Kebaikan menulis wasiat
Saat itu, pertalian saudara yang terjalin bagaikan sudah tiada ertinya lagi.
Melihat Mariam terkapar-kapar meraih simpati di mata sanak saudaranya setelah ibunya, Zainab meninggal dunia, orang kampung mengambil keputusan menghantar Mariam ke rumah Sri Kenangan.
Namun, semuanya berubah selepas Mariam meninggal dunia. Bukan kerana rasa kesal dengan sikap buruk mereka terhadap arwah sebelum ini, sebaliknya kerana mereka ingin menuntut hak apabila mengetahui Mariam meninggalkan harta yang banyak.
Dalam situasi pemergian Mariam seharusnya diiringi doa dan bacaan ayat-ayat al-Quran, keadaan sebaliknya pula berlaku. Mereka bertelingkah sesama sendiri mahu merebut harta terkerana tiadanya wasiat.
Itu salah satu daripada ribuan kes yang berlaku. Apatah lagi, pendedahan sebelum ini berhubung nilai harta pusaka yang dibekukan berikutan kes yang gagal diselesaikan pewaris kerana ketiadaan wasiat dianggarkan mencecah RM42 bilion.
Berdasarkan faktor itu, tidak salah kalau mengandaikan budaya penulisan wasiat dalam kalangan rakyat negara ini masih rendah. Melihat kepada senario ini, nampaknya ia berbalik kepada aspek kesedaran dalam kalangan masyarakat. Justeru, adakah benar kita masih kurang kesedaran akan kepentingan penulisan wasiat?
Mengakui perkara tersebut, Ketua Pegawai Pemasaran Amanah Raya Bhd. (ARB) Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, tahap kesedaran menulis wasiat dalam kalangan rakyat negara ini masih belum mencapai tahap memuaskan.
Berbanding di Barat, menulis wasiat sudah menjadi satu kewajipan dan bukannya sesuatu yang dilihat sebagai cara mendoakan seseorang itu cepat mati.
"Berdasarkan kajian Amanah Raya, hanya 668,000 orang menulis wasiat sama ada di Amanah Raya atau pun dalam kalangan pemain industri. Daripada jumlah tersebut, 490,000 adalah dari Amanah Raya. Ini berdasarkan kajian tahun lalu.
"Matlamat atau sasaran pasaran yang perlu diteroka (penulisan wasiat) adalah seramai 3 juta orang. Jadi, angka 3 juta berbanding 668,000 orang yang tulis wasiat, menunjukkan tahap kesedaran masyarakat masih rendah," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Bagaimanapun, kajian tersebut mendapati, budaya menulis wasiat dalam kalangan golongan muda profesional, menunjukkan satu respons yang memberangsangkan.
"Biasanya trend menulis wasiat ini adalah dalam kalangan warga emas.
"Tetapi, sekarang sudah ramai golongan muda tampil untuk membuat wasiat," katanya.
'Body saya ok lagi...I'm still fit. Kemudianlah buat wasiat, lagipun badan masih rasa sihat dan lambat lagi mati,' itu adalah antara faktor yang menyebabkan amalan menulis wasiat di negara ini belum dapat dibudayakan lagi, kata Ahmad Saruji.
Perancangan awal
Mentaliti seperti itulah yang menyebabkan harta pusaka terpaksa dibekukan sehingga mencecah RM42 bilion kerana tiada pewaris.
"Kita tidak boleh mengandaikan bahawa menulis wasiat hanya sesuai ketika sakit atau nazak. Ini satu mentaliti yang salah kerana kita tidak tahu sama ada esok atau lusa, kita masih hidup atau mati. Ia sebenarnya bersangkut paut dengan sikap suka procastinate.
"Sikap ini perlu diubah dengan melakukan perancangan awal menulis wasiat kerana ia akan dapat menjamin kehidupan keluarga kita. Jangan asyik tunda sahaja kerana yang merana nanti adalah keluarga," katanya.
Setiap kali isu wasiat diutarakan, semua pihak gemar meletakkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya kepada Amanah Raya mahupun pemain industri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.
Walhal usaha meningkatkan kesedaran, adalah tanggungjawab semua pihak merangkumi semua pihak sama ada institusi keluarga, peranan ulama agama termasuklah swasta.
"Masyarakat tidak boleh mengharapkan pemain industri sahaja. Kita (Amanah Raya) bergerak juga sebagai tonggak utama, tetapi masyarakat juga harus mainkan peranan," katanya.
Bagi Amanah Raya, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan wasiat terus digiatkan dari semasa ke semasa menerusi 19 buah cawangannya di seluruh negara melalui kerjasama yang terjalin antara institusi perbankan dan ejen korporat yang dilantik.
"Bagi membuat wasiat di Amanah Raya, kadar bayaran bagi orang Islam dan bukan Islam adalah RM350 satu wasiat. Kita ada buat pakej pembiayaan dengan bank menerusi potongan gaji.
"Selain itu, orang ramai juga boleh membuat bayaran menerusi kad kredit dan ini semua untuk memudahkan mereka membuat wasiat. Sekiranya mereka tidak berupaya datang ke Amanah Raya atau mana-mana agensi yang bekerjasama, kami boleh terus ke rumah anda," katanya.
- Bernama