11.11.11 - tarikh pilihan raya umum ke-13?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencetuskan teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum ke-13 apabila menyebut timbulnya ramalan ia akan diadakan pada 11.11.11 kerana angka 11 amat signifikan dalam hidup beliau.

Ketika ditanya pemberita, beliau tidak mengia mahupun menafikan ramalan itu, sebaliknya menyifatkan ramalan sedemikian memang menjadi kegemaran dalam arena politik sebelum ini.

"Saya rasa elok diteruskan teka teki ini," katanya.

Bagaimanapun, Najib menekankan perlunya untuk kerajaan BN terus bekerja melaksanakan program-program transformasi bagi menyakinkan rakyat.

"Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa, tak semestinya pada (bulan) 11 ataupun 11 haribulan.

"Ini merupakan satu proses, selagi semboyan belum dibunyikan, kita masih buat kerja," katanya.

Apabila diminta mengulas lanjut sama ada kemungkinan tarikh tersebut besar, Najib berkata: "Tarikh itu ada kaitan dengan hidup saya, tapi sama ada pilihan raya itu...Wallahhualam".

Sebelum itu, Najib dalam usaha merapatkan hubungannya dengan golongan muda ke udara di rangkaian radio Hot FM pagi ini dan menceritakan signifikan angka 11 dalam hidupnya.

Katanya, nombor itu timbul dalam beberapa peristiwa penting dalam hidupnya.

Antaranya ialah Allahyarham ayahandanya, Tun Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922, ibunya Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933, hari lahir anak pertama beliau juga pada 11 haribulan, dan Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Najib menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 (1982-1986) dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11.

Skim Rumah Pertamaku

Nombor plat kereta rasmi beliau juga bernombor 11.

Wawancara selama sejam bermula jam 7.30 pagi itu juga disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen 8TV.

DJ stesen radio berkenaan Fara Fauzana dan Faizal Ismail juga sempat bertanyakan mengenai pasukan bolasepak kegemaran perdana menteri Manchester United.

"Saya terpaksa memohon maaf (kepada peminat Liverpool) terlebih dahulu. Kita tahu yang MU mempunyai saluran TV-nya sendiri, begitu juga dengan Chelsea.

"Tapi, Liverpool hanya menpunyai History Channel," katanya disambut gelak ketawa.

Selain itu, Najib juga menceritakan tabiatnya yang gemar menghabiskan masa di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Dalam nada yang serius, beliau juga mengumumkan kerajaan akan melancarkan satu program baru iaitu Rumah Mampu Milik Berkualiti bagi memantapkan Skim Rumah Pertamaku selewat-lewatnya Julai ini.

"Melalui program tersebut, kos rumah untuk Skim Rumah Pertamaku akan dipastikan berharga RM220,000 ke bawah.

"Kerajaan akan bertanggungjawab menyediakan tapak pembinaan manakala pihak pemaju akan melaksanakan projek-projek ini berdasarkan industrial building system.

"Dan saya kata kalau boleh, (syarikat swasta) jangan ambil untung dari projek ini. Jadikan sebagai corporate social responsibility (CSR)," katanya.

Najib berkata usaha mewujudkan rumah di bawah harga RM220,000 adalah berdasarkan komen dalam laman Facebook beliau serta laporan media bahawa amat sukar bagi golongan muda mendapat rumah dalam lingkungan harga tersebut terutama di Lembah Klang.

Di bawah Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 8 Mac lalu, golongan muda berumur 35 tahun ke bawah dengan gaji bulanan kurang daripada RM3,000 layak membeli rumah berharga RM220,000 ke bawah dengan pinjaman 100 peratus.

Ketika temu bual itu juga Najib turut meluangkan masa bermain 'Dam Aji' dengan DJ Faizal.

- MALAYSIAKINI
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url