Bai Bithaman Ajil (BBA) Perbankan Islam
Dalam Islam, kita tidak dibenar menjadikan pinjaman kewangan sebagai instrumen untuk memperoleh keuntungan, sebaliknya hanya dibolehkan menerusi kontrak jual beli.
Berikutan itu, perbankan Islam di seluruh dunia tidak dibenarkan meraih keuntungan daripada pinjaman, menyebabkan mereka mencipta produk berasaskan pelbagai jenis konsep jual beli bagi meraih keuntungan sah di sisi Islam.
Bai Bithaman Ajil (BBA) atau ‘jual beli secara tangguh pembayaran’ adalah satu daripada produk digunakan kebanyakan bank Islam di Malaysia yang diluluskan Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan yang berpusat di Bank Negara Malaysia (BNM).
Mengikut statistik, konsep BBA sangat popular dan digunakan dengan meluas di Malaysia. Sehingga Disember 2005, konsep BBA digunakan sebanyak 52.9 peratus dalam penerbitan Bon Islam (Sukuk) berbanding konsep lain. Konsep ini turut digunakan sekitar 41 peratus dalam produk pembiayaan kewangan pelanggan.
Kedua-dua angka ini menunjukkan konsep ini sangat selesa diaplikasikan oleh perbankan Islam Malaysia. Malah, ia juga popular di Brunei dan Bangladesh. Namun begitu, konsep ini tidak diterima bank Islam di Asia Barat serta Pakistan.
Ini kerana majoriti cendikiawan syariah di rantau itu menganggap konsep ini tidak menepati konsep tulen BBA. Malah, konsep BBA versi Malaysia juga dilihat sebagai gabungan dua konsep iaitu Bai’ Inah (jual dan beli semula) dan Bai Muajjal (jualan dengan bayaran bertangguh dan ansuran).
Justeru, bank Islam di Asia Barat lebih gemar mengutamakan konsep lain yang lebih menepati objektif syariah mengikut ijtihad mereka seperti Ijarah, Musharakah dan lain-lain.
Secara mudahnya, BBA versi Malaysia berfungsi seperti berikut: Apabila ingin membeli sebuah rumah berharga RM200,000, seseorang itu akan membayar sejumlah wang kepada penjual/pemaju sebagai ‘booking’ dan kemudian membayar 10 peratus pula sebagai deposit.
Selepas memperoleh perjanjian jual beli (S&P agreement) antara pembeli dan penjual, pelanggan tadi akan mencari bank Islam yang boleh memberi pembiayaan perumahan kepadanya.
Apabila menepati semua syarat ditetapkan, pihak bank bersetuju membeli rumah itu daripada pelanggan tadi dengan harga RM180,000 (iaitu sama jumlahnya setelah ditolak deposit) dengan bayaran tunai.
Sehubungan itu, rumah berkenaan akan menjadi milik bank dan tanda pemilikan bank ke atas rumah itu adalah menerusi surat ‘declaration of trust’ dan sebuah ‘charge’ sebagai tanda hak bank ke atas rumah terbabit.
Bagaimanapun, nama pemilik atas geran tidak ditulis nama bank kerana ini bukan syarat dalam pemilikan Islam dan hanya bersifat urusan rasmi.
Selepas pemilikan ini sah di sisi undang-undang negara dan diiktiraf oleh syariah, bank Islam akan menjual rumah tadi kepada pelanggan sama dengan harga baru (merangkumi modal serta kadar keuntungan ditetapkan).
Sebagai contoh, harga baru ialah RM350,000 yang boleh dibayar oleh pelanggan secara ansuran bulanan selama 25 tahun atau lebih, bergantung kepada perjanjian.
Itulah gambaran ringkas bentuk pelaksanaan BBA di Malaysia, yang mana sebuah produk yang dibina atas konsep jual beli dan bukan pemberian pinjaman kepada pelanggan. Ia disepakati hampir semua cendikiawan syariah di dalam negara.
Semakin banyak isu syariah timbul hasil cara implementasi BBA yang kerap tersilap akibat kurang pemantauan di dalam bank atau tidak difahami sebaik- baiknya pegawai bank yang mengaplikasikan konsep ini di dalam produk mereka.
Kerana ini pelbagai pihak yang menyedarinya tampil membuat teguran, pertanyaan dan pelbagai tuntutan supaya penjelasan dibuat.
Konsep ini juga dianggap menjadi satu imej perbankan Islam yang sedikit kurang inovatif di Malaysia pada mata pihak antarabangsa, lantas kemungkinan faktor kurang minat pelabur Arab untuk turut serta memeriahkan perbankan Islam di Malaysia dengan lebih hebat.
Tidak dinafikan, kewujudan beberapa bank Islam antarabangsa seperti dari Kuwait (Kuwait Finance House), Arab Saudi (Ar-Rajhi Investment Bank) dan Qatar (Asian Finance Bank) menampakkan penerimaan Asia Barat terhadap Malaysia tetapi perlu diingat bahawa ketiga-tiga bank Islam antarabangsa ini tidak mengamalkan konsep BBA di dalam operasi mereka.
Kini, timbul satu fenomena sihat di kalangan cendikiawan syariah dan pengamal perbankan Islam di Malaysia apabila mereka semakin inovatif dan kreatif dengan mengutarakan pelbagai konsep baru yang lebih ‘mampu’ diterima ulama dan pengamal perbankan Islam antarabangsa.
Sebagai contoh, produk BBA yang sering menjadi teras bagi pembiayaan perumahan kini semakin kurang popular dan ditukar kepada konsep pembiayaan perumahan baru yang lebih baik seperti Musharakah Mutanaqisah (pemilikan berkongsi secara menurun) dan Ijarah Muntahiyah Bit Tamleek (sewaan yang berakhir dengan pemilikan).
Pelbagai bank Islam dan jendela perbankan Islam mula melakukan kajian terhadap kesesuaian konsep ini dengan perundangan negara.
Malah, sebahagiannya sudah mengaplikasikan produk pembiayaan perumahan dengan cara ini. Setakat ini, ia terbukti lebih berkesan selain diterima ulama sedunia.
Apa yang diharapkan ialah masyarakat Islam di Malaysia dapat memberikan sokongan tidak berbelah bagi terhadap operasi perbankan Islam ini dari semasa ke semasa hinggalah ia dapat mencapai tahap terbaik bagi manfaat dunia dan akhirat.
Tidak dinafikan masih ada kelemahan dikenal pasti dalam operasi dan harga ditawarkan.
Bagaimanapun, tidak adil untuk menuding jari terhadap perbankan Islam saja tanpa mengetahui bahawa bank Islam ini terhalang dan dihalang oleh pelbagai sebab dan sudut yang di luar bidang kuasanya.
- HARIAN METRO