Penduduk Singapura telah mengundi pada 7 Mei 2011. Keputusan Pilihanraya pada 8 Mei 2011.
Singapura memiliki populasi sekitar lima juta orang yang mana 2.35 juta layak mengundi. Sebahagian besar pengundi tersebut tergolong daripada mereka yang mengundi untuk kali pertama. Pilihan raya umum Singapura kali ini disifatkan yang paling menarik kerana PAP di bawah pimpinan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong kini menghadapi tentangan kuat pembangkang. Hsien Loong yang dilantik sebagai perdana menteri pada 2004, akan meneraju PAP untuk kali kedua dalam pilihan raya kali ini. Kali pertama beliau berbuat demikian adalah dalam pilihan raya umum pada tahun 2006.
Rakyat Singapura yang menetap dan bekerja di seberang laut mula mengundi mulai semalam di sembilan pusat pengundian yang terletak di dalam Suruhanjaya Tinggi Singapura, kedutaan atau konsulat. Menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura, pengundian bagi warganegara di United Kingdom dan Amerika Syarikat bermula semalam mulai 8 pagi hingga 8 malam manakala bagi mereka yang menetap di Australia, Jepun dan China akan mengundi esok mulai 8 pagi hingga 8 malam. Pusat pengundian itu termasuk di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Australia, United Kingdom, Kedutaan Singapura di Jepun, China dan Amerika Syarikat selain Pejabat Konsul Jeneral Singapura di Hong Kong, China.
Pengundian Bagi Pilihan Raya Singapura Ditutup
Pengundian bagi pilihan raya umum Singapura ditutup selepas jam 8 malam.
Menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura, setakat jam 5 petang ini, kira-kira 1.8 juta penduduk republik berkenaan telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi di 782 pusat pengundian.
Pada sebelah tengah hari, lebih satu juta atau 47.36 peratus kertas undi telah dikeluarkan.
Enam parti pembangkang meletakkan calon dalam pilihan raya umum 2011 itu untuk menentang calon parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Parti itu adalah Parti Reformasi (RP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Rakyat Singapura (SPP), Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Pekerja (WP).
Sejumlah 82 daripada 87 kerusi menyaksikan pertandingan.
– Bernama