Gadis punan pertama menjadi pegawai
FELICIA Alow kelihatan teruja bercerita tentang bahasa ibundanya, bahasa Punan. “Nu denge maksudnya apa khabar, nu ngaro no ertinya apa nama kamu manakala piru umun no berapa umur kamu.
“Oh ya, jangan lupa sebutkan tupu koman si setiap kali tiba waktu sarapan, makan tengah hari atau makan malam. Ayat itu bermaksud awak sudah makankah?” kata Felicia, anak kelahiran Rumah Panjang Nyipa di Kampung Kuala Pandan, daerah kecil Sebauh dalam Bahagian Bintulu, Sarawak.
Kampung di tepi Batang Kemena, anak Sungai Rajang itu terletak kira-kira 40 minit menaiki kereta dari bandar Bintulu.
Felicia, 28, merupakan anak Punan pertama yang menjawat jawatan bertaraf penguasa di Jabatan Imigresen. Sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pas Penggajian jabatan itu, Felicia bakal ditempatkan di Putrajaya - Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang memiliki bangunan serba moden.
“Suasananya tentu sahaja jauh berbeza dengan penempatan masyarakat Punan yang sinonim dengan hutan dan sungai,” beritahu Felicia.
Gadis lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini kelihatan segak dalam persalinan seragam putih Jabatan Imigresen. Berwajah manis, kulit Felicia putih bak telur dikupas.
“Orang selalu salah sangka bila mengatakan saya seorang gadis Cina. Sebenarnya kebanyakan orang Punan memiliki ciri fizikal seperti saya,” katanya ketawa.
Dia ditemui di Akademi Imigresen Malaysia (AIMM) di Port Dickson, Negeri Sembilan semasa mengikuti kursus induksi selama tiga minggu baru-baru ini.
Menurut Felicia, etnik Punan Sarawak yang berjumlah 50,000 orang adalah berbeza daripada kaum Penan walaupun kedua-duanya merupakan penghuni tebing sungai-sungai di negeri itu.
“Penduduk Sarawak sendiri seperti di Miri dan Kuching masih ramai yang keliru tentang kaum Punan sedangkan kami sudah hampir 300 tahun menghuni tebing sungai berkenaan,” kata Felicia.
Hutan
Felicia anak keenam daripada lapan beradik. Katanya, walaupun suatu masa dulu memiliki anak yang ramai merupakan satu kebiasaan masyarakat Punan, generasi baharu kaum itu selesa mempunyai dua atau tiga orang anak sahaja.
“Setakat ini tuai rumah panjang di kampung saya memiliki paling ramai anak iaitu 10 orang,” katanya.
Dari segi geografi, majoriti penempatan etnik Punan bertumpu di kawasan berhampiran bukit dan sungai.
Aktiviti penduduk ialah berburu, mencari tumbuhan dan sayur di hutan selain menangkap ikan di sungai.
“Kegiatan menanam padi diusahakan oleh setiap keluarga rumah panjang.
“Malah, masyarakat Iban dan Melanau yang tinggal berjiran dengan kampung saya turut menanam padi,” katanya sambil memberitahu, aktiviti berburu sudah berkurangan sekarang.
“Tidak seperti kira-kira 25 tahun lalu yang menyaksikan pemburuan dilakukan secara meluas,” ujarnya.
Oleh kerana kedudukan kampungnya berjiran dengan kaum Melanau dan Iban, Felicia dapat mempelajari bahasa kaum itu melalui kawan-kawannya.
“Apabila berjumpa kawan Melanau, saya suka meniru cara mereka bercakap. Saya juga cuba berbahasa Iban semasa bertemu kawan-kawan Iban,” ujar Felicia yang menambah, bahasa Iban diajar di sekolahnya.
Felicia turut bercerita mengenai tarian su’ei dan makanan kegemarannya, teleguk.
“Tarian itu sedikit pelik tetapi merupakan satu tradisi kaum Punan. Teleguk pula ialah sejenis pulut yang dibungkus menggunakan daun palas sebelum dikukus,” katanya.
Dia juga masih dapat mengingati wajah penduduk kampung yang bertelinga panjang kerana memakai subang yang besar dan berat.
“Saya masih berpeluang melihat suasana seperti itu. Di kampung saya masih terdapat tiga wanita yang mempunyai telinga begitu.
“Bagaimanapun, tiada orang muda yang mahu mengikut tradisi itu lagi. Mungkin zaman sudah berubah,” ujarnya.
Moden
Kata Felicia, etnik Punan terbahagi kepada Punan Pedan, Bah dan Biau. Tiada perbezaan antara ketiga-tiga puak tersebut. Boleh dikatakan semua penempatan mereka bertumpu di kawasan berbukit dan berhampiran sungai.
Dia menambah, kini perkampungan Punan agak moden.
“Rumah panjang sudah diubah suai dengan berlantaikan simen tetapi masih mengekalkan binaan kayu bagi dinding rumah.
“Jalan masuk ke kampung saya juga telah diturap dengan tar manakala kemudahan elektrik banyak mengubah suasana perkampungan itu.
“Dahulu, kami hanya menggunakan generator yang dihidupkan dari pukul 6 petang hingga 12 malam,” ceritanya.
Sebagai sebahagian daripada kaum Dayak, terdapat juga orang Punan yang mahir dalam perubatan tradisional khususnya yang bercampur unsur mistik.
“Mereka menggunakan kuasa tertentu untuk menyembuhkan penyakit,” katanya.
Menurut Felicia, dalam satu upacara yang unik, tubuh pesakit termasuk mata akan ditutup sepenuhnya menggunakan kain sarung.
“Pesakit akan dibaringkan di atas sebuah tempat khas di kawasan lapang sebelum beberapa orang menari mengelilingi pesakit berkenaan sambil membaca mantera dan memukul gendang.
“Kali terakhir ritual itu dibuat ialah pada lapan tahun lalu. Sekarang, dukun wanita itu sudah tua dan belum ada siapa yang mewarisi ilmunya,” katanya.
Mendaftar masuk di UPM, Serdang, Selangor, bererti kali pertama juga dia menjejakkan kaki ke ibu kota Kuala Lumpur.
“Saya sememangnya tidak pernah datang ke Kuala Lumpur sebelum itu. “Ia sebuah kota yang sesak tetapi begitu mengujakan. Saya menganggapnya sebagai satu cabaran dan tempat untuk saya mempelajari banyak perkara baharu setiap hari,” katanya.
Sebelum bertugas di Jabatan Imigresen, Felicia pernah bekerja sebagai guru sandaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh di Bintulu. selama enam bulan iaitu sejurus selepas dia menggenggam ijazah pada tahun 2006.
Selepas itu, beliau bekerja di Pejabat Daerah Tatau, juga selama enam bulan. Dia sempat menjadi guru sandaran di SMK Simanggang, Sri Aman selama lebih setahun.
“Kerjaya sebagai pegawai Imigresen merupakan kerjaya yang membanggakan walaupun cita-cita saya dahulu ialah untuk bergelar pensyarah. Saya akan menjalankan tugas saya dengan penuh yakin,” kata gadis ini bersemangat.
Di luar pakaian seragamnya, Felicia merupakan seorang penggemar sejarah selain pandai melukis.
“Ketika di sekolah, Sejarah adalah mata pelajaran kesukaan saya. Saya gemar membaca kisah penjajahan keluarga James Brooke di Sarawak. Sekarang, saluran dokumentari History di Astro pula menjadi pilihan saya,” ujarnya.
- KOSMO!