Puasa, baca al-Quran peroleh syafaat Allah

Oleh Nik Salida Suhaila
salidasuhaila99@yahoo.com
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

DI SEBALIK Ramadan yang bertandang saban tahun dengan seribu janji pengampunan buat insan yang mengambil manfaat, ada lagi yang istimewa dan bersejarah iaitu kitab suci Al-Quran. Turunnya kalam Allah ini mengubah hidup manusia dari kufur kepada cahaya, dan menjadi pegangan umat Islam hingga hari ini.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah kitab al-Quran yang jelas nyata keterangannya, dengan al-Quran itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan dengannya Tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izin-Nya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 15-16).

Al-Quran sarat dengan panduan dan pengajaran untuk setiap insan yang inginkan pedoman dalam hidup. Akidah dan syariah mengajar manusia cara melandasi dunia dengan sebaik-baiknya sebelum tiba di akhirat yang kekal abadi.

Kisah mengenai azab dan nikmat juga tidak ketinggalan memberi peringatan buat kita yang ingin berfikir, bahawa dunia adalah fana dan tidak menguntungkan apa-apa melainkan nikmat yang sementara.

Namun, dunia jugalah yang menjayakan kehidupan di akhirat kelak jika kita mampu melaluinya dengan perintah dan suruhan al-Quran. Sebab itulah membaca al-Quran menjadi rutin bibir yang melazimi sunnah Rasulullah SAW, supaya mendapat syafaat di akhirat kelak.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Dari Abu Amamah Al-Bahali berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bacalah oleh kamu al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu akan datang pada hari kiamat memberi syafaat (perto-longan) kepada pembacanya.”

Sebab itulah Rasulullah bersungguh-sungguh mengerjakan amal ibadat pada 10 terakhir Ramadan, apa yang Baginda tidak kerjakan pada 10 hari terakhir bulan lain. Ini juga kerana lailatul qadar, iaitu malam turunnya al-Quran yang akan muncul antara hari-hari itu.
Setiap mukmin perlu mengambil kesempatan Ramadan mengakrabkan diri dengan al-Quran. Tidak cukup dengan membaca, al-Quran perlu difahami dan dihayati supaya pengamalan dilakukan selaras pesanan Allah SWT kerana al-Quran jugalah yang akan memberi syafaat kepada kita di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dari Abdullah bin Amru, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Bahawa puasa dan al-Quran itu meminta syafaat kepada Allah SWT untuk seseorang hambanya pada hari kiamat. Berkata puasa: Ya Allah, aku telah menahan daripada makan dan minum pada siang hari, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya. Dan berkata al-Quran: Ya Allah, aku telah menahannya daripada tidur (kerana membaca al-Quran) pada malam hari, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya, maka Allah memberi syafaat kepadanya dengan sebab permohonan keduanya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Ramai kalangan kita yang tidak cuba mengambil kesempatan di sebalik keistimewaan ini kerana tidak tahu betapa besarnya pertolongan al-Quran kepada setiap manusia yang beriman.

Inilah segelintir manusia yang malang di dunia dan akhirat, kerana mengejar keuntungan akhirat yang tidak mampu dilabur di mana-mana melainkan dalam Ramadan singkat ini.

Sedangkan Allah SWT telah meyakinkan kita bahawa hanya al-Quran satu-satunya kitab yang mengutuskan nasihat dari-Nya, yang memberi panduan supaya kita tidak tersesat seperti sebelum datangnya nur di sebalik Ramadan.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan juga menjadi hadiah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57).

Al-Quran menjadi penawar kepada penyakit jiwa, ia mengubat sengketa sesama kita, mengamalkan al-Quran bukan dengan akidah atau syariahnya semata, tetapi menghayati semua perintah-Nya supaya seluruh umat Islam kembali bersilaturahim sehingga ke syurga.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url