Maklumat seks punca kelahiran anak tak sah taraf
Penularan gejala sosial dalam kalangan masyarakat dilihat menjadi punca utama menyumbang ke arah peningkatan jumlah anak tidak sah taraf di negara ini. Ia seakan menjadi 'budaya' atau 'trend' dan jika tidak dibendung dikhuatiri akan lebih ramai bayi dilahirkan tanpa diketahui susur galur keturunannya.
Statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini mendedahkan jumlah anak tidak sah taraf kini mencecah 234,647 orang dalam tempoh empat tahun (2006-2010). Jumlah itu membabitkan 80,979 atau 34.5 peratus ibu beragama Islam dan mewakili sembilan peratus daripada keseluruhan 2,481,276 kelahiran dalam tempoh berkenaan.
Mengikut garis panduan syarak negeri Selangor, anak tidak sah taraf ialah bayi yang dilahirkan di luar nikah, sama ada hasil zina atau rogol. Kurang enam bulan dua ‘lahzah qamariah’ dari waktu akad nikah dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah dan ada bukti ikrar (pengakuan) pelakunya atau empat saksi yang cukup syarat mengikut hukum syarak.
Pengertian itu adalah tafsiran berdasarkan hukum Islam sebagai garis panduan untuk memudahkan masyarakat Islam faham akan kedudukan anak tidak saf taraf.
Persoalannya, kini jumlah mereka kian meningkat rentetan daripada hubungan bebas yang tidak terkawal sehingga terjebak dengan hubungan seks tanpa nikah hingga melahirkan bayi dan akhirnya bayi itu dibuang di merata tempat.
Apakah puncanya sehingga remaja dan golongan muda tergamak melakukan perbuatan yang lebih zalim daripada binatang dan apakah usaha masyarakat untuk membendung gejala ini daripada berleluasa.
Atas rasa tanggungjawab, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) baru-baru ini terpanggil menganjurkan Wacana Khas Gejala Sosial Di Malaysia – Isu Anak Tak Sah Taraf: Punca dan Penyelesaian, untuk mencari satu pendekatan yang boleh dikongsikan bersama masyarakat.
Pada wacana itu, ABIM mengundang tiga penceramah jemputan untuk berkongsi maklumat berhubung masalah yang kian meruncing ini.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Zuraidah Salleh, berkata kajian JKM mendapati antara punca remaja terjebak dengan perlakuan tidak moral itu kerana mudah mendapat maklumat berkenaan seks dengan melayari internet.
“Sekarang ini pelbagai maklumat boleh kita peroleh daripada internet dan segala maklumat semuanya di hujung jari. Hinggakan wujud iklan ‘pop-up’ yang menawarkan pelbagai perkhidmatan mahupun keahlian untuk golongan yang mengamalkan hidup ‘songsang’,” katanya.
Zuraidah berkata, sebagai petugas sosial adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menasihati golongan remaja dan berhadapan dengan generasi ‘Y’ ini yang ada kalanya mencabar keimanan apatah lagi apabila nasihat yang diberi dibalas dengan kata cerca.
“Remaja terbabit amat bijak menjawab apatah lagi bila diberitahu mereka tidak seharusnya melakukan perkara ini dan mereka menjawab ‘That’s only project’ puan bukan zina, dalam al-Quran mengatakan hendaklah kamu menjauhkan zina “La taqrabu zina, bukan La taqrabu projek,” katanya.
Situasi ini menampakkan kepada kita bagaimana remaja atau kanak-kanak pada zaman ini mengetahui apa itu hubungan seks tetapi sengaja mencipta tafsiran sendiri untuk menghalalkan perbuatan yang sudah nyata haram di sisi agama.
Malah, mereka banyak mencipta istilah tersendiri seperti “kantoi ” (tertangkap); “cikaro” (gadis taruhan), “balak” (teman lelaki), “kertu” (tua), “projek” (hubungan seks) “line clear” (keadaan selamat) dan sebagainya dengan harapan masyarakat tidak memahaminya untuk memudahkan rancangan mereka dijayakan.
Akibatnya maka lahirlah bayi yang akhirnya dibuang dan dicampak di mana juga yang mereka rasakan sesuai, asalkan beban mereka terlepas.
Ketika inilah JKM terpaksa memainkan peranan dengan memperkenalkan Program Anak Pelihara untuk membantu pasangan yang sudah lama berumahtangga tetapi masih belum mempunyai anak dan program ini diperkenalkan dengan harapan dapat membantu membendung gejala pembuangan bayi.
Pengarah Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Saimah Mukhtar berkata, JAKIM melakukan pelbagai usaha untuk membantu membendung gejala sosial dalam kalangan masyarakat antaranya aspek pencegahan dan pengukuhan (al-Wigayah); rawatan dan pemulihan (al-Ilaj); bimbingan dan nasihat (al-Tarbiyah Wa Al Nasihah) dan penguatkuasaan dan pendakwaan.
“JAKIM sudah melaksanakan antara 80 hingga 90 peratus daripada langkah berkenaan tetapi malangnya yang lebih digembar-gemburkan hal berkaitan penguatkuasaan dan pendakwaan, kesannya masyarakat berpandangan JAKIM tidak ada kerja lain, hanya menangkap dan menghukum saja,” katanya.
Saimah berkata, dalam usaha membantu remaja bermasalah terutama mereka yang mengandung iaitu dengan menubuhkan rumah perlindungan seperti Darul Sa’adah. Malah baru-baru ini, Majlis Agama Islam setiap negeri bersetuju untuk membina rumah perlindungan di kawasan masing-masing untuk membantu remaja mengandung.
Timbalan Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN Putrajaya, Nik Hassan Fauzi Nik Abdullah berkata, setiap bayi yang dilahirkan di negara ini sama ada di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak perlu didaftarkan.
Katanya, ini berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan kematian 1957 (Akta 299); Registration of Births and Deaths Ordinance 1951 (Sabah, Cap 123) dan Registration of Births and Deaths Ordinance 1951 (Sarawak, Cap 10).
Beliau berkata, antara cabaran yang perlu dihadapi pihaknya, mereka perlu berhadapan masalah didatangi oleh anak tidak sah taraf yang mempersoalkan berkenaan status mereka di dalam sijil kelahiran.
“Ada yang datang pada kami mengatakan, mereka tidak pernah minta untuk dilahirkan sedemikian dan kenapa dianiaya dengan dokumen sebegini terpapar jelas bahawa mereka adalah anak tak sah taraf,” katanya.
Beliau berkata, sebagai sebuah jabatan yang mendaftarkan kelahiran adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan setiap kelahiran didaftarkan dan ini memerlukan kerjasama daripada ibu bapa anak terbabit.
Ibu bapa perlu memberi pendidikan yang seimbang kepada setiap anak tanpa mengira jantina. Ini kerana selalunya masalah remaja perempuan mengandung hanya akan dipikul oleh keluarga perempuan atau remaja itu secara sendirian.
Lelaki pada kebiasaannya akan berjaya melepaskan diri tanpa rasa bersalah walau sedikit pun dan meneruskan perbuatan sama bersama remaja perempuan lain pula. Apa yang penting pendidikan agama kepada anak lelaki perlu ditekankan ini kerana mereka bakal menjadi pembimbing keluarga.
- BERITA HARIAN