Mengingati ikon 1Malaysia - Sudirman
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Pada tanggal 22 Februari 1992, Allahyarham Sudirman Haji Arshad menghembus nafas terakhir ketika berumur 38 tahun. Penghibur Nombor 1 Asia ini merupakan seorang ‘penghibur’ asli yang bukan sahaja boleh menyanyi, menari mahupun melukis, malahan mempunyai kelulusan jurusan undang-undang Universiti Malaya.
Selepas 19 tahun, dunia seni masih belum mempunyai pengganti ‘penghibur’ seperti Sudirman. Walaupun ramai yang muncul dan hilang serta pada waktu yang sama tidak dinafikan industri seni sudah berkembang hebat tetapi ‘Sudirman tetap Sudirman’ walaupun Datuk Siti Nurhaliza turut memenangi Anugerah Penghibur selepas Sudirman. Barangkali masing-masing ada kekuatan dan keistimewaannya.
Pembabitan Sudirman amat menarik. Tanpa adanya Akademi Fantasia mahupun Malaysian Idol, Bintang RTM menjadi perhitungan dan beliau menjadi Johan Bintang RTM 1976. Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang seni, sebanyak 18 buah album dalam bahasa Malaysia dan dua dalam bahasa Inggeris telah dihasilkan.
Mengapa Sudirman dilihat sebagai lagenda ikon 1Malaysia? Jika beliau boleh dinobat sebagai ikon 1Malaysia, barang kali akan ada kritikan yang menganggap mengapa pemerintah hari ini menekankan konsep 1Malaysia walhal ia sudah wujud untuk sekian lama.
Kritikan ini sengaja mahu lupa atau buat-buat tidak faham bagaimana nilai-nilai kemasyarakatan majmuk semakin terhakis kebelakangan ini akibat politiking yang berterusan sepanjang masa sehingga konsep 1Malaysia perlu diperkenalkan agar kita mahu memahami peri pentingnya kehidupan berukun yang turut dipamer melalui industri seni, karya dan perfileman.
Yang turut menimbulkan dilema adalah ketandusan penyanyi bukan Melayu yang boleh menyanyi lagu bahasa Malaysia hari ini selain Jaclyn Victor, sedangkan satu ketika dunia seni negara ini dipenuhi dengan nama seperti Alleycats, Memories, Flybait, Ben Nathan, Chris Vadham, Kenny, Remy dan Martin, Cenderawasih, Fredo, Francesca Peter, Elaine Kang, Manimala, Flora Santos, Maureen Santiago.
Penghibur ini ada visinya; ada matlamat dan hala tujunya. Beliau tahu bagaimana untuk mendeskripsikan budaya masyarakat Malaysia yang merangkumi kesemua kumpulan etnik. Sudirman dianggap seniman yang penuh aspirasi dan keistimewaan yang tiada tolok tandingnya.
Nama Sudirman melekat di bibir masyarakat keseluruhan warga Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, kaum, gender mahupun kepercayaan termasuk ibu penulis yang buta huruf.
Keunikan ketara kerana memahami budaya dan gaya hidup masyarakat sehingga lagu-lagunya merangkumi lagu cinta-duka, patriotik, keagamaan, keamanan dan jiwa manusia untuk pelbagai lapisan stratifikasi masyarakat.
Setiap kali berhari raya, lagu Sudirman wajib berkumandang seperti lagu Balik Kampung, Selamat Hari Raya dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf adalah nostalgia. Sambutan hari kemerdekaan setiap tahun tidak lengkap tanpa lagu patriotik Tanggal 31 Ogos, Tegakkan Bendera Kita mahupun Warisan nyanyian beliau.
Lagu-lagu rakyat mahupun klasik turut diberi keutamaan. Lagu Anak Gembala, Basikal Tua, Apa Khabar Orang Kampung, Orang Muda, Pulang Dari Kilang, Punch Card, Aku Penganggur dan Chow Kit Road serta Cintai Malaysia, Kenali Malaysia tinggi nilai dan norma yang mahu dikongsi; padat dengan mesej yang mahu didekati.
