Penuntut Malaysia dibelasah dan disamun semasa rusuhan di London


Seorang penuntut Malaysia cedera dibelasah dan disamun sekumpulan remaja dalam kejadian rusuhan yang berlaku di London dan beberapa bandar di Britain.

Dalam kejadian yang berlaku di Barking, Timur London itu, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, yang patah tulang rahang dan gigi terpaksa dimasukkan ke Hospital Royal London.

Difahamkan ketika kejadian, penuntut bidang perakaunan berasal dari Ampang itu keluar bersama rakan-rakannya untuk membeli juadah berbuka puasa.

Visual Asyraf yang duduk sambil mengusap mulutnya yang berdarah dan dikelilingi lebih 10 remaja itu dimuat naik ke laman perkongsian video, YouTube hari ini di bawah tajuk 'Heartless robbery in London riots!!!!

Video itu juga sempat merakamkan aksi seorang pemuda berkulit putih yang dengan selamba membuka beg galas Asyraf dan menyamunnya lalu berlalu tanpa sesiapa pun yang menegahnya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Kelab-Kelab UMNO United Kingdom, Dzuhair Hanafiah berkata, Asyraf kini menjalani pembedahan membetulkan tulang rahang.

Menurut Dzuhair, Barking adalah salah satu kawasan tegang dan panas dalam beberapa siri rusuhan serta kekacauan sejak tiga hari lalu di London.

Katanya, Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) dan Kelab UMNO London kini berusaha memindahkan penuntut ke kawasan selamat.

Penuntut serta rakyat Malaysia yang terjejas dinasihatkan menghubungi MSD di UK atau Kelab UMNO UK di info@umnolondon.com atau talian +447435644040.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
2 Comments
  • ::FAIZ::
    ::FAIZ:: Rabu, 10 Ogos 2011 pada 8:28:00 PG SGT

    kesian

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Rabu, 10 Ogos 2011 pada 2:57:00 PTG SGT

    kesian student kita...dahlah dorang ni perna jaja kita dulu...kini naik kepala nak belasa student kita

Add Comment
comment url