Air zamzam tidak tercemar
Pejabat Presiden Hal-Ehwal Dua Kota Suci dalam kenyataannya semalam berkata, pihaknya tidak menerima laporan mengenai sebarang masalah dengan air zamzam yang disahkan selamat diminum.
Jurucakap Pejabat Presiden itu, Ahmad al-Mansuri berkata, sampel air diambil setiap hari dari telaga sedalam 31 meter itu dan langkah-langkah turut diambil bagi memastikan airnya selamat diminum.
Menurut riwayat Islam, telaga itu tidak pernah kering sejak lebih 4,000 tahun lalu dan jemaah haji menganggap airnya sebagai penawar untuk pelbagai penyakit.
Dakwaan air zamzam tercemar dan meminumnya boleh menyebabkan penyakit seperti kanser dilaporkan oleh media Britain minggu ini.
Sementara itu, Kedutaan Saudi di London mengeluarkan satu kenyataan bahawa air zamzam ‘tidak dicemari’ dan analisis di makmal-makmal di Eropah pada Mac lalu mengesahkannya sebagai selamat diminum.
Raja Abdullah pada September tahun lalu, merasmikan pembukaan sebuah kilang bernilai 700 juta riyal (RM561 juta) yang mampu mengeluarkan 200,000 botol air zamzam sehari di Mekah.