Bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN

Sejak kebelakangan ini, timbul pelbagai masalah berkaitan kaedah pembayaran balik pinjaman pendidikan dalam kalangan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Antara alasan peminjam gagal menjelaskan pinjaman ialah tidak mengetahui kaedah atau cara membayar pinjaman PTPTN, tidak tahu jumlah ansuran sepatutnya dibayar dan sibuk bekerja sehingga tidak sempat membayar pinjaman menyebabkan mereka terpaksa menanggung tunggakan tinggi.

Merujuk Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566), Seksyen 23 (1) menjelaskan bahawa “Perbadanan hendaklah bertanggungjawab bagi mendapatkan dan memungut bayaran balik pinjaman pendidikan yang dibayar kepada pelajar penerima”.
Berikutan itu, PTPTN menubuhkan Bahagian Penguatkuasaan dan Kutipan Balik (BPKB) bagi memastikan urusan bayaran balik pinjaman pendidikan dilaksanakan dengan sempurna dan berkesan.

Adalah menjadi tanggungjawab peminjam membuat bayaran balik dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian atau pinjaman, bagi memastikan penajaan PTPTN berterusan dan semua pelajar yang layak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dapat merealisasikan impian mereka.

Kaedah bayaran balik:
Dalam usaha mencapai misi BPKB, PTPTN memperkenalkan pelbagai kaedah untuk meningkatkan jumlah bayaran balik pinjaman. Pendekatan yang diketengahkan oleh PTPTN adalah dengan menggunakan pelbagai saluran seperti bayaran melalui kaunter bank, kaunter PTPTN, iaitu di One Stop Center (OSC) atau Ibu Pejabat PTPTN, saluran internet dan pejabat Pos Malaysia. Ini jelas membuktikan PTPTN bersungguh-sungguh untuk memastikan peminjam dapat membayar pinjaman mereka dengan cara yang paling mudah dan berkesan. Antara cara diperkenalkan ialah:

Melalui potongan gaji
PTPTN bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan bayaran balik melalui kaedah ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Saluran ini adalah kaedah yang perlu diberikan keutamaan oleh peminjam kerana ia lebih berkesan dan dibayar tepat pada waktu dan menjimatkan masa bagi yang tiada kelapangan kerana sibuk dengan urusan kerja.

Melalui Kaunter
PTPTN menjalinkan kerjasama dengan beberapa institusi kewangan bagi memudahkan urusan pembayaran balik pinjaman PTPTN melalui kaunter yang terpilih saja. Antara institusi kewangan dilantik sebagai ejen penerima bayaran balik ialah CIMB Bank (CIMB), Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Pos Malaysia Berhad dan Ibu Pejabat LHDN.

Bagi peminjam yang memilih membuat bayaran melalui kaedah ini, mereka dikehendaki mengisi slip pembayaran bil yang disediakan oleh institusi kewangan itu setiap kali ingin membuat bayaran balik pinjaman.

Slip pembayaran hendaklah disimpan sebagai bukti pembayaran kerana PTPTN tidak akan mengeluarkan resit rasmi bagi pembayaran yang dibuat melalui ejen, melainkan pembayaran dibuat terus di kaunter PTPTN.

Secara On-Line
Kaedah pembayaran lain yang disediakan adalah melalui perbankan internet. Antara institusi kewangan yang dilantik sebagai ejen bayaran balik pinjaman melalui kaedah ini ialah MBB (www.maybank2u.com), CIMB (www.cimbclicks.com.my), BIMB (www.bankislam.biz), RHB (www.rhb.com.my), PUBLIC (www.pbebank.com), Pos Malaysia Berhad (www.posonline.com.my), AMBANK (www.ambankgroup.com).

Semua institusi kewangan di atas mengenakan caj antara 50 sen hingga RM1 bagi setiap transaksi dengan tempoh kemas kini selama tiga hari.

Melalui kaedah ini, peminjam hendaklah mempunyai akaun di bank itu dan seterusnya mendaftar sebagai pengguna perkhidmatan perbankan internet bank itu. Pembayaran melalui kaedah ini tidak dikeluarkan resit rasmi oleh PTPTN. Peminjam hendaklah mencetak resit yang boleh dijana oleh sistem yang disediakan bank berkenaan dan menyimpannya sebagai rujukan dan bukti pembayaran. Caj perkhidmatan akan dikenakan oleh bank berkenaan bagi setiap transaksi dilakukan bagi pembayaran melalui kaedah ini.

Melalui FPX
FPX ialah singkatan bagi Financial Process Exchange iaitu perkhidmatan pembayaran dalam talian yang ditawarkan bank yang turut serta dalam FPX bagi memudahkan pembayaran pinjaman PTPTN. FPX menawarkan pembayaran atas talian yang diproses secara masa nyata (real time) iaitu di mana saja dengan secara langsung mendebitkan terus dari akaun pelanggan.

Bayaran secara perkhidmatan FPX boleh dilakukan di www.ptptn.gov.my. Peminjam boleh membuat pilihan nombor pinjaman yang hendak dijelaskan. Peminjam yang mempunyai akaun BIMB Bank, CIMB Bank, Maybank, Hong Leong Bank atau Public Bank boleh menggunakan cara ini dan caj perkhidmatan RM0.50 dikenakan bagi setiap transaksi.

Bayaran Terus
Bayaran balik pinjaman melalui pos boleh dilakukan dengan mengemukakan bayaran dalam bentuk bank deraf atau kiriman wang berpalang saja dan dibayar atas nama PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL. Pastikan nombor kad pengenalan dan nama peminjam ditulis dibelakang bank deraf/kiriman wang itu. Manakala bayaran TUNAI atau segala urusan berkaitan bayaran balik pinjaman boleh dilakukan di kaunter PTPTN di alamat One Stop Center PTPTN , Unit 1 & 2A, 2B Level 2, Stesen Sentral Kuala Lumpur, 50470 Kuala Lumpur atau Ibu Pejabat PTPTN, Tingkat 6, Wisma Chase Perdana Off Jalan Semantan, Damansara Heights 50490 Kuala Lumpur.

Pengeluaran Akaun II KWSP
Peminjam PTPTN boleh membuat pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membayar balik pinjaman. Bagi pengeluaran oleh ahli (bagi peringkat Diploma dan Ijazah), perjanjian mestilah bertarikh 2 Januari 2000 ke atas. Bagi pengeluaran oleh ibu bapa, perjanjian pinjaman mestilah bertarikh April 2001 dan ke atas untuk peringkat ijazah, manakala bagi peringkat diploma, perjanjian pinjaman mestilah bertarikh 17 Januari 2006 ke atas. Semua syarat pengeluaran ditetapkan oleh KWSP.
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Pinjaman Pendidikan Ptptn
    Pinjaman Pendidikan Ptptn Isnin, 6 Februari 2017 pada 4:48:00 PTG SGT

    Keramaian pelajar yg meminjam PTPTN utk belajar tidak mahu bayar balik pinjaman mereka selepas mula bekerja. Ini bukan satu perkara yg baik dan harap para pelajar yang berhutang bolehlah berfikir utk bayar balik supaya pelajar masa depan masih ada peluang utk memohon pinjaman PTPTN tu.

Add Comment
comment url