Satelit Rusia cetus cahaya luar biasa
MOSCOW - Satu cahaya ganjil yang menjelma pada waktu malam sehingga menarik perhatian pemerhati angkasa lepas didapati berasal dari sebuah satelit komunikasi tentera milik Rusia, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Cahaya berwarna biru itu muncul di bandar Ekaterinburg di kawasan pergunungan Ural sehingga menyebabkan terdapat sangkaan sebelum ini bahawa ia merupakan objek terbang tidak dikenali (UFO).
Rusia mempunyai lebih 100 satelit di orbit.
Cahaya itu dihasilkan apabila booster roket terpisah dan jatuh di bumi.
Booster roket itu milik kapal angkasa Soyuz-2 yang membawa satelit Meridian 4 yang dilancarkan pada Rabu lalu dari pusat angkasa lepas Plesetsk, utara Rusia pada pukul 9.41 malam.
Kapal angkasa itu terdiri daripada pelbagai bahagian termasuk booster yang setiap satunya mengandungi enjin dan akan dilepaskan selepas kehabisan minyak.
- Agensi