"Kami sangat mengalu-alukan suara para mahasiswa pada hari tersebut dan atas semangat solidariti setiap masalah akan cuba atasi," kata mahasiswa jurusan A Level Undang-Undang dari Kolej Universiti Help.

Lydia Natasha Azuar berkata mahasiswa yang berhasrat menyertai perhimpunan itu boleh mendaftar dan mendapatkan keterangan lanjut di laman web www.pmn2011.com.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url