eticketing.my gabungkan 15 operator bas


BAGI yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, pengangkutan awam seperti kapal terbang, kereta api dan bas adalah alternatif untuk perjalanan pulang ke kampung. Namun, atas sebab tiket yang terhad dan harga yang lebih murah, akhirnya perkhidmatan bas sering menjadi pilihan utama bagi kebanyakan orang.

Namun, saban tahun kebanyakan pengguna berdepan dengan masalah yang serupa seperti sukar untuk mendapat tiket untuk pulang beraya, perlu beratur panjang di kaunter malah, lebih menyedihkan ada yang ditipu ‘ulat tiket’ kerana terdesak mendapatkan tiket.

Senario itu tentu sekali dapat dielak apabila menggunakan sistem pembelian eticketing.my melalui alam maya yang dibangunkan oleh anak syarikat Energetic Point Sdn. Bhd., iaitu E-Transact Technology Sdn. Bhd.

Penggunaan sistem eticketing.my itu dapat membantu pengguna mengetahui dengan mudah sekiranya terdapat tiket diingini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dengan hanya menekan satu klik sahaja. Pengarah Urusan E-Transact Technology Sdn. Bhd., Shahizam Ibrahim, berkata, sehingga kini sudah terdapat 30 operator bas ekspres yang menggunakan sistem yang dibangunkan syarikat berkenaan.

“Kalau pengguna memasuki laman web kami, mereka boleh memilih daripada 15 operator bas ekspres yang menawarkan tiket perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Menariknya tentang sistem eticketing.my ini, pengguna tidak perlu lagi beratur panjang untuk memiliki tiket bas ekspres mereka tetapi, hanya perlu mendaftar dan membuat pembelian,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Daftar percuma

Shahizam menjelaskan, pengguna hanya perlu mendaftar secara percuma dengan memasukkan butiran peribadi yang mengambil masa tidak kurang daripada 10 minit.

Katanya, selepas memasukkan butiran peribadi, pengguna boleh memilih operator bas dan destinasi perjalanan yang ingin ditujui mereka dengan mudah dan pantas.

“Secara tidak langsung, sistem ini dapat membantu pengguna menjimatkan dan mengurus masa mereka apabila berurusan dalam pembelian tiket bas ekspres kerana ia dapat dilakukan di mana-mana sahaja asalkan mempunyai akses Internet.

“Selain daripada itu, ia juga dapat mengelak kesesakan di kaunter-kaunter operator bas terutamanya pada waktu puncak,” ujarnya lagi.

Dia memberitahu, sistem tersebut turut dapat memaparkan sebarang kekosongan tempat duduk kepada pengguna.

Katanya, ia bermakna pemilihan tempat duduk mampu dilakukan dengan lebih berkesan untuk memberi keselesaan kepada mereka.

“Selepas melakukan pembelian tiket melalui eticketing.my, pengguna akan mendapat kod naik bas. Mereka boleh memilih mencetak atau menyalin kod berkenaan untuk dibawa apabila ingin menaiki bas kelak.

“Pengguna hanya perlu menunjukkan kod naik di kaunter untuk mengambil tiket sebelum meneruskan perjalanan ke kampung halaman masing-masing bagi memastikan perjalanan menjadi lebih efisien,” katanya.

Dalam pada itu, dia memberitahu, sistem tersebut dapat memberi kemudahan kepada ibu bapa yang ingin membeli tiket kepada anak-anak mereka.

“Sebagai contoh, jika ibu bapa berada di selatan Semenanjung Malaysia dan anak di negeri sebelah utara, tidak mungkin tiket yang dibeli dapat diberikan kepada anak mereka.

“Bagaimanapun, dengan penggunaan sistem eticketing.my ini mereka hanya perlu memberikan kod naik bas ekspres kepada anak-anak,” katanya lagi.

Teknologi sistem eticketing.my

Sementara itu, Jurutera Kanan Energetic Point Sdn. Bhd., Mohd. Hafiz Ishak memberitahu, sistem eticketing.my menggunakan teknologi SMARTicket atau pun tiket pintar.

“Ia merupakan penyelesaian kepada pengurusan tiket moden hari ini terutamanya operator bas ekspres. Teknologi ini amat mudah digunakan, boleh diubah pada bila-bila masa dan sangat stabil untuk menjual tiket kerana menggunakan konsep laman web,” katanya.

Mohd. Hafiz menjelaskan, teknologi itu bermakna pengguna ataupun operator bas dapat menggunakan sistem tersebut di mana-mana mereka berada asalkan mempunyai akses internet.

Katanya lagi, ia juga amat sesuai digunakan dalam pelbagai modul seperti kaunter tiket, perniagaan dalam talian, peranti mudah alih dan banyak lagi.

“Operator bas yang menggunakan sistem ini dapat menguruskan perjalanan, harga tiket dan banyak lagi dengan mudah dan pantas.

“Selain daripada itu, pengurusan operator bas juga dalam melakukan pengurusan pemandu dan bas, penjadualan, perjalanan dan banyak lagi menggunakan sistem ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Korporat dan Kewangan Energetic Point Sdn. Bhd., Muhammad Nazri Baksis, memberitahu, pengguna boleh melakukan pembayaran dengan pelbagai kaedah apabila menggunakan sistem eticketing.my.

“Mereka boleh memilih menggunakan kad kredit, wang tunai dan beberapa kaedah lagi mengikut kesesuaian dan keselesaan,” ujarnya lagi.

Muhammad Nazri menambah, pihaknya juga sedang dalam mencari ejen satelit untuk menguruskan penjualan tiket-tiket itu.

Katanya, ejen satelit itu akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik yang menjadi tarikan orang ramai untuk menguruskan penjualan tiket dengan lebih mudah.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai operator-operator bas ekspres yang terlibat dalam sistem eticketing.my. boleh melayari laman web www.eticketing.my.

- KOSMO!

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url