Top Ad 728x90

, ,

Roslan Ahmad calon BN di Merlimau


BN menamakan Pengurus Pembangunan Perniagaan Sosioekonomi Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd, Roslan Ahmad sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Melaka kawasan Merlimau 6 Mac ini.

Pemilihan Roslan, 44, yang juga ahli jawatankuasa Umno Bahagian Jasin diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pekan Merlimau, Melaka hari ini.

"Ini diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN selepas kita menerima cadangan dan proses penyaringan berkali-kali dan kita dapati saudara Roslan adalah calon paling sesuai," katanya kepada pemberita .

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden PPP Datuk M.Kayveas, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan barisan pimpinan BN lain.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata Roslan, 44, mempunyai rekod pengalaman dan pemimpin yang dikenali di kalangan pengundi DUN Merlimau dan beliau berharap pengundi berpuas hati atas pemilihan beliau sebagai calon.

Roslan berkelulusan diploma dalam bidang pengurusan perniagaan.


Allahyarham bapa beliau, Datuk Ahmad Ithnin ialah bekas ADUN Sungai Rambai, yang setelah persempadanan semula kawasan pilihan raya dinamakan DUN Merlimau.

Muhyiddin berkata pemilihan Roslan sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat berdasarkan merit beliau sendiri sungguhpun bapanya pernah menjadi ADUN kawasan itu manakala bapa saudaranya pula, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Ithnin juga pernah dipilih sebagai ADUN kawasan itu.

"Walaupun dari segi perhubungan dan pertalian itu tidak boleh kita elakkan tetapi yang penting dan dinilai oleh pucuk pimpinan ialah beliau (Roslan) sendiri, berasaskan latar belakang dan potensi beliau itulah yang paling utama," katanya.

Pilihan raya kecil Merlimau diadakan setelah kematian penyandangnya, Allahyarham Mohd Hidhir Abu Hassan akibat serangan jantung pada 20 Januari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohd Hidhir menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS, Jasme Tompang.

SPR sebelum ini menetapkan pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan pada 6 Mac ini, manakala tarikh penamaan calon bagi adalah pada 26 Februari ini.

- MALAYSIAKINI

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90