Kelab Siswazah Tani di IPTA
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar percaya penubuhan kelab itu akan menyedarkan golongan belia dan lepasan sekolah untuk mengikut jejak langkah mahasiswa yang turut berminat menceburkan diri dalam sektor pertanian.
“Jika belia melihat mahasiswa sanggup menjadi petani, ia boleh menarik mereka untuk sama-sama menjadi petani moden.
“Kementerian akan membentuk jawatankuasa supaya kelab dapat menjalankan program berkaitan sektor pertanian seperti pameran, seminar atau program bersama usahawan tani.
“Kita akan memberikan bantuan kewangan supaya kelab dapat aktif dan agresif menjalankan aktiviti yang dapat menarik minat mahasiswa serta belia menceburi sektor pertanian,” katanya selepas melancarkan program Agro-Xplorasi di Sri Pentas, di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Paduka Badaruddin Amiruldin.
Agro-Xplorasi yang akan disiarkan di TV3 mulai 26 Februari ini adalah dokumentari 10 episod memaparkan kejayaan usahawan tani serta dihoskan Nazruddin Habibur Rahman atau Naz, Annahita Bakavolli dan Danny Anwa atau Danny X-Factor.
Noh berkata, kementerian turut bercadang menarik 300 siswazah menyertai Program Pembangunan Usahawan Siswazah Tani pada tahun ini dengan menghantar mereka mengikuti kursus untuk mendalami bidang pertanian, industri asas tani dan penternakan seperti kambing atau ikan hiasan, khasnya ikan arowana.
“Jika siswazah terbabit berminat menceburi sektor pertanian dan penternakan yang diikuti dalam kursus berkenaan, kita akan terus beri modal, bantuan kepakaran dan benih.
“Tahun lalu, kementerian berjaya menarik 250 siswazah menyertai program ini dan tahun ini, petunjuk prestasi utama (KPI) saya ialah mencari 300 siswazah,” katanya.
Katanya, siswazah yang berminat menceburi bidang perniagaan berasaskan pertanian akan dijadikan anak angkat syarikat yang terbabit dalam industri asas tani untuk mempelajari asas-asas memula dan menguruskan perniagaan.
- BERITA HARIAN