Waspada apabila digoda wanita

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

ALLAH SWT telah menganugerahkan kepada kaum wanita keindahan, kecantikan dan keghairahannya yang membuatkan kaum lelaki tertarik kepada mereka.

Namun syariat yang suci tidak memperkenankan keindahannya itu dipamerkan seperti barang dagangan.

Sebaliknya kenyataan dan realiti yang kita jumpai sekarang ini wanita justeru menjadi sumber fitnah bagi lelaki. Di jalan-jalan, di program televisyen atau cakera padat video (VCD) dan media massa, wanita mendedahkan aurat sekehendak hatinya.

Apa lagi melalui pertandingan kecantikan, pertunjukan filem dan drama yang menunjukkan keindahan tubuh wanita sehingga seolah-olah tidak ada seksa dan tidak kenal apa itu dosa.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak pernah aku tinggalkan sepeninggalanku godaan yang lebih besar bagi kaum lelaki daripada wanita. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitulah realitinya, wanita menjadi sumber godaan yang telah banyak membuat lelaki lemah lutut dan terbenam dalam lumpur maksiat yang dibuat oleh syaitan untuk menenggelamkan manusia.

Usaha-usaha untuk menggoda boleh terjadi secara halus, disedari ataupun tidak, secara terang-terangan mahupun tersembunyi.

Lihatlah kisah Nabi Yusuf a.s ketika isteri pembesar Mesir secara terang-terangan menggoda beliau untuk diajak melakukan perkara yang sumbang.

Nabi Yusuf pun menolak sambil berkata: Aku berlindung kepada Allah (daripada perbuatan yang keji itu), sungguh Tuhanku telah memperlakukan ku dengan baik. (Yusuf: 23).

Muhammad bin Ishak menceritakan: As-Sirri pernah melalui di suatu jalan di kota Mesir. Kerana tahu dirinya menarik, seorang wanita berkata: "Aku akan menggoda lelaki ini".

Maka wanita itu membuka wajahnya dan memperlihatkan dirinya di hadapan As-Sirri.

Beliau lalu bertanya: "Ada apa denganmu ini?" Wanita itu berkata: "Mahukah anda merasakan tilam yang empuk dan kehidupan yang nikmat?"

As-Sirri kemudian melantunkan syairnya: "Berapa banyak pencandu kemaksiatan yang mereguk kenikmatan dari wanita itu, namun akhirnya ia mati meninggalkan mereka untuk merasakan seksa yang nyata.

"Mereka menikmati kemaksiatan yang hanya sesaat, untuk merasakan bekas-bekasnya yang tak kunjung padam. Wahai kejahatan, sesungguhnya Allah melihat dan mendengar hamba-Nya, dengan kehendak Dia pulalah kemaksiatan itu tertutup jua". (Raudatul Muhibbin wa Nuzhalul Mustaqim, karya Ibnu Qayyim).

Perhatikanlah bagaimana Rasulullah telah memperingatkan kepada kita melalui sabdanya yang bermaksud: Berhati-hatilah pada dunia dan berhati-hatilah pada wanita kerana fitnah pertama bagi Bani Israel adalah kerana wanita. (riwayat Muslim).

Kini di era globalisasi, ketika arus informasi begitu deras mengalir, godaan mudah masuk ke rumah-rumah kita, melalui jaringan komunikasi seperti majalah, akhbar, televisyen, filem dan sebagainya.

Godaan itu datang di tengah-tengah kita tanpa diundang, menampilkan wanita-wanita yang berpakaian tetapi 'telanjang'. Melenggok-lenggok mempamerkan aurat yang semestinya dijaga dan dikawal.

Sebahagian muslimah ikut terbawa-bawa oleh propaganda dan gaya hidup seperti itu. Pakaian kehormatan dilepas. Diganti dengan pakaian ketat yang membentuk lekuk tubuh tanpa merasa silu dan segan.

Godaan pun semakin kencang menerpa, dan pergaulan bebas tanpa batas menjadi perkara biasa.

Maka kita perlu merenungkan dua bait syair yang diucapkan oleh Sufyan ath-Thuri: "Kelazatan-kelazatan yang didapati seseorang dari yang haram, akan hilang juga, yang tinggal hanyalah aib dan kehinaan. Segala kejahatan akan meninggalkan bekas-bekas buruk, sungguh tak ada kebaikan dalam kelazatan yang berakhir dengan seksaan dalam neraka".

Seorang ulama yang masyhur, Ibnu Qayyim memberikan nasihat yang sangat berharga: "Allah SWT telah menjadikan mata itu sebagai cerminan hati.

"Apabila seorang hamba telah mampu menjaga pandangan matanya, bererti hatinya telah mampu mengawal gejolak syahwat dan emosinya. Apabila matanya keranjang, hatinya juga akan liar menuruti syahwatnya".

Hal ini memang berlaku dalam masyarakat kita. Kini banyak berlaku kemaksiatan yang terang-terangan, perangilah kemaksiatan dengan syariat yang dituntut agama.

Fenomena godaan wanita memang banyak berlaku yang bukan sahaja terjadi di kalangan orang awam, tetapi juga yang melibatkan pemimpin dan golongan elit di seluruh dunia yang boleh menggoncangkan kedudukan mereka, yang Muslim dan bukan Muslim.

Oleh itu perkuatkan iman kita mulai dari terkecil iaitu keluarga. Kalau iman telah kuat dalam suatu keluarga, insya-Allah gejala seperti itu tidak akan terjadi.

Di samping itu, kita juga harus menyedari tentang mekanisme perdayaan syaitan yang sentiasa mencari jalan dan helah untuk menjatuhkan martabat anak cucu Adam.

Apabila syaitan telah masuk ke dalam darah daging manusia, amat sukar untuk melepaskannya. Kerana tidak ada garis pemisah antara perdayaan syaitan dengan perdayaan dan tipu daya manusia.

Ibarat kita berhadapan dengan serigala yang telah berbaju kambing atau musang yang telah berbulu ayam.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Akan keluar beberapa kaum nanti, muka mereka seperti muka manusia, akan tetapi hati mereka seperti hati syaiaslimin melalui dengan godaan wanita.

Wallahu 'alam.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url