Nilai ringgit makin kukuh

Oleh NADZIR AWANG AHMAD
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan
Universiti Teknologi Mara Perlis

TREND peningkatan dan pengukuhan nilai mata wang ringgit sejak kebelakangan ini adalah sesuatu yang amat baik kepada ekonomi negara kerana hampir 60 peratus daripada dagangan Malaysia melibatkan negara luar, khasnya negara-negara Asia.

Pengukuhan ini juga mencerminkan ekonomi negara dalam fundamental yang teguh, seterusnya bergerak positif kepada asas ekonomi dan pemulihan yang lebih kukuh.

Peningkatan kukuh ringgit berbanding mata wang utama dunia seperti dolar AS , Euro dan mata wang serantau telah menjadikan mata wang ringgit adalah terbaik dari segi peningkatan prestasi di Asia, sejak Januari lalu. Berdasarkan rekod, pengukuhan nilai ringgit berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) meningkat 12 peratus sejak lebih 12 bulan lalu. Untuk rekod, ringgit telah didagangkan pada 3.0310/ 0335 berbanding dolar AS pada sesi pagi Isnin lepas.

Pengukuhan nilai ringgit ini bakal menjadikan ekonomi negara kembali ke dalam radar pelabur-pelabur asing untuk menambah pelaburan di Malaysia. Peningkatan begitu memberangsangkan dapat dilihat daripada jumlah peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia. Berdasarkan Laporan Pelaburan Dunia Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang dikeluarkan pada 17 januari lalu, menunjukkan kenaikan jumlah FDI ke Malaysia telah meningkat kepada RM21.35 bilion pada 2010 berbanding dengan RM4.25 bilion pada 2009. Malaysia juga telah muncul sebagai negara paling tinggi merekodkan kemasukan FDI dalam kalangan negara Asia pada 2010 iaitu dengan jumlah kenaikan sebanyak 409.7. Dibandingkan dengan lain-lain negara ASEAN, pertumbuhan aliran masuk FDI pada tahun yang sama ke Indonesia pada kadar 162.7 peratus, Singapura 122.7 peratus, manakala Thailand hanya 14.2 peratus.

Pengukuhan mata wang ringgit bakal memacu negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 hasil daripada keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara yang semakin pulih hasil tindakan kerajaan merencana dan melaksanakan program yang menyokong pemulihan serta kerancakan ekonomi negara melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB).

Pengumuman 19 projek baru ETP menerusi 10 Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membabitkan pelaburan kira-kira RM67 bilion merangkumi sektor minyak, gas dan tenaga dijangka mampu menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) sebanyak RM36 bilion setiap tahun dan menyediakan kira-kira 35,000 peluang pekerjaan. Ia akan merancakkan lagi ekonomi negara sekali gus menjadi momentum terbaik untuk meningkatkan pelaburan swasta (pelabur dalam dan luar negara) sebagai pemacu utama ekonomi negara.

Rakyat akan mendapat manfaat apabila pengukuhan nilai ringgit ini juga menyebabkan berlakunya peningkatan kuasa beli, selain memberi keuntungan apabila melakukan transaksi yang melibatkan kadar tukaran mata wang asing. Di samping itu, rakyat negara ini akan menerima faedah dari segi penstabilan harga barangan dan pada masa yang sama, pengukuhan nilai ringgit ini membantu mengehadkan tekanan inflasi. Justeru itu, secara tidak langsung ia akan menyebabkan struktur ekonomi negara berkembang sejajar dengan lonjakan nilai pendapatan rakyat.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url