Ceritera hayat Datuk Ahmad Jais
"DIA bukan jenis penyanyi yang letak harga," ujar promoter konsert dan pemilik De' Media & Event Entertainment, Syed mohd. Yusof Wafa Syed Nordin atau Wafa yang sudah 15 tahun bekerjasama dengan arwah Datuk Ahmad Jais dalam urusan konsert-konsert di seluruh negara.
"Datuk Ahmad Jais seorang yang merendah diri. Dia tidak minta bayaran yang tinggi untuk nyanyiannya. Biasanya dia menerima bayaran di antara RM2,000 hingga RM4,000 untuk kemunculan dalam sesebuah konsert menerusi maksimum empat buah lagu," ujar Wafa yang berada di New York, Amerika Syarikat ketika dihubungi Kosmo! Dia mengakui betapa dirinya sangat terkejut dengan kepergian arwah yang sudah dianggap seumpama bapanya sendiri itu.
"Namun, arwah seorang yang sangat pemurah dan baik hati, malah dia berusaha keras memastikan penonton persembahannya akan berpuas hati.
"Malah, ada ketikanya dia dibayar untuk mendendangkan tiga buah lagu, tapi apabila penonton merayu untuknya terus menyanyi dia akan menambah bilangan lagu nyanyian tanpa berkira soal bayaran. Itulah sikap arwah yang paling saya kenang," luahnya yang turut memberitahu antara lagu kegemaran Ahmad Jais untuk persembahan-persembahannya termasuklah Umpan Jinak di Air Tenang dan Bahtera Merdeka.
Itu antara secebis kisah kenangan semasa hayat arwah Datuk Ahmad Jais yang mungkin ramai tidak mengetahui.
Merupakan salah seorang penyanyi irama pop yeh yeh yang mula berkecimpung dalam bidang muzik sekitar era 60-an, sementelah bergelar penyanyi yang bergelumang dengan kancah glamor, sudah tentu Ahmad Jais mempunyai 1001 kisah yang menarik sepanjang kehidupannya untuk dikongsi bersama peminat.
Dilahirkan di Kapar, Klang, Selangor pada 28 Mac 1936 dan kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1957, dari situ Ahmad Jais mula menyanyi di majlis keramaian seperti kenduri kahwin.
Pada Oktober 1959, Ahmad Jais berhijrah ke Singapura untuk mencuba nasib nyanyian di sana pula.
Sebelum bintangnya mula bersinar di Singapura, Ahmad Jais pernah bekerja sebagai budak pejabat di Cycle and Carriage dengan gaji sekitar RM80 sebulan.
Bakat seni Ahmad Jais mula bersinar apabila beliau memenangi pertandingan nyanyian Lagu Asli Singapura pada tahun 1959 dan 1960.
Pada tahun 1961, Ahmad Jais sekali lagi menyertai pertandingan Lagu Asli Singapura tetapi malangnya ramai peserta pertandingan itu membantah beliau mengambil bahagian buat kali ketiga.
Keistimewaan suara Ahmad Jais mendendangkan lagu-lagu asli menggugat peserta-peserta yang masuk bertanding. Beliau terpaksa mengalah dan hanya menyertai pertandingan Lagu Pop Singapura. Begitupun, beliau berjaya dinobatkan sebagai juara Lagu Pop Singapura.
Pada tahun 1962, Ahmad Jais kembali menyertai pertandingan Lagu Asli Singapura dan sekali lagi meraih gelaran juara.
Beliau pernah merakamkan lagu-lagunya di bawah label Panda Records bersama Orkes Selayang Pandang.
Rakam album pertama
Kata orang, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian, kerjaya nyanyian Ahmad Jais mula terbuka luas apabila beliau mendapat peluang menjadi penyanyi undangan untuk Kumpulan Seriwarna yang membuat persembahan di Panggung Victoria, Singapura.
Pada zaman itu, panggung terbabit sering menjadi tumpuan golongan elit dan bangsawan. Ternyata kehebatan suaranya sewaktu menyanyikan lagu Di Ambang Sore diperakui tokoh muzik terkenal Singapura, Zubir Said yang banyak terbabit dengan dunia rakaman.
Selain Seriwarna, Ahmad Jais pernah menjadi penyanyi jemputan bagi sebuah lagi kumpulan muzik terkenal di Singapura, Orkes Melati Putih. Akhirnya namanya mula menjadi sebutan.
Selain menyanyi secara solo, Ahmad Jais juga terkenal dengan lagu duet bersama Allahyarham Datin Rafeah Buang iaitu, Juwitaku Sayang dan Budi Setahun Segunung Intan bersama Kartina Dahari.
Pada tahun 1965 akhirnya Ahmad Jais merakamkan album pertama. Album tersebut berjudul Kucupan Azimat. Sehingga kini Ahmad Jais sudah merakamkan lebih 100 lagu menerusi 15 album dan kebanyakannya dalam bentuk rakaman extended play (EP) dan rekod long play (LP).
Selepas melebarkan sayapnya di Singapura, Ahmad Jais kembali semula ke Malaysia. Pada 23 Mac 2007, beliau diberi kepercayaan untuk mengadakan Konsert Bahtera Merdeka anjuran Istana Budaya yang diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani memberitahu Kosmo!, penyanyi berkenaan adalah satu-satunya artis lelaki era 1960-an yang membuat konsert solo di Istana Budaya.
"Dalam persembahan yang berlangsung selama tiga hari iaitu pada 23 hingga 25 Mac 2007, sambutan yang diterima sangat menggalakkan apabila semua tiket habis dijual.
"Walaupun dikategorikan sebagai penyanyi veteran, namun arwah membuktikan dia masih lagi penyanyi yang diminati ramai dan mempunyai peminat yang tersendiri," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Jais turut menerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda ke-63 pada 2006.
Beliau turut terbabit bagi menjayakan Konsert Pop Yeh Yeh Suatu Evolusi 2007, di Stadium Malawati dan julung-julung kali diadakan oleh Global Ads Workstation Sdn. Bhd.
- KOSMO!