Malahan lagu Bapak yang ditujukan khas kepada Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Kul It! Yang liriknya menekankan soal keharmonian antara kaum tidak lekang dari ingatan. Lagu Merisik Khabar, Terasing, Milik Siapakah Gadis Ini, Antara Hujan dan Airmata, Di Hari Persandingan Itu, Dari Jauh Ku Pohon Maaf dan Salam Terakhir masih boleh terpalit sentuhan ke atas jiwa peminat Sudir.
Itulah Sudirman. Setiap konsert beliau memapar nilai ‘kemuafakatan’ dan ‘perkongsian’ masyarakat pelbagai etnik negara ini. Konsert Chow Kit Road terus menjadikan beliau ‘idola’ ramai remaja ketika itu. Malahan setiap kali beliau hadir di kaca televisyen, bibit-bibit yang melucukan, mendukakan dan yang bersemangat kental menyebabkan penonton mahu terus menyaksikan persembahan penghibur ini.
Beliau boleh dilabel sebagai satu-satunya penghibur yang boleh membuat persembahan meyakinkan dan mantap dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Tamil, Mandarin dan Hindi – lagenda ikon 1Malaysia.
Ketokohan seni dan keupayaan luar biasa Sudirman membolehkan beliau merangkul anugerah Penghibur Asia Nombor 1 pada tahun 1989 di Dewan Royal Albert, London dengan menggayakan aksi ala Charlie Chaplin yang menunjukkan nilai kepelbagaian kebolehan Sudirman.
Kemampuan Sudirman untuk berlakon juga terserlah melalui filem Kami. Rakan sedarjah sekolah rendah penulis, Zulzambrin Zamanhuri di Sekolah Rendah Methodist, Tanjong Malim menjadi pelakon utama bersama Sudirman dalam filem ini; yang kini terus dikenali sebagai ‘Botol’ dari adegan dalam filem ini.
Sudirman juga seorang yang kreatif sehingga menubuhkan Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) yang mengeluarkan minuman tin berkorbonat SUDI yang kemudiannya dipanjangkan perniagaan beliau merangkumi Sudi Shoppe menjual barangan keluaran dirinya.
Apa pun kehadiran manusia di dunia bersifat sementara. Ajal ditentukan oleh Tuhan; kita hanya mampu merancang. Selepas bergelut dengan nyawa selama hampir 7 bulan sejak Julai 1991; Sudirman pergi untuk selama-lamanya.
Penulis ketika itu baru melangkah masuk ke Universiti Malaya. Yang masih dikesali adalah pada hari beliau kembali ke rahmatullah, penulis bersama beberapa rakan telah berangkat ke rumah kakak beliau di Jalan Taban, Bangsar yang berdekatan dengan Universiti Malaya. Malangnya, jenazah Allahyarham telah dibawa ke Temerloh sebelum sempat kami sampai. Itu adalah suratan takdir.
Walaupun meninggal dunia ketika berusia muda; nama Sudirman sudah terpahat dalam sejarah negara. Hakikatnya, terlalu banyak bakti yang disumbang kepada negara oleh insan kerdil ini. Hari ini genaplah 19 tahun pemergian Sudir. Barangkali ada yang tidak tahu beliau sudah bergelar ‘Datuk’, kurniaan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada tahun 2009 untuk mengiktiraf kedudukan beliau sebagai seorang penghibur yang sukar dicari ganti.
Sepanjang riwayatnya, Sudirman sudah melalui pasang-surutnya dengan kehilangan ibu dalam usia muda diikuti dengan pemergian ayahnya apatah lagi kegagalan dalam rumahtangga dengan isteri yang dikenali sejak kecil lagi. Seorang yang perahsia duka dan hiba, beliau menjadi milik seluruh warga Malaysia sepanjang hayatnya.
Kepada umat Islam, boleh sama-sama mengadakan majlis tahlil; membaca surah Yasin dan memanjangkan al-Fatihah supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang disayangi di sisi Tuhan; bagi yang lain, boleh mengatur kepercayaan masing-masing untuk menghormati dan menginsafi kehadiran seorang seniman agung; Sudirman Haji Arshad. Sudirman tiada dua.
- UTUSAN