Mencegah kemungkaran secara bijaksana
Naib Juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis
Marilah bersama mempertingkatkan ketakwaan ke hadrat Allah dengan menunaikan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendapat keredaan Allah di dunia mahupun akhirat yang kekal abadi.
Renungkanlah, pelbagai kemungkaran berlaku dalam masyarakat seperti perbuatan zina, berkhalwat, sumbang mahram, jenayah rogol dan sebagainya, membabitkan orang Islam, seolah-olah mereka tidak mengenal batas pahala dan dosa, halal atau haram.
Kemungkaran ini akan terus menular selagi ia tidak dicegah dan dirawat. Persoalannya, siapakah yang patut mencegah kemungkaran dan bagaimana pula cara untuk mencegahnya?
Untuk mencubanya, marilah kita fahami dan hayati firman Allah yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar beriman).” (Surah Al-Imran, ayat 110)
Allah menjelaskan, tugas mengajak yang makruf dan mencegah kemungkaran adalah tugas kita bersama bermula daripada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara hinggalah ke alam sejagat.
Seorang suami bertanggungjawab mencegah kemungkaran yang dilakukan isteri dan anaknya. Begitu juga guru terhadap muridnya dan pemimpin terhadap rakyatnya.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)
Sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah Bin Umar: “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan di atas setiap apa yang kamu pimpin. Seorang imam (pemimpin negara) adalah pemimpin dan akan ditanya (dipersoalkan) apa yang sudah dipimpinnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam menggariskan beberapa kaedah untuk mencegah kemungkaran supaya dapat dilakukan secara berhikmah dan bijaksana.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangan (kekuasaan), jikalau tidak berkuasa hendaklah dicegah dengan lisan, jikalau tidak berkuasa juga hendaklah dicegah dengan hatinya (membenci kemungkaran itu), dan ini adalah selemah-lemah iman.”
Berdasarkan kepada ketiga-tiga kaedah berkenaan, adakah kita sudah melaksanakan perintah itu? Justeru, kita patut berusaha ke arah membanteras perbuatan mungkar, di samping menilai kembali berapa banyak kita mengabaikan tugas nahi mungkar.
Ingatlah, jika kita langsung tidak ambil peduli dan membiarkan maksiat terus bermaharajalela, maka bersedialah untuk mendapat bala bencana. Kita perlu ingat dan sedar, apabila bala bencana menimpa, ia tidak mengenal siapa mangsanya.
Apakah kita sanggup menghadapi bala menimpa negara kita? Tepuk dada tanya iman. Sejarah lampau memperlihatkan kepada kita bagaimana akhirnya golongan manusia yang mengabaikan perintah menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran.
Ibnu Abbas bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Adakah binasa sesebuah kampung itu walaupun dalamnya ada orang salih? Rasulullah SAW mengatakan, disebabkan mereka memandang mudah dan berdiam diri tanpa melarang perbuatan menderhaka Allah, maka Allah perintahkan malaikat supaya menterbalikkan kota itu ke atas penduduknya.”
Apabila kita diberi tanggungjawab atau mengambil inisiatif untuk mencegah kemungkaran, maka perkara berikut perlu diberikan perhatian antaranya niat atau tujuan adalah kerana Allah bukan untuk mencari kesalahan dan mengaibkan orang lain.
Perkara mungkar itu adalah perkara yang sudah disepakati ulama dalam menentukan kemungkarannya.
Tanggungjawab mencegah kemungkaran perlu dibuat sesiapa saja yang berdepan perbuatan mungkar dan perlu mencegahnya dengan kaedah dinyatakan tadi. Ingin saya tegaskan, kita semua perlu mengambil tanggungjawab membanteras kemungkaran.
Anggaplah ia sebagai tugas utama dan ancaman kepada agama serta negara supaya dapat mengundang rahmat dan keampunan Allah.
Akhir kalam, marilah bersama renungkan firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah, ayat 71)
- BERITA HARIAN