Awas ejen pelaburan penipu

Jika anda berhasrat untuk membuat pelaburan wang, dapatkan saluran yang betul untuk melabur.

Ini kerana, andai tersilap langkah, wang yang dilabur mungkin lesap dilarikan si penipu 'bermulut manis'.

Skim pelaburan yang sering dijaja oleh ejen penipu adalah pelaburan kasino yang dijanjikan pulangan sehingga 500 peratus.

Ejen berkenaan selalunya akan meminta satu perjanjian dibuat dengan mangsa bagi menerangkan peluang pelaburan sambil menjadikan aksesori bernilai sebagai umpan.

Kira-kira setahun lalu, seorang lelaki dari utara Semenanjung kerugian hampir RM4.9 juta selepas ditipu oleh ejen berkenaan.

Walaupun sumber perjudian adalah haram di sisi agama, namun ketamakan menjerat diri lelaki berkenaan.

Dalam kejadian tersebut, mangsa sebelum itu didatangi oleh ejen skim pelaburan yang menawarkan imbuhan mewah seperti jam tangan Rolex, cincin berlian dan gelang tangan untuk memancing pelabur.

Selain ditawarkan barang mewah itu, mangsa juga diberikan perjalanan percuma ke Macau, menginap di hotel mewah selain mengunjungi beberapa kasino di sana dan dilayan seperti orang kenamaan.

Keistimewaan yang diterima itu menyebabkan pelabur yakin dengan skim tersebut, walaupun semakan dengan Bank Negara mendapati syarikat berkenaan tidak berdaftar.

Tanpa membuat soal selidik lanjut, mangsa membuat pelaburan awal dan pulangan kali pertama yang diperolehi menambahkan lagi keyakinannya terhadap ejen itu.

Mangsa kemudian menambah pelaburan sehingga mencecah jutaan ringgit bagi mendapatkan lebih pulangan.

Malangnya, ejen tersebut menghilangkan diri bersama wang itu manakala mangsa pula tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak tahu pejabat ejen pelabur tersebut serta rumahnya.

Apa yang mampu dilakukan hanya melaporkan penipuan itu tanpa dapat membantu siasatan polis kerana tidak mempunyai maklumat lengkap tentang penipu berkenaan.

Sehubungan itu, jika dikunjungi oleh ejen pelaburan, anda diminta tidak mempercayai mereka 100 peratus, kerana dalam mana-mana pelaburan pulangan tidak akan diperolehi dengan cepat dan mudah.

Sebaliknya wang yang dilabur memerlukan tempoh untuk matang sebelum dapat menikmati dividennya.


- UTUSAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url