Jangan suka label melabel

Oleh Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah

SOALAN:
Saya agak bimbang dengan kecenderungan sebilangan penceramah dan ustaz yang suka melabel seseorang itu sebagai tidak sayangkan Nabi SAW atau bukan daripada golongan ahlu sunnah apabila berlaku perbezaan pandangan tentang perkara-perkara yang tidak qati’e dalam agama.

Apakah panduan kepada orang awam supaya tidak mudah terpengaruh dalam hal ini?

JAWAPAN:

Kesemua mazhab muktabar yang makruf mengikut sunnah. Tiada mazhab yang mengasaskan sesuatu pendapat atau pandangan dalam sesuatu masalah melainkan panduan mereka adalah al-Quran dan sunnah.

Imam Malik, merujuk sunnah dalam menyelesaikan masalah-masalah fikah, beliau juga memiliki buku hadis yang berkonsep fikah yang dinamakan al-Muwatta’. Imam Ahmad pula terkenal dengan kitab hadis yang unggul iaitu Musnad, manakala anak-anak murid imam Abu Hanifah telah mengarang kitab Musnad Abu Hanifah.

Sama juga keadaannya dengan Imam al-Syafie anak-anak murid beliau telah menulis dua kitab atas nama beliau pertama Sunan al-Syafie dan yang keduanya Musnad al-Syafie.

Maksudnya semua mereka adalah lebih jauh pakar dalam bidang hadis berbanding kita yang hanya belajar agama untuk tempoh empat lima tahun.

Jadi setiap kita harus sedar bahawa ulama terdahulu bukan hanya pakar dalam satu bidang malahan mereka hebat dalam pelbagai disiplin ilmu. Oleh itu, tidak wajar kita menghukum mereka yang tidak sependapat dengan kita dalam sesuatu hal sebagai orang yang tidak mencintai Nabi SAW.

Dalam hal ini kita harus faham maksud mencintai Nabi SAW. Bijak pandai ada menyebut: “Sesungguhnya maksud cinta adalah menjadikan yang dicintai sebagai ikutan”.

Cinta maksudnya ikut, menjadikan yang dicintai sebagai ikutan. Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (ali-‘Imran: 31)

Ibn Kathir berpendapat, ayat ini menjadi saksi bagi setiap orang yang mendakwa mencintai Rasulullah SAW. Malahan dia tidak menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan, Allah SWT tahu pendustaannya dalam apa yang dikatakannya.

Mengikut riwayat al-Hasan al-Basri, beliau berkata: Sesungguhnya sekumpulan manusia mendakwa bahawa mereka mencintai Nabi SAW maka Allah SWT menguji mereka dengan ayat ini. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, jld: 2, hlm: 33)

Sekiranya kita berselisih dengan seseorang yang berlainan mazhab bukan bermakna kita betul dan orang lain salah. Malahan kesemua mazhab Islam yang muktabar dan kuat pegangannya dengan al-Quran, sunnah, ijmak dan qias adalah betul dan boleh diterima pakai. Cuma kita sebagai pengamal mazhab al-Syafie lebih terdedah mazhab al-Syafie.

Namun, mazhab lain juga tidak kurang hebatnya, lihat pengasasnya, mereka adalah pakar dalam segenap bidang.

Permasalahan timbul kerana kita tidak berapa mengenali atau memahami mazhab selain mazhab al-Syafie, mungkin kerana kurang pendedahan dalam mengenali mazhab lain.

Ini bertujuan mengharmonikan lagi fahaman umat Islam terhadap mazhab-mazhab yang lain.

Sunnah secara umumnya ada tiga bahagian, sunnah qauliyyah (sunnah perkataan), sunnah fi’liyyah dan amaliyyah (sunnah perbuatan), sunnah taqririyyah (sunnah pengakuan).

Bagi mereka yang mencintai Nabi SAW pastinya akan berusaha mencontohi baginda dalam segenap perbuatan dan tingkah lakunya. Orang dalam cintanya terhadap Rasulullah SAW juga tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran baginda.

Oleh yang demikian sekiranya ada orang yang tertinggal atau tidak berkemampuan melakukan sesuatu sunnah Nabi SAW tidak bermaksud dia tidak mencintai Nabi SAW.

Contohnya, hukum memakai serban adalah sunat, ini kerana baginda sendiri memakainya. Hadis-hadis baginda mengenainya juga banyak. Semua hadis tersebut tidak menyatakan wajib orang Islam memakai serban, tapi disunatkan.

Sekiranya ada orang yang memakai serban sesungguhnya dia telah melaksanakan sunnah Rasulullah SAW dan dia dijanjikan akan mendapat kelebihan.

Secara tidak langsung dengan memakai serban dia memperlihat rasa cintanya kepada Rasulullah SAW dan menghidupkan sunnah baginda. Dalam masyarakat kita juga sunnah memakai sunnah masih tidak rancak, cuma ada segelintir sahaja yang menghidupkannya.

Ini tidaklah bermaksud orang yang tidak memakai serban tidak mencintai Rasulullah SAW. Mungkin juga ada sunnah yang dilakukan oleh orang yang tidak memakai serban. Ini kerana sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW cukup banyak untuk dijadikan ikutan.

Bermula dengan doa bangun dari tidur, doa masuk bilik mandi, doa keluar bilik mandi, doa tengok wajah di cermin, doa makan, doa keluar rumah, doa menaiki kenderaan, melakukan setiap kerja dengan menyebut nama Allah, menghormati orang, mengasihi binatang, bersangka baik, memberi salam, memberi makan, membaca al-Quran dan sebagainya.

Berusahalah agar sehari kita dapat lakukan ratusan sunnah Nabi SAW.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url