Pusat Darah Negara - bagaimana darah kita diproses?
Ketika nyawa pesakit berada ‘di hujung tanduk’, bergelut melawan kesakitan di bilik pembedahan hospital kerana memerlukan darah tambahan untuk hidup, bekalan darah dari Pusat Darah Negara (PDN) menjadi penyelamat kepada golongan pesakit ini.
Apabila pesakit ini sembuh, tentunya penderma yang pernah membenarkan lengan mereka disuntik supaya darah mereka diambil berasa bangga kerana darah didermakan berjaya menyelamatkan nyawa insan lain.
Tidak mudah memujuk manusia supaya memberikan darahnya kepada orang lain, apatah lagi memujuk seluruh masyarakat untuk berbuat demikian, cabaran itulah yang perlu digalas 400 kakitangan di PDN dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab.
Pengarah PDN, Dr Roshida Hassan berkata, keperluan darah yang meningkat tahun demi tahun menuntut seluruh warga PDN menggiatkan usaha mendapatkan stok darah konsisten dan berterusan daripada masyarakat.
“Tahun ini dianggarkan semua tabung darah di seluruh negara memerlukan 580,000 pendermaan bagi memastikan bekalan darah konsisten. “Di PDN sahaja, kami mensasarkan sebanyak 146,000 pendermaan,” katanya kepada Mingguan mStar.
Menurut Dr Roshida, selain memastikan bekalan darah konsisten di pusat itu, PDN turut memainkan peranan besar dalam memastikan bekalan darah mencukupi dan selamat dapat dibekalkan kepada 116 hospital kerajaan dan swasta di seluruh Kuala Lumpur, Lembah Klang, serta Zon Tengah Semenanjung.
PDN juga memerlukan kira-kira 2,500 unit darah dalam satu masa.
“Setiap hari PDN membekalkan antara 400-450 unit darah kepada hospital terlibat,” katanya.
Bagi mencapai matlamat tersebut, PDN perlu meningkatkan jumlah kutipan selari dengan pertambahan permintaan.
“Rekod menunjukkan 80 peratus pendermaan datangnya dari kempen-kempen yang dijalankan di luar PDN dan selebihnya dari mereka yang datang sendiri menderma di pusat ini,” katanya.
Perkara yang berlaku akibat faktor masa dan kelapangan masyarakat ini menyebabkan PDN menganjurkan kempen derma darah hampir setiap hari di merata tempat. Manakala PDN beroperasi dari Isnin hingga Sabtu dan dibuka pada cuti umum tertentu.
Dr Roshida yang juga Pakar Patologi (Hematologi) juga berkata, walaupun sehingga kini PDN tidak pernah ‘kekeringan’ stok darah, beliau tidak menafikan jumlah pendermaan sedikit terganggu pada musim-musim tertentu seperti cuti perayaan dan cuti sekolah.
Justeru, PDN merangka pelan tahunan dan merancang aktiviti lain selain kempen derma darah dalam menggalakkan masyarakat berterusan menderma.
“Fenomena ini bukan berlaku di PDN sahaja, tapi di hospital seluruh negara. Situasi sama juga berlaku di luar negara, contohnya ketika sambutan Krismas.
“Kita dapati pada hari-hari biasa tak timbul masalah ini, kita tak ada masalah dengan stok darah. Walau bagaimanapun kita tetap bermesyuarat agar stok darah dapat dipantau mengikut keadaan,” katanya.
Ke arah membudayakan derma darah
Melihat tahap kesedaran masyarakat terhadap amalan derma darah semakin positif, peningkatan pendermaan dan pertambahan penderma-penderma baru setiap tahun, Dr Roshida yakin bekalan darah tidak akan mencecah tahap kritikal.
“Kita mahu masyarakat jadikan derma darah sebagai budaya dan sebahagian daripada gaya hidup sihat. Saya rasa kita semua sedang menuju ke arah itu sebab apa yang saya nampak masyarakat Malaysia sangat penyayang dan semakin bermurah hati derma darah.
“20 tahun lepas derma darah dikaitkan dengan anggota tentera sahaja tapi kini pelajar universiti, ahli korporat, pekerja kilang, artis juga derma darah,” katanya.
Melihat amalan derma darah di kalangan rakyat Malaysia dan bekalan darah dalam tempoh lima tahun akan datang, Dr Roshida optimis dalam hal ini.
“Masyarakat bukan sahaja membantu dengan menderma darah tetapi juga berusaha bersama PDN dalam mewujudkan kesedaran tentang kelebihan derma darah.
“Selain menghargai penderma, kita juga berterima kasih kepada organisasi kerajaan dan swasta, universiti dan kolej, pusat beli-belah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudi bekerjasama dengan PDN,” katanya.
- MSTAR