Top Ad 728x90

,

Pelabur ASD dapat 6.50 sen seunit

KUALA LUMPUR 13 Jun - Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.50 sen seunit untuk Amanah Saham Didik (ASD) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2011 berbanding 6.35 sen seunit pada tahun lalu.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM256.73 juta, meningkat sebanyak 25.19 peratus berbanding RM205.07 juta dibayar pada tahun lalu.

"Sebenarnya, ASNB mampu memberi pulangan dividen sebanyak 10 sen kali ini tetapi memikirkan pelaburan jangka panjang, ahli lembaga pengarah meluluskan sebanyak 6.5 sen sahaja.

"Jumlah itu lebih baik berbanding instrumen pelaburan berisiko sama di pasaran. Baki sebanyak 3.5 sen tersebut akan dibawa ke kehadapan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pengumuman agihan pendapatan ASD di sini hari ini. Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Tambah Ahmad Sarji, semua saham ASD bernilai RM3.99 bilion telah habis dilanggan oleh 344,655 pemegang unit.

"Sehingga Jun 2011, tabung ASD telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM332.94 juta dengan pendapatan dividen daripada pelaburan menyumbang sebanyak 34.13 peratus atau RM113.63 juta daripada jumlah tersebut.

"Keuntungan jualan saham dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM180.23 juta atau 54.13 peratus. Selebihnya, RM39.08 juta atau 11.74 peratus diperoleh melalui pendapatan pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain," katanya.

ASNB merupakan anak syarikat PNB.

Urus niaga ASD akan ditangguhkan mulai 22 hingga 30 Jun ini bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan.

Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan di pejabat dan ejen-ejen ASNB seluruh negara mulai 1 Julai ini apabila urusniaga dibuka semula.

Pembayaran agihan akan dilaksanakan melalui pelaburan semula yang akan dikreditkan ke dalam akaun para pemegang unit pada 1 Julai ini manakala pelaburan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikreditkan terus ke akaun tersebut.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, walaupun dunia mengalami kemerosotan ekonomi tahun ini, ASNB tetap optimis terhadap pendapatan ASD tahun hadapan.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90